TEMERLOH: Bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, Mohd Saludin Omar, 84, menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa Tun Razak tersilap memberikan peneroka hanya 10 ekar tanah Felda sehingga gagal menjadi jutawan.
Mohd Saludin yang juga bekas Adun Kerdau pada tahun 1974 hingga 1982 itu berkata, dasar penempatan yang dirancang oleh Allahyarham Tun Razak yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar pada tahun 1956 itu ialah untuk membasmi kemiskinan di samping menghalang pergerakan komunis.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang turut menafikan dakwaan Tun Mahathir seperti yang disiarkan akhbar Sinar Harian semalam.
Tun Mahathir yang kini merupakan Pengerusi Pakatan Harapan, pada satu majlis di Kota Tinggi, Johor kelmarin mendakwa Tun Abdul Razak melakukan kesilapan dalam merencana Felda kerana hanya memberikan 10 ekar (4 hektar) tanah kepada peneroka menyebabkan peneroka tidak menjadi jutawan
“Memang tak betul kata Tun Mahathir itu bahawa Tun Razak silap memberikan peneroka hanya 10 ekar tanah Felda sehingga tidak menjadi jutawan kerana dasarnya bukan begitu.
“Saya tahu betul sebab saya pegawai khas Tun Razak pada masa itu.
“Tun Mahathir sepatutnya melihat dasar Felda yang diasaskan Tun Razak pada tahun 1956 iaitu membasmi kemiskinan khususnya orang Melayu yang berada di kampung dan pedalaman sebagai satu pembangunan nasional untuk membetulkan ketidakseimbangan kaum,” katanya.
Sehubungan dengan itu, tanah rancangan pertama yang dibuka ialah Lurah Bilut yang ditanam dengan getah iaitu pada tahun 1958 manakala seramai 30 orang peneroka bersama keluarga dibawa masuk pada 2 Ogos 1959 dengan mengusahakan sendiri ladang dan penanamannya.
“Ketika itu belantara di Lurah Bilut itu dihuni oleh anggota komunis termasuk pemimpin tertinggi Chin Peng, Abdullah CD, Shamsiah Fakeh dan lain-lain yang berundur selepas bertempur dengan pasukan keselamatan,” katanya.
Mohd Saludin berkata, pada masa itu beliau merupakan Pegawai Penerangan Daerah Bentong dan pada tahun 1962 mendapat arahan daripada Tun Razak berulang-alik ke Lurah Bilut untuk membuat kajian dan laporan secara bulanan.
“Pada tahun 1963 semasa menghantar laporan saya bertemu Tun di rumahnya di Kuala Lumpur saya cadangkan supaya kerja-kerja membakar, buat rumah dan tanam pokok yang sebelum itu dibuat oleh peneroka (seperti peringkat awal di Lurah Bilut) diambil alih oleh Felda.
“Maknanya peneroka masuk ke tanah rancangan hanya mengusahakan tanaman komoditi itu sahaja. Dan idea saya Tun pakai setelah Felda mendapat pinjaman daripada bank luar negara dan kos pembangunan tersebut dibayar balik oleh peneroka,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau hairan bagaimana legasi Felda yang ditinggalkan Allahyarham Tun Abdul Razak yang banyak berjasa kepada orang Melayu itu hanya dianggap kesilapan oleh Tun Dr Mahathir.
Sementara itu Mohd Saludin memberitahu, beliau dilantik menjadi anggota panel pemilihan kemasukan peneroka Felda dari tahun 1974 hingga 1982.