Wednesday, May 14, 2014

PERCAYALAH, MAT SAID MEMANG NELANG!!

Oleh HJ OSAMA

Sebulan yang lalu, sewaktu di Parlimen saya didatangi oleh seseorang yang menceritakan tentang kerajaan Terengganu bakal bergolak.

Sumber yang menceritakan itu meramalkan kerajaan Mat Said akan dilucutkan oleh Najib.

Politik Terengganu kalau kita lihat asasnya ia sebenarnya goyah. Ia bermula bila Idris Jusoh tidak diterima sebagai MB Terengganu di zaman Pak Lah.

Pengikut pengikut Idris Jusoh memberontak namun Idris Jusoh bukan sifatnya seperti Mat Said. Malah Idris Jusoh sendiri telah beralih arah ke Parlimen dan akhirnya ia dilantik sebagai Menteri Pendidikan kedua.

Adakah Idris Jusoh berhenti di situ? Ini politik. Kita harus membaca politik dari sudut yang lain. Politik ialah kemenangan untuk mendapatkan kuasa. Seandainya saya tidak dapat kuasa, kamu juga harus tidak mendapatkannya.

Kerajaan di bawah Mat Said menghadapi pelbagai masalah. Namun Nelangnya Mat Said tidak boleh dilanggar begitu sahaja.

Sehari sebelum Parlimen dibubarkan, saya berada di Mekah. Menariknya, saya ke Mekah kali ini dengan beberapa orang kuat Umno Terengganu. Mereka ke sana selain untuk umrah, mereka juga pergi untuk membida projek pembekalan makanan kepada jemaah haji tahun lepas.

Saya dikenali sebagai orang Pas, namun tidak menjadikan masalah kepada mereka. Malah saya turut membantu mereka dengan beberapa kontak saya di Mekah.

Melalui mereka, saya mendapat beberapa gambaran tentang bakal calon umno di Terengganu.

Pulang daripada Mekah, selepas pengumuman calon calon di Terengganu, kawan saya menelefon saya dan berkata "Haji, kalau pas tak menang lagi sekali ni di Terengganu, maka suruh orang Pas berenti main politik."

Kata kata ini menunjukkan betapa teruknya pemilihan calon pada kali ini. Saya membiarkan ianya berlalu begitu sahaja. Dan ternyata Umno menang lagi dengan simple majoriti.

Bila mendengar berita semasa di Parlimen hari tu, saya menghubungi kembali rakan saya itu. Dia mengesahkan tentang satu surat yang ditanda tangani oleh Mat Said untuk berhenti selepas setahun. Pengesahan itu diberikan bukti awal kepada saya. TAHUN INI TIADA SAMBUTAN KEPUTERAAN SULTAN TERENGGANU.

Ternyata perkara itu berlaku. Saya masih tidak faham kenapa sambutan keputeraan itu tiada. Adakah ia berkaitan dengan Sultan tidak menyukai Mat Said. Mengikut kawan saya itu, ia tiada kaitan.

Semenjak dari signal itu betul, saya memulakan solidariti kepada Mad Said di wall saya. Ramai yang tertanya tanya dan ramai juga yang hanya senyum sinis.

Saya rasa ianya begini. Kerajaan Terengganu di bawah Mad Said dianggap tidak mampu bertahan untuk pilihanraya akan datang.

Geng geng Idris Jusoh mengadukan hal ini kepada Najib. Untuk menyelesaikan masalah ini, Najib memberi kata dua kepada Mad Said. Mat Said menandatangani surat perletakan jawatan setahun kepada Najib.

Bila sampai setahun, Mat Said merasakan dia dikhianati. Surat yang ditandatangani dulu, bukanlah tujuan utama untuk membaiki parti tapi lebih kepada mengnyahkannya dari tampuk kuasa.

Bila Mat Said meminta tempoh, untuk menyelesaikan perkahwinan anaknya yang sememangnya secara sengaja dibuat melebihi daripada tarikh asal yang dipersetujui asalnya. Lalu Mad Said menjadikan itu alasannya untuk keluar parti.

Semua ini berlaku kerana sifat Abe Mad yang Nelang dan lemahnya Najib.

Najib menganggap perjanjian asalnya dengan Mat Said akan dipatuhi oleh Mat Said. Dalam masa yang sama, Mat Said sendiri melihat pentadbiran Najib sendiri sangat lemah.

Apa yang bakal terjadi?

Mat Said tidak akan menyokong Pas untuk memerintah kecuali Pas memberi kerusi MB kepadanya. Hanya kerusi MB yang akan dipersetujui oleh Mat Said. Saya rasa itu tidak mungkin akan terjadi.

Apakah Umno akan memberi kembali kepada kerusi MB kepada Mat Said? Ini pun sesuatu yang sukar.

Adakah dun akan dibubarkan dan pilihanraya semula akan di adakan?

Ini merupakan jalan yang paling Mat Said tidak mahu berlaku. Jika ini berlaku, Mat Said akan kehilangan kesemuanya sekali termasuk wakil rakyat.

Kesimpulannya, kalau Pas pandai memujuk Mat Said, dan bersedia memberi kerusi MB kepada Mat Said, Pas akan memerintah Terengganu namun MB nya ialah Mat Said.

Kalau Umno memberi semula kerusi MB kepada Mat Said, geng geng Idris Jusoh akan meletak jawatan beramai ramai. Ini menjadikan Umno Terengganu lumpuh kembali.

Di sini Umno dan Pas perlu bersatu bergabung untuk membubarkan dun.

Kalau dun dibubarkan, Mat Said akan hilang Nelangnya dan Umno serta Pas akan terpaksa berjuang kembali. Rakyat akan menentukannya. Saya rasa ini pilihan terbaik yang ada setakat ini.

Akhirnya sama samalah kita nantikan episod seterusnya. Bila saya menulis tentang Nelangnya Mad Said anda susah untuk percaya. Oleh itu PERCAYALAH. MAT SAID MEMANG NELANG!!

Hj Osama

Tuesday, May 13, 2014

Kemelut di Terengganu: Kembalikan Hak Memilih Kepada Rakyat

Kenyataan Media
13 Mei 2014

Kembalikan Hak Memilih Kepada Rakyat Terengganu

Melihat kepada situasi politik terkini di Terengganu di mana pesta keluar parti begitu rancak setelah Datuk Seri Ahmad Said digulingkan dari jawatan Menteri Besar yang disandangnya, maka tersebarnya pelbagai khabar mengenai peluang Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan negeri tersebut melalui jalan belakang.

Suasana politik negara tidak harus disemarakkan dengan pelbagai tindakan dan keputusan yang tidak berlandaskan jalan demokratik. Pemilihan sebuah kerajaan itu haruslah dilakukan oleh rakyat sendiri melalui pilihanraya dan bukanlah melalui rundingan atau percaturan pemimpin politik.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini mendesak Datuk Seri Ahmad Said dan rakan-rakan beliau yang lain untuk turut meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi DUN masing-masing, bukannya menggunakan kesempatan ini sebagai "bargaining power" untuk memusatkan dendam amarah mereka apabila digulingkan.

Rakyat di kawasan tersebut telah membuat keputusan untuk memilih mereka melalui parti yang mereka dokong dan tindakan untuk keluar parti dan menjadi bebas adalah satu lagi siri pengkhianatan terhadap amanah rakyat.

Jika sebelum PRU 13 yang lepas, apabila beberapa politisi oposisi memilih untuk keluar parti, maka kedengaranlah suara-suara dari blok Pakatan Rakyat mendesak mereka-mereka ini melepaskan kerusi masing-masing, maka prinsip ini jugalah yang harus ditegaskan dalam krisis politik Terengganu ini. Masih segar di ingatan, bagaimana PR melaungkan slogan Kerajaan Haram sewaktu krisis di Perak dulu, apakah kini PR akan menggunakan cara yang sama untuk memegang kuasa?

SAMM menegaskan bahawa jalan demokratik harus diambil dan pembubaran DUN Terengganu atau gerombolan Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatan bagi membuka jalan PRK diadakan adalah pilihan terbaik. Kembalikan hak rakyat Terengganu untuk memilih wakil rakyat dan Kerajaan mereka.

Sebarang percaturan politik mengikut "precedent" krisis Perak wajar ditolak oleh semua parti politik. Jalan belakang yang tidak berlandaskan demokrasi adalah penghinaan kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga amalan demokrasi berperlembagaan yang dijunjung negara ini.

Tiada apa yang perlu ditakutkan oleh BN mahupun PR. Jika benar kamu punyai asas sokongan yang kukuh, kejayaan pasti milik kamu. Cukuplah mencabuli prinsip dan amalan demokrasi. Janganlah diulangi dan dijadikan satu amalan biasa.

Tak kira siapa yang menjadi pilihan Istana Terengganu menjadi Menteri Besar ketika ini, perkara pertama yang perlu dilaksanakan adalah adakan Pilihanraya Negeri Terengganu diadakan. Hormati kematangan rakyat Terengganu dalam membuat pilihan mereka. Binalah sebuah kerajaaan yang berlegitimasi bukannya separuh masak.

Roslee Md Shariff
Penyelaras SAMM Kebangsaan

Tuesday, May 6, 2014

Setahun selepas berlalu PRU (tipu)

Setahun Sudah Ditipu, Masih Lagi Berkompromi

Semalam, genaplah setahun kita ditipu dalam pilihanraya umum ke-13. Seperti yang ditegaskan sejak setahun yang lalu, kita tidak wajar mengiktiraf kemenangan Barisan Nasional walau dengan apa pun hujahnya. Dakwat tidak kekal memberi ruang manipulasi kepada 300 ribu pengundi awal - ini jangan sesekali dilupa.

Membiarkan BN terus memerintah negara ini walaupun dalam hati tidak bersetuju dan tidak redho, adalah bersubahat dengan penipuan yang dilakukan. Mengekalkan beberapa negeri tidak harus jadi alasan untuk bertahan, kerana rakyat terus sengsara dengan dasar dan polisi sebuah kerajaan yang menang secara menipu.

Natijahnya cukup besar apabila kita membiarkan aparat ini terus berkuasa. Kenaikkan harga gula, harga petrol dan tarif elektrik yang seterusnya menjadi anjakkan kenaikan kepada hampir semua sektor perbelanjaan rakyat Malaysia. Malah pemberian BR1M yang dijanjikan sebanyak RM1200 dalam manifesto BN sebagai umpan hanya dapat separuh sahaja, kini timbul pula ura-ura BR1M bakal dimansuhkan kononnya kerana ia bebankan kerajaan dan gagal hapus kemiskinan. Ini disebut sendiri oleh Tun Mahathir dan Ahmad Maslan selaku menteri berkaitan. Apalah nasib, penyokong BN pun kena tipu hidup-hidup.

Rakyat Malaysia terus dirundum malang apabila cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan. GST telah diluluskan di dewan rakyat dengan sokongan 119 ahli parlimen BN. Bagi mengolah persetujuan ramai, ratusan juta wang rakyat telah dibelanjakan untuk propaganda betapa indahnya rupa GST. Semua kebaikkan GST yang diamalkan oleh negara maju dijaja dengan fakta yang penuh tersembunyi.

Mantiknya, mereka boleh menipu dalam pilihanraya untuk mengekalkan kuasa, mereka juga boleh menipu dalam melaksanakan GST. Satu contoh mudah, mereka katakan tiada GST untuk pengguna lebuhraya bertol, tetapi pengguna tol akan dikenakan 6% GST setiap kali isian semula 'touch n go'. Nampak? Anda tentu pernah dengar cadangan untuk semua pengguna lebuhraya diwajibkan guna 'Touch n Go' untuk elak kesesakkan di lebuhraya. Nampak?

Satu lagi contoh, mereka katakan pembelian rumah dikecualikan dari GST, namun segala ramuan untuk menyiapkan rumah dikenakan GST. Pemaju perumahan tidak terkecuali dikenakan GST untuk setiap batu bata, simen, besi, pasir dan sebagainya. Ya benar harga rumah tiada GST, tetapi harga jualan tetap akan melambung tinggi. Maksudnya, GST telah dikenakan sebelum rumah tersebut sedia untuk dijual.

Jika GST yang dilaksanakan di luar sana dikatakan baik untuk negara dan rakyatnya, perlaksanaan GST 'versi Malaysia' adalah tembolok untuk kerajaan Umno dan malapetaka buat rakyat Malaysia.

Justeru itu, sempena Hari Buruh pada tanggal 1 Mei 2014 menyaksikan lebih 50 ribu rakyat telah protes secara berhimpun mewakili jutaan rakyat Malaysia membantah perlaksanaan GST. Paling dramatik, satu perarakkan bersejarah 'Hari Buruh' telah berlangsung dari KLCC ke Dataran Merdeka melalui Bukit Bintang dan Pudu. Perarakkan tersebut disertai oleh ribuan anak muda dan kaum buruh dengan agenda membantah GST.

Selesai tunjuk perasaan, selesai ceramah, apakah hasilnya aksi kali ini? Dalam masa tidak sampai tempoh 24 jam, satu pengumuman telah dibuat oleh pihak kerajaan. Pengumuman oleh menteri yang berbunyi "Kerajaan akan tetap melaksanakan GST pada April 2015".

Lihatlah betapa angkuhnya mereka, tidak langsung mempertimbangkan aspirasi rakyat yang tersepit. Jelas petualang ini tidak peduli. Mungkinkah kerana pilihanraya lambat lagi? Apakah kita perlu tunggu pilihanraya dan akhirnya ditipu lagi?

Dataran Merdeka mungkin sudah tidak mendatangkan gerun buat mereka. Mengimbau kembali, malam tahun baru 2014 menjadi saksi bagaimana anak muda berjaya masuk ke Dataran Merdeka dengan jumlah yang hampir sama dengan aksi 1 Mei. Ketika itu tiada kebenaran polis, tiada ceramah politik, malah tiada penganjur rasmi. Hanya yang ada ialah amaran keras dari anak muda. Aksi ini berhasil, selain daripada mendapat liputan berita dunia, hasrat kerajaan menaikkan harga tol sebagai menu hidangan kepada kroni juga terpaksa dibatalkan.

Maka dapatlah dirumuskan bahawa perhimpunan yang berkompromi dengan kerajaan tidak akan membuahkan hasil malah dihina pada hari berikutnya. Jumlah kehadiran 50 ribu bukanlah satu angka yang boleh dibangga kerana kita pernah gegarkan Kuala Lumpur dengan angka 250 ribu, suku juta dalam tempoh dua tahun sebelumnya.

Jangan sesekali kecewa dengan hasil perjuangan kali ini, jangan sesekali mengalah hanya kerana perhimpunan itu 'ceramah'. Kita anak muda perlu berjiwa besar dan perlu terus menyusun gerakan ampuh untuk mengajar regim erti kuasa rakyat.

Barangkali jika perhimpunan aman itu berlangsung di Putrajaya seperti yang pernah dicadang, meninggalkan tiada ruang untuk pentas ceramah diatur, tiada ruang untuk berkompromi. Jangan jadikan logistik sebagai alasan. Ya benar, bukan senang untuk ratusan ribu muncul berhimpun di Putrajaya kerana faktor logistiknya. Tetapi harus juga diingat, bukan senang ratusan ribu mahu pulang selepas berjaya masuk ke Putrajaya.

Berbalik kepada jubli setahun penyelewengan demokrasi rakyat, renungkanlah kembali dalam masa setahun ini, apakah kita akan terus bersabar menjelang tahun-tahun yang mendatang? Apakah kita akan terus bersubahat?

Kita tidak harus berserah dan menunggu, kita akan terus ditipu dan mereka terus bermewah merompak khazanah negara. Ingatlah, janji tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah nasibnya sendiri (bangkit dan lawan). Malah bala (GST) itu tidak mengenal siapa yang kamu sokong dalam pilihanraya 5 Mei yang lalu, sokong PR pun kena, sokong BN pun kena, semua tidak terkecuali.

Sekian

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM