Saturday, April 30, 2022

Tengku Ahmad Rithauddeen meninggal dunia di usia 94



KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta di sini pada jam 8.43 malam ini, akibat sakit tua.

Allahyarham berusia 94 tahun.

Anak veteran UMNO itu, Tengku Farith berkata bapanya yang mesra disapa Ku Deen mengalami strok dua minggu lalu dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan discaj.

"Tetapi pagi ini Allahyarham mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Tengku Farith berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Wilayah Jalan Duta 8.30 pagi ini (30 April), untuk dimandikan dan solat jenazah di masjid itu.

Bagaimanapun, katanya lokasi pengebumian masih belum diputuskan sama ada di Masjid Negara atau Bukit Kiara.

Selain berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas untuk membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar Negara (1973) sebelum menjadi Menteri Penerangan dan Fungsi Khas (1974).

Allahyarham kemudian menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Penerangan (1986).

Sebelum itu, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan pada 1970 dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1972.

Dalam arena politik, Allahyarham merupakan bekas Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO pada 2001 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1987).

Bekas Pengerusi UMNO Kelantan itu juga merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang pada 1973 selain bekas Presiden Majlis Pengelola Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMA).

Jasanya dalam bidang pendidikan pula ialah sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1992 selain sempat mencurah bakti dalam bidang sukan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1988.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment