Tuesday, September 6, 2016

Kekalkan kelestarian Hutan Simpan Kekal Jerantut (Tambahan)

Ekspedisi Jelajah Cakna Hutan Simpan yang dilakukan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP) pada hari Isnin, 5 September 2016 di kawasan Hutan Simpan Kekal Tambahan Jerantut mendapati kerja-kerja awal pembalakan pernah dilakukan di hutan tersebut. Jalan dan beberapa kawasan yang dipercayai matau pembalakan menjadi bukti hutan simpan tersebut pernah cuba dirobek khazanahnya yang berusia jutaan tahun. Namun tindakan tersebut terhenti dipercayai ekoran bantahan penduduk kampung yang diketuai beberapa pemuda yang berani dan prihatin.

PAS Pahang menggesa pihak kerajaan khasnya melalui Jabatan Hutan memastikan hutan simpan tersebut kekal terpelihara tanpa diusik khazanahnya terutamanya daripada sebarang aktiviti pembalakan dan perlombongan. Hutan simpan ini perlu kekal lestari kerana ianya adalah kawasan tadahan air semula jadi untuk Sungai Teh yang mengalir ke Sungai Pahang. Penduduk Kg Bharu dan beberapa kampung berdekatan menggunakan bekalan air yang disalurkan daripada Lata Besin di hulu sungai tersebut untuk aktiviti pertanian dan perikanan yang merupakan sumber ekonomi penting mereka sejak sekian lama.

Selain itu kesemua hutan simpan kekal perlu kekal lestari untuk menjadi santuari flora dan fauna sekali gus meminimumkan konfrontasi hidupan liar ke atas kawasan pertanian dan penempatan manusia.

YB HAJI ANDANSURA BIN RABU

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang
Merangkap ADUN Beserah

15 pasangan sertai Walimatul Urus 2.0 di Temerloh


BASIRON ABDUL WAHAB | 04 September 2016.


MENTAKAB:
 Lagu ‘Temerloh Di Hati Kome’ berkumandang menghiburkan hampir 12,000 tetamu yang hadir dalam program Walimatul Urus 2.0, anjuran bersama Sekretariat Parlimen Temerloh dan PAS Temerloh.
 
Dalam program gilang gemilang itu seramai 15 pasangan dikahwinkan dan diraikan oleh Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan dan Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus selaku tuan rumah.
 
Setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM2,000 untuk menyertai program berkenaan, pihak penganjur menguruskan majlis akad nikah dan kenduri sebagai satu usaha membantu golongan muda berkahwin.
 
Program seumpama itu dapat memudahkan urusan perkahwinan dengan kos yang minimum tetapi meriah dengan kehadiran keluarga dan sahabat handai sama seperti perkahwinan biasa.
 
Nasruddin dalam ucapan ringkasnya meraikan pengantin baharu, berkata, program berkenaan adalah hasil idea Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar yang menganjurkan program ‘Kawin Perdana’ bagi kawasannya yang di wakilinya, Tanjung Lumpur dan kini telah disebarluaskan ke seluruh negeri Pahang.
 
“Ia adalah idea yang baik dan mula mendapat perhatian dari masyarakat,” katanya.
 
Sebelum itu, 15 pasangan pengantin baharu itu di arak sejauh 10 km oleh pasukan bermotosikal ARC ke tapak lokasi majlis di Bukit Bendera, Mentakab dari Masjid baharu Temerloh.
 
Nasrudin mengucapkan penghargaan kepada pasukan ARC, Unit Amal serta semua yang terlibat menjayakan program berkenaan.
 
Katanya, beliau difahamkan ada juga anggota ARC dari luar Pahang yang  bergabung dengan pasukan ARC Pahang memeriahkan program berkenaan.
 
Difahamkan kira-kira 300 buah motosikal berbagai kuasa kuda menghijaukan perarakan tersebut dengan baju hijau ARC.

Ustaz Nasrudin bersama Timbalan YDP PAS Temerloh Hassanuddin Salim sedang melayan Mohd Sharkar dan Razak Manaf


- HARAKAHDAILY 4/9/2016