Friday, February 21, 2014

Belum PRK orang Myanmar dah berlambak di Kajang

Kenyataan Umum
20 Februari 2014

Kajang Sudah Jadi Yangoon?

Semalam, SAMM menerbitkan sebuah kenyataan bersama gambar-gambar yang menunjukkan perkembangan pelik di Kajang. Ia ekoran kebanjiran warga asing yang dipercayai warga Myanmar yang diturunkan di KTM Kajang.

Warga Myanmar tersebut juga dilihat membawa beg seolah-olah baru tiba dari KLIA, juga dimaklumkan dikawal rapi oleh beberapa anggota RELA.

Hari ini keadaan semakin sesak di Kajang oleh warga Myanmar, apakah Kajang sudah menjadi kota Yangoon?

Dua klip-video telah disumbangkan oleh sukarelawan yang menjadi pemantau SAMM di Kajang, dikepilkan sekali untuk kegunaan pihak media.

Berikut adalah kenyataan semalam untuk rujukan semua;

Kenyataan Media
19 Februari 2014



Perkembangan Pelik di Kajang, SPR Harus Minimakan Ruang Manipulasi


Satu perkembangan yang pelik telah berlaku di sekitar Kajang apabila pasukan pemantauan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengesan beberapa bas persiaran menurunkan warga asing di hadapan KTM Kajang pagi ini.

Apakah ianya satu kebetulan apabila ribuan warga asing dipercayai warga Myanmar hadir ke Kajang dengan beg besar seolah-olah baru masuk ke negara melalui KLIA.

Dalam perkembangan yang sama, adakah kehadiran warga asing ini turut berkaitan dengan kelewatan melampau tarikh pilihanraya kecil yang jatuh pada akhir Mac dengan alasan yang tidak masuk akal?

SAMM tidak menolak kemungkinan kelewatan tarikh PRK ada kaitan, demi persiapan lebih rapi untuk penipuan pilihanraya kecil N25. Usaha SPR untuk menggunakan senarai pemilih yang baru (Mac 2014) juga agak meragukan.
SAMM turut menggesa supaya SPR meminimakan ruang-ruang manipulasi antaranya dalam soal jumlah pengundi awal yang begitu ramai.

Menjadi persoalan, mengapa SPR menggunakan petugas dari pengundi DUN Kajang? Mengapa tidak SPR memanggil petugas dari sekitar Bangi, Semenyih dan Cheras untuk menjadi petugas pilihanraya?

Jika SPR memanggil pengundi Kajang sebagai petugas maka ia membuka ruang manipulasi dengan peningkatan besar jumlah pengundi awal. Ini sepatutnya boleh dielakkan.

Sebagai sebuah badan yang tercalar teruk menafikan demokrasi dalam PRU lalu, SPR harusnya terarah untuk menjadi lebih bersih bagi mengembalikan keyakinan orang ramai. Namun pemerhatian SAMM setakat ini, SPR tetap tidak berubah dan tidak punya usaha yang nyata untuk perbaiki kelemahan. SPR terus diperkudakan pemerintah.

Sebelum ini SAMM telah mendesak pihak SPR memperinci anggaran perbelanjaan RM1.6 juta untuk PRK Kajang yang disifatkan agak tinggi. Ia ekoran operasi SPR yang kerap menggunakan orang tengah dalam pelbagai urusan secara tidak langsung berlaku ketirisan dan pembaziran.

Akhir sekali, SAMM menyeru kepada orang ramai dan semua aktivis demokrasi agar turun ke Kajang untuk memastikan pilihanraya kecil kali ini berlangsung dengan bersih dan adil. Harus diingat, Inilah 'turning point' bagi pihak Barisan Nasional maka tidak mustahil penipuan terbesar dalam sejarah bakal berlaku di Kajang.
Sekian,


che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Sekian,

che'GuBard

Saturday, February 15, 2014

Tahfiz terbakar, PAS lancar tabung bantuan

PAS Kawasan Paya Besar melalui Dewan Pemudanya, melancarkan tabung derma bagi sumbangan segera berikutan malapetaka Maahad Tahfiz Muhammadiah Bukit Rangin yang hangus dijilat api malam kelmarin.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar, Tarmizi Yahaya, kebakaran tersebut berlaku sekitar jam 10.30 malam ketika pengetuanya Tengku Muhammad Tengku Jaafar bersama 18 orang pelajarnya mengikuti program Ijtima' Tarbawi di Balai Islam Darul Salam, Permatang Badak.

Katanya, pada waktu itu hanya beberapa orang yang tinggal termasuk isteri pengetua, anak, cucu, menantu, adik ipar dan seorang lagi tenaga pengajar masing-masing sempat menyelamatkan diri keluar ikut pintu belakang meredah longkang untuk ke rumah jiran.

“Saya difahamkan tiada apa yang dapat diselamatkan kerana kebakaran begitu pantas. Keseluruhan asrama, katil, tilam , bantal, pakaian tahfiz dan harian,ruang surau, pejabat, kerusi meja rak, kitab tafsir dan al-Quran hangus dijilat api.

“Kita masih bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa. Bagi yang ingin menyumbang wang tunai, boleh memasukkannya ke akaun Dewan Pemuda PAS Paya Besar Bank Islam 0601-9010-0368-98. Sila maklumkan jumlah sumbangan anda di nombor bendahari DPPPB 0169868639,” katanya.

Tambahnya, barangan lain juga boleh disumbangkan seperti pakaian, makanan kering dan yang sesuai.

Untuk bertanya lebih lanjut atau untuk menghantar sendiri bantuan, boleh menghubungi pengetuanya Ustaz Tengku Muhammad di talian: 0139380762.

Maahad tahfiz ini membiayai anak yatim dan anak fakir miskin juga tempat persekolahan tahfiz pelajar dari Rumah Anak Yatim dan Miskin D'NASTI kelolaan Nisa’ Pahang.

CAPTION
~ Tahfiz Muhammadiah terbakar malam tadi yang memusnahkan keseluruhan bangunan
~ Pelajar-pelajar tahfiz kini hanya berteduh di dewan makan.


Thursday, February 13, 2014

Penduduk kesal jalan di kampung Exco dibiarkan pecah, berlubang

TEMERLOH: Penduduk-penduduk Kampung Baru Bintang di sini kesal masalah jalan utama keluar masuk ke kawasan perkampungan pecah dan berlubang sepanjang satu kilometer, terus dibiarkan walaupun mereka telah mengadu kepada pihak berkuasa.

Menurut mereka, jalan kampung yang menjadi kediaman keluarga Exco Kerajaan Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin itu pecah dan berlubang agak dalam sehingga boleh membahayakan pengguna lebih-lebih lagi apabila musim hujan kerana air memenuhi lubang besar atas jalan.

Serentak dengan itu, mereka menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hasan meluahkan rasa tidak puas hati setelah segala saluran aduan kepada pihak berkuasa yang dibuat, tidak dindahkan.

Seorang penduduk Mohd Fuzan Abd Jabar berkata, jalan rosak yang terus dibiarkan itu mengundang bahaya dan kecelakaan kepada penduduk lebih-lebih lagi kanak-kanak sekolah.

“Laluan utama ini boleh mengelirukan pengguna apatah lagi jika pengguna memandu pada waktu malam sehingga boleh menyebabkan kerosakan serius kepada kenderaan.

“Lebih malang lagi bagi penunggang motosikal, mereka boleh terjatuh jika terlanggar lubang-lubang besar itu. Keadaan jalan semakin teruk akibat daripada lori keluar masuk mengangkut kayu getah.

“Justeru kami berharap pihak berwajib sama ada Pembangunan Luar Bandar (PLB) atau Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat segera membaiki satu-satunya laluan utama di kampung ini seberapa segera untuk kemudahan penduduk kampung khususnya kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah,” katanya.

Tambahnya, penduduk tidak ada pilihan jalan lain untuk melakukan aktiviti, pergi bekerja dan berulang ke masjid.

Difahamkan kerosakan jalan kampung dalam Dun Mentakab ini telah berlaku lama dan penduduk pernah mengadukan masalah tersebut kepada Adun BN ketika itu.

Pada masa ini Dun Mentakab telah dikuasai oleh DAP melalui Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Sementara itu Nasrudin memahami kesukaran penduduk dan berjanji akan membawa perkara tersebut kepada pihak berwajib di peringkat atasan untuk tindakan sewajarnya.

“Kita akan minta supaya sekurang-kurangnya dapat dibaiki terlebih dahulu mana-mana yang mengalami kerosakan teruk,” katanya.


~ Fauzan dan penduduk kampung menyerahkan memorandum kepada Nasrudin. Turut hadir YDP PAS Temerloh Md Jusoh Darus.





Wednesday, February 12, 2014

Lagi laporan polis terhadap NGO tawar RM1,200 tampar Teresa

Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji semalam (Selasa) tampil membuat laporan polis ke atas enam NGO Melayu yang telah membuat demonstrasi dan provokasi melampau yang jika tidak ditangani segera dikhuatiri boleh mencetuskan permusuhan kaum.

Pengerusi DAP Pahang itu berkata, kumpulan yang menamakan Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia itu menawarkan sesiapa yang dapat menampar muka YB Teresa Kok akan dapat RM1,200 kerana semata-mata tidak berpuas hati ke atas video klip “Onederful Malaysia CNY 2014 yang mengkritik dan menyindir secara lawak jenaka berkenaan kelemahan pentadbiran kerajaan BN.

“Video klip tersebut langsung tidak menyentuh perkataan mahupun menghina mana-mana kaum, agama dan institusi istana di negara ini.

“Kami juga berasa sedih dengan penjelasan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa perkara ini ancaman ini tidak dianggap jenayah dan polis tidak akan mengambil berat. Sedangkan kenyataan yang tidak bertanggung-jawab ini keluar dari mulut orang yang sepatutnya mengawal keamanan,” katanya selepas membuat laporan polisdi Balai Polis Mentakab.

Turut mengiringi Setiausaha PAS Temerloh Abirerah Awang Chik, Setiausaha PKR Temerloh Yahya Abdul Rahman, Ketua DAP Mentakab Lai Chee Meng serta para penyokong.

Yang menariknya, pada waktu yang sama kira-kira 40 orang Wanita Umno Temerloh turut membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di IPD Temerloh serta membuat demonstrasi di hadapan bangunan Plaza Temerloh.

Zulpuri yang juga Adun Mentakab berkata, persoalannya menawarkan kepada sesiapa melakukan jenayah pukul (tampar) dengan menawarkan ganjaran wang adalah amat berbahaya yang mana ianya boleh memudaratkan mangsa jika ianya dilakukan oleh orang ramai.

“Diharapkan Peguam Negara dapat memberi komen tentang perkara tersebut, jika tidak provokasi dan demonstrasi seperti ini akan terus dilakukan oleh generasi muda yang akan datang kerana ianya dianggap tidak salah dan kononnya bukan jenayah, sehinggalah negara ini akan dilihat sebagai negara koboi.

“Saya sebagai seorang Islam juga ingin menyeru kepada pihak berkuasa Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negara ini agar dapat menasihatkan atau mengambil undang-undang terhadap mana-mana orang Islam yang memburukkan imej Islam dengan provokasi penyembelihan seolah-olah ianya satu amalan yang boleh dilakukan oleh umat Islam,” jelasnya lagi.

Zulpuri berkata, tujuannya membuat laporan supaya polis dapat menyiasat tawaran ganjaran RM1,200 oleh pihak tertentu yang telah disiarkan media secara meluas sedangkan jelas melakukannya adalah satu kesalahan di bawah seksyen 505 dan 506 Akta Jenayah.

Justeru beliau menyeru pihak polis membuat penyiasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang terlibat.


~ Zulpuri menunjukkan laporan polis bersama (dari kiri) Lai, Abirerah dan Yahya.


Tuesday, February 4, 2014

Khalid, Anwar dua-dua rakyat mahu

Kenyataan Media
3 Februari 2014

Selangor Perlukan Anwar dan Khalid Ibrahim

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) lahir dari semangat perlawanan anak muda, menegaskan perubahan itu tidak datang bergolek dan tidak boleh ditunggu. Perubahan harus direntap sebagaimana kita mengasak dan terus mengasak dengan matlamat menumbangkan mana-mana regim penindas rakyat.

PRK Kajang hadir dalam suasana politik yang tidak menentu. Ramai yang menyokong langkah ini demi kestabilan dan kelangsungan perlawanan, namun tidak kurang juga yang membantah dengan alasan tersendiri. Selepas penjelasan demi penjelasan diutarakan, akhirnya kata putus dari semua pimpinan Pakatan Rakyat dicapai dengan nilai positif - tumbangkan Barisan Nasional demi perubahan.

SAMM juga tidak terlepas dari pertembungan pendapat. Sebagai anak muda, kita meraikan perbezaan pendapat dan membuat keputusan dasar di atas persetujuan kolektif. SAMM merakam beberapa perkara dalam kenyataan ini, adalah termasuk;

1. Pakatan Rakyat harus berani melambung bola untuk dimainkan oleh pihak lawan, maka Langkah Kajang adalah keputusan yang sangat berani, mempertaruhkan reputasi kekuatan sebuah parti dan gabungan Pakatan Rakyat. Ia juga berupa satu serangan untuk mematahkan serangan pihak musuh yang pelbagai.

2. TS Khalid Ibrahim telah menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar dengan cemerlang, namun asakan hebat dari musuh yang penuh tipu helah melangkau bidang kekuatan TS Khalid. Bagi mengekang kemaraan musuh ini, sosok Anwar menjadi pertaruhan terbaik untuk memimpin negeri Selangor dari asakan seteru utama iaitu Najib Razak yang menjadi pengerusi BN Selangor.

3. TS Khalid Ibrahim juga mempunyai jasa yang amat besar di Selangor, dan antara jasanya yang paling besar ialah memberi laluan kepada DS Anwar Ibrahim untuk memimpin Selangor dan seterusnya menjadi faktor penyatu yang paling berpengaruh. Maka SAMM turut mencadangkan supaya TS Khalid menjadi orang paling kanan dalam pengurusan kewangan di negeri Selangor, dan diangkat menjadi Pengarah Pilihanraya.

4. Soal 'amanah' telah dijadikan senjata utama oleh pihak musuh selepas Adun Kajang meletak jawatan. Sedarkah semua bahawa Barisan Nasional telah pecah amanah selama lebih 50 tahun lamanya? SAMM nasihat kepada Umno dan BN supaya melihat kekayaan dan pemborosan Rosmah Mansor sebagai simbol 'amanah'.

5. Pertembungan Mahathir dan Najib menjadikan negeri Selangor sebagai medan penilaian dalaman Umno. SAMM tidak menolak kemungkinan isu perkauman dan kebencian agama akan dilancarkan dalam skala besar yang di luar jangkaan. Maka wajar untuk SAMM nyatakan bahawa Selangor memerlukan seorang Anwar Ibrahim.

Justeru itu, SAMM dengan ini menyokong cadangan meletakkan DS Anwar sebagai calon Pakatan Rakyat dan TS Khalid Ibrahim Sebagai Pengarah Pilihanraya. SAMM juga akan menggerakkan kekuatan jentera SAMM dalam usaha membuahkan kemenangan Pakatan Rakyat di PRK N25 Kajang.

Isamuddin Sanusi
Pengarah Sekretariat
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)