Friday, October 31, 2014

Siapa pemilik facebook Azamuddin Azim / Khaiz Hafiz?

Siapa pemilik facebook Azamuddin Azim / Khaiz Hafiz?

Azamuddin Azim (dipercayai nama palsu), adalah merupakan pemegang akaun facebook yang begitu lantang menghentam Ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hassan, PAS Kawasan dan anggota Sekteratariat Parlimen Temerloh sejak selepas PRU 13 yang lalu.

Beliau dipercayai mengambil kesempatan berikutan terdapat sedikit percanggahan pendapat antara PAS Kawasan dengan segelintir pendokong PAS di Dun Kuala Semantan.

Setelah dua kali membuat fitnah menerusi media sosial itu iaitu mengada-adakan cerita tidak benar bagi memburukkan reputasi Ahli Parlimen Temerloh, semalam sekretariat parlimennya membuat laporan polis pemegang akaun nama samaran facebook tersebut.

Laporan dibuat oleh timbalan pengerusi sekretariat Hassanuddin Salim yang turut dilibatkan dalam fitnah tersebut iaitu kononnya Ustaz Nasruddin Hassan akan memberikan tiket percuma dan pengangkutan ke akhir bola sepak Piala Malaysia di Bukit Jalil Sabtu ini.

Antara lain Hassanuddin menyebutkan, pemilik akaun berkenaan pada 29 Oktober telah meletakkan iklan fitnah berkenaan melalui facebook dalam satu grup (Temerloh) dan turut dipaparkan ialah nombor telefon bimbit peribadinya untuk dihubungi.

“Akibatnya, sejak semalam saya dihujani panggilan telefon, mesej dan whatsapp yang tidak putus-putus dari sekitar daerah ini dan luar yang bertanya dan mahukan tiket percuma berkenaan.

“Fitnah ini bukanlah kali pertama disiarkan individu berkenaan. Pada 25 Jun lalu juga pemilik akaun tersebut telah menggunakan kaedah yang sama mengiklankan kononnya Ahli Parlimen Temerloh akan mengagihkan benih ikan sangkar dan turut memaparkan nombor telefon saya.

“Tetapi hari ini saya dapati pemilik akaun Azamuddin Azim itu telah menukar namanya kepada Khaiz Hafiz.dan saya percaya pertukaran itu dibuat apabila kami turut menyiarkan akan membuat laporan polis petang ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat polis daerah di sini.

Tambahnya, demi melindungi diri dan kepentingan beliau meminta bahagian jenayah komersial polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun berkenaan.

Sementara itu Nasruddin yang turut hadir menyokong penuh laporan polis tersebut kerana tidak mahu fitnah terhadap beliau dan PAS berleluasa berdasarkan posting-posting individu berkenaan sebelum ini.

“Kalau perkara ini benar kita akan maklumkan. Masalahnya kita tidak ada kuota tiket perlawanan antara Pahang menentang JDT itu. Dalam kes ini saya percaya individu berkenaan berniat jahat serta bertujuan untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai ahli parlimen.

“Benda yang tiada diada-adakan. Bila orang hubungi Hassanuddin tiket itu tidak ada, apabila tak dapat jadi orang akan marah (kerana menipu). Jadi saya kira itu satu strategi yang sangat jahat,” tegasnya.

Katanya, selepas ini akan dibuat laporan SKMM dan apabila sudah dikenal pasti nanti, jika pemfitnah itu tidak tampil memohon maaf, pihaknya akan mengambil tindakan saman.


~ Nasrudin, Hassanuddin bergambar ramai di hadapan balai polis Temerloh selepas membuat laporan polis.

Wednesday, October 15, 2014

Penduduk marah padang jadi stor barang

Penduduk-penduduk Taman Rimba, Mentakab kesal dengan pihak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang tergamak meluluskan projek pembinaan stor barangan di atas padang permainan yang sedang digunakan penduduk.

Tanah lot bernombor 2958 itu , diberikan kelulusan projek oleh MPT 10/2/3277(BB025/2014) berdasarkan yang tertera pada papan tanda.

Taman Rimba ini telah wujud sejak tahun 1975 lagi dan kini mempunyai lebih 1,000 buah. Selama ini di situlah tempat penduduk beriadah dan bersukan.

Lazimnya jam 6 pagi penduduk akan berlatih Taichi manakala di sebelah petang pula pemuda-pemuda akan bermain bola Keranjang di situ.

Namun pada 14 Oktober lalu kira-kira jam 9 pagi pihak kontraktor telah memacak papan tanda dan memulakan korekan tanah. Selepas itu mereka berhenti apabila penduduk datang bertanyakan tujuan mereka berbuat demikian.

Adun Mentakab Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang turut bergegas ke lokasi berkenaan berkata, sepatutnya Ahli Majlis Kawasan , penghulu atau pihak berkuasa tempatan mesti tahu dan faham bahawa di situ merupakan tempat kemudahan Awam (Taman Permainan). Ianya tidak boleh di hapuskan atau di musnahkan bergitu sahaja tanpa tapak pengantiannya.

“Jumlah penduduk ramai, jadi mana tempat lain yang akan mereka gunakan?

“Sekiranya tanah tersebut milik persendirian, maka pihak MPT mestilah memikirkan jalan keluar dan penyelesaiannya,” katanya.


Friday, October 3, 2014

Bersyukur Atau Protes: SAMM Jawab Kenyataan Menteri

Kenyataan Media
3 Oktober 2014


1. Kenyataan Menteri KPDNKK, YB Datuk Hassan Malek yang meminta rakyat bersyukur dengan kenaikan harga bahan bakar dilihat begitu menghiris perasaan rakyat. Sama ada Menteri ini tidak sengaja mengeluarkan kenyataan itu atau sememangnya tidak mempunyai tahap pemikiran seorang pemimpin.

2. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat pihak kerajaan tidak mempunyai alasan yang releven untuk kenaikan harga bahan bakar yang menjadi kunci kenaikan kos sara hidup. Ketika ini harga minyak pasaran dunia merundum ke aras paling rendah dalam tempoh 3 tahun. Mengapa kerajaan tergamak menaikkan harga minyak domestik?

3. Kata-kata untuk menjimatkan perbelanjaan negara, pembangunan luar bandar, menaiktaraf sistem pengangkutan awam, menambah kadar BR1M dan sebagainya hanyalah satu penyedap halwa telinga sahaja.

4. Imbas kembali, zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu kenaikan harga bahan bakar mencecah 78 sen seliter, yang ketika itu harga minyak global mencanak tinggi. Maka lebihan pendapatan dari kenaikan itu kononnya digunapakai untuk menaik-taraf pengangkutan awam. Apa hasilnya? Hanya lambakan bas-bas Rapid yang tersadai menjadi besi buruk kerana urustadbir yang penuh ketirisan.

5. September 2013, Perdana Menteri YAB Dato' Seri Najib Razak umum kenaikan harga bahan bakar RON95 dan Diesel untuk menjimatkan perbelanjaan negara. Sama juga alasannya ketika ini. Namun, siapakah yang boros dan tidak amanah dalam mengurus perbelanjaan? Rakyat atau Kerajaan? Banyak kelompongan dalam pengurusan perbendaharaan negara yang tidak diatasi sehingga kini.

6. Alasan menteri kononnya kenaikan harga bahan bakar kali ini didorong oleh langkah untuk mencegah penyeludupan. SAMM melihat sepatutnya pihak kerajaan pertingkat operasi di pintu sempadan untuk mencegah penyeludupan. Bukan menghukum rakyat di atas kebocoran sempadan. Semua lorong-lorong tikus laluan penyeludup perlu dipantau rapi yang melibatkan pelbagai agensi. Atau apakah agensi-agensi terbabit di pintu sempadan telah gagal sama sekali sehingga Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil langkah menaikkan harga bahan bakar?

7. Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan menggunakan hujah kononnya harga bahan bakar kita antara yang termurah. SAMM berpandangan tidak patut jika ingin dibandingkan dengan negara "net importer" lain kerana hakikatnya kita adalah negara "net exporter" petroleum. Rakyat juga sering dimomokkan dengan ungkapan sumber minyak negara semakin habis sedangkan penemuan-penemuan telaga minyak baru sering sahaja dirahsiakan daripada pengetahuan khalayak umum.

8. Adalah tidak adil juga jika kita membandingkan harga bahan bakar di antara negara kita dan negara jiran dengan menggunakan matawang kita. Umum mengetahui bagaimana nilai matawang kita yang semakin rendah berbanding matawang negara jiran. Tambahan lagi, kita juga harus melihat Pendapatan Per Kapita negara tersebut berbanding dengan kita. Dengan kuasa beli mereka yang besar walaupun harga minyak mereka tinggi, ia tidak akan mengganggu keadaan taraf hidup rakyat mereka.

Apa pun hujahnya, kenaikan harga bahan bakar ini menunjukkan kegagalan dahsyat Perdana Menteri dan Kabinetnya dalam menjaga amanah menguruskan perbendaharaan negara. Lantas, mengambil jalan mudah menaikkan harga bahan bakar bagi membendung defisit yang semakin membesar.

Untuk kesekian kalinya, rakyat Malaysia harus membayar harga yang mahal diatas siri kelemahan dan kegagalan Perdana Menteri dan kabinetnya mengurustadbir negara. Maka rakyat harus protes, bukan bersyukur membabi-buta.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Badan Penyelidik SAMM
Solidariti Anak Muda Malaysia