Friday, July 26, 2013

Rompakan besar di bandar kecil

TEMERLOH: Kejadian rompakan kedai emas bernilai RM3.2 juta di Mentakab dekat sini Khamis minggu lalu, terus menjadi bualan hangat orang ramai di daerah ini.

Dalam kejadian tersebut enam lelaki bertopeng bersenjatakan parang hanya mengambil masa tiga minit ‘menyapu’ 21 dulang emas ketika kedai baru dibuka oleh pemiliknya.

Rompakan sebesar itu merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah daerah ini. Manakala perompaknya pula berjaya melarikan diri dan belum berjaya diberkas sehingga ke hari ini.

Apa yang amat memusykilkan penduduk ialah rompakan berlaku pada jam 9.30 pagi iaitu sewaktu orang ramai lalu-lalang, apatah lagi kedai emas yang menjadi mangsa itu terletak di pinggir jalan utama Mentakab-Temerloh.

Kedua, lebih membingungkan lokasi kejadian itu terletak hanya sekitar 300 meter dari Balai Polis Mentakab.

Ketiga, turut menjadi persoalan ialah bagaimana enam perompak itu boleh meloloskan diri dengan mudah untuk memecut kereta keluar ke Tol Temerloh Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sedangkan masa yang sepatutnya diambil tidak kurang daripada 20 minit.

Lebih memeningkan penduduk, berdasarkan kenyataan polis penjenayah yang menggunakan dua kenderaan iaitu Toyota Camry dan Honda Accord kemudiannya masuk ke dalam sebuah lori kargo yang menunggu di pusat rawat dan rehat sebelum menuju ke Kuala Lumpur melalui LPT. Mudahnya? Sedangkan perjalanan ke ibu negara mengambil masa dua jam?

Setakat ini tidak ada penduduk yang berani membuat sebarang andaian tetapi hanya kehairanan dilahirkan melalui mulut ke mulut.

Seorang penduduk, Norazmi Abdul Majid, 57, berkata apa yang dikhuatiri dan menghantui penduduk ialah tahap keselamatan mereka benar-benar terkawal jika berlaku iaitu mampukah pihak berkuasa bertindak dengan pantas pada masa-masa yang akan datang.

“Mentakab tidak sebesar mana iaitu hanya bandar kedua dalam daerah ini. Maka jika itupun sudah boleh berlaku jenayah sebegini besar dan menakutkan, apa lagikah jaminan keselamatan kepada orang ramai?,” soalnya.

Tambahnya, bagi penduduk yang penting ialah jaminan keselamatan. Sebelum ini banyak kali disiarkan media cerita budak hilang kerana menjadi mangsa penculikan.

Bagi seorang penduduk lagi, Saifudin Kamarudin, 36, memang wajar jika pihak kerajaan memberi perhatian serius dan menekankan permasalahan keselamatan rakyat kerana ia termasuk dalam Aku Janji Manisfesto BN pilihan raya umum ke 13 iaitu “Meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam”.

“Propaganda kerajaan ialah menjadikan negara ini maju. Seolah-olah pembangunan sekarang ialah ke arah mengejar kemajuan itu. Untuk siapakah kemajuan apabila makin maju rakyat semakin dihambat ketakutan?,” soalnya.

Bagi beliau, sepatutnya masalah sosial mesti diutamakan namun akhir-akhir ini kes jenayah berat semakin meningkat hari demi hari.

Sementara itu, kenyataan rasmi polis menadapti suspek adalah kumpulan sama yang merompak kedai emas di Jalan Besar, Karak yang berlaku sebulan lalu.

Ini bermakna, kumpulan penjenayah itu amat aktif dan sudah dikenal pasti oleh polis. Modus operandinya sama iaitu merompak kedai emas di bandar-bandar kecil.

3 comments:

  1. boleh saya tahu kronologi kes ni?

    ReplyDelete
  2. boleh saya tahu perkembangana kes ni atau kronologi kes?

    ReplyDelete
  3. boleh saya tahu perkembangan kes ataupun kronologi kes ni? harap tuan boleh bantu saya untuk menyiapkan pentaksiran berterusan; kajian kes pengajian islam bab pencerobohan harta seseorang

    ReplyDelete