Monday, December 5, 2016

Kehilangan Dyana Sofya terjawab

Dyana Sofya Mohd Daud, ikon anak muda yang pernah menggemparkan dunia politik tanah air kerana menyertai DAP pada satu masa dulu, muncul pada konvensyen parti tersebut semalam.

Bekas calon DAP bagi PRK Teluk Intan itu yang beberapa ketika pernah menjadi persoalan umum kerana dikatakan ‘hilang’ daripada arena politik, kemunculannya sekali gus menjawab teka-teki tersebut.

Menurut Sinaronline, ‘perempuan Melayu dalam DAP baru’ itu baharu sahaja menamatkan pengajian yang disambung di kota London. Justeru, inilah yang membuatkan dia menyepi seketika dari pentas politik.

"Saya baru sahaja pulang dari melanjutkan pelajaran di London, kini saya kembali untuk berkhidmat pada parti saya.

"Saya juga akan berkhidmat semula sebagai peguam pada awal tahun hadapan," katanya seperti dipetik Sinaronline ketika ditemui di Konvensyen DAP.

Mengenai persiapan beliau menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14 kelak, dia kini sedang fokus untuk mengambil hati anak muda bagi menambat sokongan untuk partinya.

"Sekarang saya sedang fokus untuk menarik anak muda untuk mengambil bahagian dalam politik.

"Undi anak muda sangat penting kerana mereka ini bilangannya ramai dan juga menjadi tonggak negara, sememangnya kini saya bekerja keras untuk PRU nanti," katanya lagi.

DAP kini sedang mengumpulkan profesional muda Melayu menganggotai parti tersebut bagi menghakis tanggapan umum bahawa parti tersebut merupakan chauvinis Cina.

Ia juga bagi cubaan meletakkan ketua negeri daripada dipilih daripada parti tersebut. Kes pernah berlaku di Perak pada PRU 2008 apabila DAP memenangi kerusi majoriti bagi pembangkang (seklai gus mengalahkan BN), namun gagal meletakkan Adun daripada partinya sebagai Menteri Besar.

Ini disebabkan undang-undang tubuh sesebuah negeri mengehendaki seseorang Menteri Besar mestilah dari kalangan orang Melayu.

Dengan itu, DAP yang dulunya hanya dianggap parti pembangkang selamanya, mulai mengubah imej dengan menjadi parti pemerintah jika beroleh kerusi majoriti.

Pada PRU 13 DAP telah memperolehi sokongan sehingga 90 peratus daripada keseluruhan pengundi Cina.


No comments:

Post a Comment