Wednesday, August 30, 2017

PAS bersedia untuk berapa penjuru sekalipun

ROSLI ABDUL JABAR

PAS telah menelusuri jalan perjuangannya yang penuh liku di medan politik Malaysia. PAS melangkah satu demi satu anak tangga dengan membawa aspirasi Islam sebagai matlamat perjuangannya.

Dakwah menjadi metod perjuangannya, suntikan semangat perjuangan dan menanamkan kesedaran bahawa umat Islam wajib memperjuangkan, mempertahankan dan melaksanakan hukum Allah yang hanya boleh dilaksanakan melalui kuasa politik menjadi agenda utama isi tiupan tarbiyyah PAS kepada rakyat.

PAS tak pernah jemu dan mengalah meskipun sangat sadis fitnah yang melanda PAS, tubuh pimpinan dan ahli PAS bukan sahaja basah disirami fitnah malahan bersimbah darah, terutama di zaman Tun Mahadir, pembenci tegar perjuangan PAS, namun darah perjuangan pimpinan dan ahli PAS tidak pernah berhenti mengalir hingga kini.

Perjuangan tanpa harta, diikat dengan kejahatan diskriminasi BN terhadap PAS, bukan setakat pemimpin abang besar BN malahan sampailah kepada peringkat jkkk pun menumpang selepuk dua menyakiti hati ahli PAS di cawangan-cawangan, hinggakan nak cop borang anak sekolah pun jadi susah.

Tapi PAS dah mendidik ahlinya bahawa setiap dari kesusahan dari perjuangan akan dikurniakan oleh Allah swt dengan balasan kebaikan, selagi perjuangan PAS berdasarkan Islam dan setiap kerja buat kita didalam PAS semata kerana Allah swt, demi untuk meninggikan syiarNya, maka pasti ianya tidak disia-siakan oleh Allah swt.

"Tin milo", bahasa ejekan pembenci PAS, inilah yang menjadi sumber untuk menggerakkan perjuangan, di dalam "Tin Milo" itu terhimpun segala doa, harapan dan keikhlasan ahlinya untuk melihat PAS terus berjuang, melangkah terus membawa cita-cita Islam hingga sampai ke destinasinya.

Didalam "tin milo" itu terhimpun keberkatan, PAS mengutip kebaikan demi kebaikan darinya, kalau dulu PAS sentiasa hilang deposit, kini hampir menghilangkan deposit orang, dari tiada negeri kini ada pimpinan PAS yang menjadi MB dan EXCO dan yang kebaikan yang paling hebat ialah PAS tetap Istiqamah dengan perjuangan, tidak sedikitpun lemas walaupun ditimbus dengan curahan fitnah.

Hari ini mereka ugut PAS, kalau bertanding 3 penjuru, PAS akan kalah. Harapannya biar PAS melutut dan menjilat muntahan fitnah mereka terhadap PAS. PAS bukan bermain politik dan bersenda dalam perjuangan, kalau nak bersama PAS mesti terima dasar PAS, kalau tak terima apatah lagi hina perjuangan PAS jangan harap PAS akan bersama.

PAS tak akan mengalah meskipun diugut dengan kekalahan, bagi PAS kewajipan kita adalah berusaha untuk menang namun yang menentunya adalah Allah swt semata, PAS tiada beza lagi dengan parti lain jika gadaikan prinsipnya, jika PAS menggadaikan prinsip perjuangannya, itulah sebenarnya kekalahan kerana apa yang mereka nak ialah PAS ikut mereka.

Kerana itulah PAS tidak akan mengalah untuk pertahannya prinsip perjuangannya, kerana selagi prinsip perjuangannya tidak hilang maka itulah sebenarnya kemenangan. Tiadalah kesempurnaan, kenikmatan, keindahan, keberkatan, kekuatan melainkan dengan Islam, tidak mungkin kami akan buang anugerah Allah yang Maha Hebat ini dari perjuangan kami.


YB Ustaz Rosli Jabar
(Pesuruhjaya Pas Pahang / Adun Tg.Lumpur)



PAS jentera agama


ROSLI ABDUL JABAR

Yang PAS nak, ialah Islam menang, bukan PAS. PAS cuma peralatan atau jentera yang bekerja untuk Islam menang. Sampai bila? Sampai Islam menang.

Bukan semestinya PAS memerintah baru disebut Islam menang, sesiapapun memerintah jika ia melaksanakan Islam secara keseluruhannya maka itulah kemenangan Islam.

Tanggung jawap PAS ialah berdakwah dan sebagai wadah politik Islam bagi tujuan menegakkan sistem Ilahi yang pastinya akan memberikan keadilan kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

Islam itu agama, agama itu ilmu, ilmu perlukan kefahaman, untuk faham wajib belajar, maka dakwah itu ialah mengajar dan memberi faham kepada yang tidak faham.

Bila faham barulah timbulnya keyakinan pada Islam, bukan yakin kepada yang lain. Bila dah yakin maka ia akan mencetuskan semangat berkorban dan berjuang untuk menegakkan Islam. Bukan semangat kepada yang lain.

Perngorbanan akan sia-sia jika tiada diberikan pahala, dan tiadalah pahala jika tidak dilakukan kerana Allah swt dan tiadalah sesuatu itu dilakukan kerana Allah melainkan bertepatan dengan syariaatNya.Syariaat itulah yang hendak ditinggikan, bukan dirinya.

Syariaat itu yang mengawal PAS, bukan sebaliknya. Syariaat itulah yang mengarahkan PAS berjuang, PAS hanya menjadi suruhan Syariaat untuk tegakkanNya, PAS cuma menjadi alat untuk tegakkan Syariaat bukan Syariaat menjadi alat PAS untuk kekuasaan politik.

Hari ini ada orang marahkan PAS, ada orang rimas kerana PAS nak tegakkan syariaat Allah, orang kata PAS lambatkan kemenangan untuk kalahkan UMNO/BN jika terus menerus pertahankan prinsipnya untuk tegakkan Syariaat Allah.

PAS tak peduli semua tu, sebab yang kawal PAS ialah Syariaat bukan manusia. PAS bukan berjuang untuk tegakkan sebuah negara yang serupa dengan kerajaan UMNO/BN yang tidak laksanakan Syariaat Allah. Teramat rugi perjuangan begitu.

Yang PAS nak ialah tertegaknya Syariaat Allah, Syariaat perintahkan kita supaya menyokong sesiapa sahaja yang nak tegakkan SyariaatNya, jika ada yang berhasrat untuk laksanaknnya, PAS pasti akan sokong, kerana yang diperjuangkan oleh PAS adalah SyariaatNya.

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur




Penindasan kaum Rohingya: Dunia jangan membisu


Misi penghapusan etnik Rohingya masih berterusan tanpa penyelesaian, bahkan kerakusan tentera regim Myanmar dan pelampau Buddha Rakhine semakin mengganas tanpa perikemanusiaan.

Terbarunya serangan di perkampungan Maungdaw Buthidaung dan Rathidung di Myanmar telah membunuh lebih kurang 500 orang tanpa mengira lelaki, perempuan, orang tua mahupun kanak-kanak, rumah-rumah dibakar dan jumlah ini semakin meningkat. Kini mereka menderita tanpa tempat tinggal dan mereka tidak mempunyai tempat untuk pergi. Mereka terpaksa menjadi pelarian dalam negara sendiri. Nyawa mereka diancam setiap masa dengan tujuan mereka dihapuskan dari peta Myanmar.

Masyarakat dunia perlu sedar dan bangkit bahawa isu penindasan rakyat Rohingya adalah isu kemanusiaan, dibelakangnya tersingkap beberapa isu yang melatari jalan cerita; isu hak asasi manusia, diskriminasi kelompok majoriti terhadap kelompok minoriti, penghapusan etnik masyarakat Islam, kisah kegagalan organisasi-organisasi antarabangsa dan serantau dalam menyelesaikannya, kisah keganasan pihak tentera dan sifat tidak bertamadun masyarakat moden dalam melakukan penindasan sesama manusia. Perhatian bangsa dunia amat diperlukan.

Negara-negara yang menandatangi Piagam Hak Asasi Manusia, Piagam Geneva, negara-negara ASEAN, PBB, negara-negara Islam OIC, negara Islam Serantau dan semua pejuang hak asasi manusia perlu berganding bahu memberi amaran kepada kerajaan Myanmar yang melanggar hak asasi manusia dan menafikan hak kerakyatan masyarakat Rohingya.

Kerajaan Malaysia wajib bekerjasama dan bertindak lebih proaktif dengan negara-negara lain, parti-parti politik, NGO-NGO dan agensi antarabangsa bukan sahaja menghantar misi kemanusiaan, bahkan semestinya memberi tekanan politik kepada kerajaan Myanmar agar menghormati hak kemanusiaan. Kuasa politik amat penting untuk menghentikan penindasan ini.

Islam lebih mendahului dalam menjaga hak orang Islam dan bukan Islam serta pelarian negara asing yang hidup bermasyarakat majmuk dalam negara Islam. Pembinaan Masyarakat Madani yang saling memerlukan di antara satu bangsa dengan bangsa lain, satu kaum dengan kaum lain menjadi asas keharmoniaan di bawah pemerintahan Islam dengan mendahulukan perdamaian dan mengambil langkah diplomatik dan diplomasi, sehingga kedatangan Islam ke negara lain dikira penyelamat bukannya penjajah.

PAS akan menghantar misi kemanusiaan melalui PASRelief dan NGO-NGO dan berunding dengan pihak kerajaan dan agensi antarabangsa untuk menghentikan kezaliman yang tidak bertamadun ini dengan kembali ke meja rundingan.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa, marilah kita bersatu dan berganding bahu atas dasar kemanusiaan. Marilah kita mendesak kerajaan Myanmar agar menerima kerakyatan masyarakat Rohingya dan menyelesaikan konflik ini secara aman dan damai.

Sabda Rasulullah SAW:

مَن لَمْ يهتَمَّ بأمرِ المُسلِمينَ فليس منهم

“Barangsiapa yang tidak peduli dengan urusan kaum muslimin maka dia bukan sebahagian dari mereka”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 8 Zulhijjah 1438H / 30 Ogos 2017

Wednesday, August 16, 2017

PAS mungkin turut tanding di Mentakab

TEMERLOH :– PAS Pahang kemungkinan besar akan meletakkan calon bagi kerusi Dun Mentakab selepas melihat potensi untuk menang semakin positif bagi kawasan tersebut.

Ini selepas perkembangan terbaru apabila bekas Adun Mentakab dari MCA Datuk Chuah Boon Seong mengumumkan akan bertanding bagi kerusi Bebas kelmarin kerana merasakan masih ramai rakyat yang memerlukan khidmatnya.

Ini sekaligus bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila DAP yang menyandang kerusi Mentakab akan ditentang BN, Bebas dan terbaru kemungkinan PAS.

Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata, PAS sebenarnya sedang menilai untuk bertanding di beberapa kerusi baharu di negeri ini termasuk Mentakab dan perkembangan terbaru itu menyaksikan PAS semakin positif untuk meletakkan calon di Mentakab yang kini disandang DAP.

Menurutnya, PAS sudah lama membuat kajian kebolehan untuk menang di Dun Mentakab, dengan perkembangan terbaru apabila Boon Seong mengumumkan bertanding bebas sudah tentu ia semakin positif untuk PAS.

"Dengan perkembangan baharu ini, PAS akan membuat keputusan dalam masa terdekat untuk bertanding di kerusi itu.

"Ini juga bersandarkan desakan daripada akar umbi dan penyokong Pas yang mahukan PAS bertanding di kerusi tersebut," katanya dihubungi semalam.

Rosli.berkata, sekiranya PAS bertanding di Mentakab, calon yang sesuai sudah dikenalpasti bahkan bukan di Mentakab sahaja malah di seluruh Pahang Pas sudah ada calon.

Beliau berkata, calon-calon yang dalam pertimbangan sudah ada malah berlebih dan perlu disaring semula.

Menurutnya, buat pertama kali dalam sejarah juga PAS Pahang akan meletakkan calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS dan calon sudah dinilai samada dari India atau Cina.

"Kita juga ada sekurang-kurangnya dua calon dari Muslimat yang akan diletakkan sebagai calon di kawasan tertentu yang juga dalam pertimbangan kita.

"Pas Pahang kali ini bertanding lebih 30 kerusi Dun berbanding hanya 21 pada PRU lepas manakala bagi kerusi parlimen sebanyak 10 kerusi akan diletakkan calon," katanya.

Sementara itu Rosli berkata, PAS Pahang akan melancarkan jentera PRU di seluruh Pahang pada September ini.

Kelmarin bekas Adun Mentakab Datuk Chuah Boon Seong mengumumkan akan keluar MCA dalam masa terdekat untuk bertanding atas tiket Bebas kerana masih ramai rakyat memerlukan khidmatnya.

Boon Seong turut mengakui masalah kepimpinan MCA Temerloh antara faktor beliau bertanding pada PRU akan datang.



Tuesday, August 15, 2017

ANTARA CITA-CITA DAN ANGAN-ANGAN 'PAS TERAJU PAHANG' - siri 2


Cita-cita adalah sesuatu yang berada dilubuk hati lalu diiringi dengan usaha, tawakkal dan sentiasa berdoa kepada Allah swt agar matlamat perjuangan yang dicitakan akan mencapai kejayaan. Yakin dengan datangnya nusrah dari Allah swt setelah berusaha semampu apa yang boleh dilakukan.

PAS adalah parti yang tak pernah jemu berjuang, Istiqamah dengan prinsipnya, usaha dakwahnya tak pernah berhenti. Ia menjadi baja yang menyuburkan akar perjuangannya, kerana itulah pohonnya sentiasa menghulurkan ranting dan daun-daun yang semakin rendang, kian ramai yang berteduh dibawahnya.

Inilah perjalanan sebuah cita-cita Islam, sifatnya sangat menuntut kepada keyakinan, yakin dengan janji Allah dan yakin dengan kebenarannya, yakin dengan masa depan perjuangannya, yakin bahawa Allah pasti memberikan kemenangan samada didunia atau akhirat ataupun kedua-duanya sekali.

Pernah bersembang dengan Allahyarham Ustaz Jamahir Idris mantan Pesuruhjaya PAS Pahang tahun 70an, beliau bercerita di zamannya ketika beliau berceramah di Kuala Lipis, dengan perjalanan yang jauh, berceramah didalam kebun getah, lampu gasolin, pembesar suara menggunakan bateri dan yang hadir hanyalah tiga orang.

Namun beliau dan seangkatan dengannya tidak pernah luntur semangat perjuangannya, tidak pernah jemu menyebarkan dakwah, tiada henti memberikan kefahaman terhadap perjuangan PAS. Malah terus istiqamah sehingga beliau meninggal beberapa tahun lalu, kini kami menikmati manisan buahan tanamannya. PAS kini tidak lagi asing seperti dahulu, bendera PAS berkibar dimana sahaja pelusuk tanah air termasuk di Sabah dan Sarawak.

Titik peluh perjuangan mereka yang membasahi bumi, menyuburkan perjuangan PAS termasuk di Negeri Pahang, Istiqamahnya para amilin terdahulu menyuburkan perjuangan hari ini, Istiqamahnya para amilin kini, InsyaAllah akan membuahkan hasil kepada pejuangan dimasa mendatang. Inilah keyakinan kami. Kami meniti jalan perjuangan ini dengan penuh keyakinan bahawa "Istiqamah Pasti Akan Menang".

URAJ


Monday, August 14, 2017

Sungai Cemperah, Lipis tercemar


KUALA LIPIS: PAS Lipis menggesa pihak berkaitan menangani masalah pencemaran dari aliran air larut resap (leachate) di pusat pembuangan sampah di Kampung Tempoyang.

Timbalan Yang Dipertua PAS Lipis, Roslan Zainal berkata, aliran leachate mengalir ke longkang besar dan seterusnya ke Sungai Cemperah dan akhirnya masuk ke Sungai Lipis.

Menurutnya, aliran leachate yang tidak dirawat tersebut berkemungkinan berpunca daripada kerosakan loji rawatan pusat tersebut yang tidak dibaiki atau dibiarkan tanpa penyelenggaraan yang betul.

“Ini menyebabkan berlakunya pencemaran di Sungai Cemperah dan Sungai Lipis selain gangguan ekosistem sungai.

“Air sungai yang tercemar juga mengakibatkan bacaan nephelometic (NTU) menjadi tinggi serta menyebabkan loji air ditutup kerana kekeruhan air mentah daripada sungai,” katanya di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PAS negeri berkata, terdapat juga longgokan sampah di Sungai Cemperah yang mengalir di hadapan pintu masuk ke pusat pembuangan sampah tersebut.

Tambahnya, sampah tersebut sewajarnya dipungut dan dilupuskan dengan betul oleh pihak berkaitan.
“Kami berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera menangani masalah tersebut dan memastikan pihak operator pusat pembuangan sampah berkenaan mematuhi prosedur standard yang ditetapkan.

“Ini bagi memastikan pencemaran tidak lagi berlaku sekali gus dapat menjadikan alam sekitar bersih dan sihat,” katanya.



Saturday, August 12, 2017

Antara cita-cita dan angan-angan PAS teraju Pahang

Siri 1.

Bila PAS kata PAS akan bertanding melebihi 30 kerusi DUN dan melebihi 10 kerusi Parlimen di Pahang bermacam pandangan yang diberikan, ada yang menyokong tidak kurang juga yang sinis. Yang sokong kata "InsyaAllah satu masa PAS pasti menang" yang sinis kata "tinggi angan-angan PAS". Yang sokong kita jadikan pendorong semangat, yang sinis hanya seumpama menggaru gatal, walaupun gatal itu tidak kita sukai tapi menggarunya sesuatu yang melazatkan.


Semasa Rasulullah saw menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dihadiahkan kepadanya sepasang gelang "Kisra bin Hurmuz", Maharaja Parsi, ketika itu Rasulullah saw hanyalah bersama Abu Bakar As Siddiq, menjadi insan pelarian yang tiada kuasa dan kekuatan namun akhirnya lengan Suraqah bin Malik disarungkan dengan gelang kebesaran kerajaan Parsi tersebut pada zaman Sayyidina Umar Al Khattab.

Rasulullah saw juga telah menyebut "Kota Konstantinopel pasti akan jatuh di tangan Islam" di saat awal Islam di Madinah, pastinya pada ketika itu kekuatan yang ada tidak mampu untuk meruntuhkan Kota Konstantinopel, namun akhirnya selepas 800 tahun Kota Konstantinopel berjaya ditakluk Islam oleh tentera pimpinan Sultan Muhammad Al Fateh.

Sejak tahun 1951 PAS berjuang tanpa henti. PAS menitip setiap hasil dari kesabaran perjuangannya, dari zaman calon PAS ramai yang hilang deposit sehinggalah ketika ini dan InsyaAllah hinggalah kezaman parti lain akan kehilangan deposit apabila bertanding menentang PAS. Mungkin kejayaan PAS ketika ini dianggap oleh musuh sebagai angan-angan dimasa lalu.

PAS telah berusaha melebarkan kekuatan dan sokongan, bukan sahaja di Semenanjung malahan di Sabah dan Sarawak. Seluruh negara ada jentera dan cawangan PAS. PAS sentiasa berusaha mengumpulkan kekuatan jentera untuk mencapai cita-cita menawan Putrajaya, sesuatu yang berharga tukarannya juga berharga. PAS bukan Mat Jenin yang tahunya berteori, hanya memegang sebiji kelapa angannya memiliki Istana.

Perjuangan PAS disertai dengan ‘Raja' pengharapan, pengharapan itu sepenuhnya kepada Allah swt kerana Dialah Rabb yang memberikan kemenangan. Kemenangan itu terhasil dengan pertolonganNya. Pertolongan itu pula terhasil dengan kesungguhan dan keikhlasan dalam perjuangan, dan keikhlasan itu hanyalah apabila seorang itu berjuang kerana agamaNya.

Cita-cita tidak semestinya tercapai dalam masa yang dekat dan tidak mestinya juga dalam masa yang jauh kerana semuanya berada didalam ilmu Allah swt. Yang menjadi kewajipan ialah kita mesti menanam cita-cita dan berusaha kearah mencapai cita-cita itu. Cita-cita PAS adalah cita-cita Islam. Jika ada yang masih belum setuju, InsyaAllah PAS akan terus berdakwah dan berjuang sehingga mereka bersetuju.

Bersambung.
URAJ



Saturday, August 5, 2017

Lot tapak rumah, pulih tanah terbiar tawaran PAS Pahang

Dua daripada 12 tawaran PAS Pahang kepada rakyat yang diumumkan oleh pimpinan PAS dalam satu majlis di Kuantan baru-baru ini, menunjukkan PAS serius untuk memerintah Pahang selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 14 jika diberi mandat.

Malah bukan sahaja serius, tetapi juga bersedia menjadi kerajaan berkebajikan dan mesra rakyat. Sekali gus tidak terjebak dengan politik adu-domba dan sekadar laungan retorik semata-mata.

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam majlis minum petang bersama wartawan mengakui “PAS bersedia memerintah Pahang”.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu pula dalam majlis berkenaan menyebut komitmen PAS ialah ‘Mengagihkan tanah lot rumah berukuran 30 x 50 kaki persegi kepada rakyat yang layak’.

Tawaran kedua ialah ‘Membangunkan semula tanah-tanah terbiar untuk kegunaan belia-belia Pahang dan Felda’.

Seperti disedari umum, masalah tanah dan penempatan merupakan isu kritikal yang sebahagiannya gagal ditangani oleh kerajaan yang ada.

Bayangkan sebuah keluarga yang pada asalnya berada di atas seekar tanah, apabila berkembang biak kepada generasi kedua dan ketiga tapak untuk membina kediaman sudah begitu sempit dan kesukaran ini ditambah lagi dengan nilai hartanah yang melambung di pasaran. Ini sudah tentu memeritkan bagi anggota keluarga yang agak kurang bernasib baik.

Jadi di situlah relevannya tawaran PAS di mana sekiranya PAS diberi mandat mentadbir kerajaan negeri Pahang maka perhatian difokuskan kepada menyelesaikan permasalahan utama ini iaitu keperluan tapak rumah kepada rakyat khususnya golongan muda. yang tidak berumah dan bertanah.

Tawaran kedua pula ialah berkait dengan pemilikan tanah dan kerjaya.

Sebagai negeri yang paling luas di semenanjung, Pahang memiliki banjaran tanah tinggi, hutan tropika, hingga ke jajaran sungai dan lembah yang subur.

Menurut perangkaan tahun 2014, Pahang memiliki 34,293.27 hektar atau hampir lapan puluh lima ribu ekar tanah terbiar di seluruh negeri ini. Walhal muka buminya begitu subur untuk aktiviti pertanian.

Selama ini kita melihat kerajaan yang ada gagal memertabatkan pertanian sebagai sumber utama. Malahan Malaysia sendiri membelanjakan RM92 juta sehari untuk mengimport makanan berasaskan pertanian, tahun lalu. Dan angka ini menjangkau RM27.93 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Ini sudah tentu amat memeranjatkan dan membuktikan kebergantungan negara kepada hasil makanan import. Secara langsung membuktikan betapa lemahnya pengurusan negara. Bayangkan jika berlaku krisis makanan dunia sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada rakyat.

Bayangkan pula jika berlaku kenaikan harga sumber makanan ini di pasaran dunia. Tidak dapat tidak situasi ini akan lebih memeritkan rakyat.

Sementara itu Jabatan Tenaga Buruh pula menganggarkan terdapat kira-kira 400,000 belia yang menganggur ketika ini.

Justeru jika dapat dioptimumkan penggunaan tanah dan mencapai produktiviti hasil pertanian yang tinggi dan berdaya maju, pembangunan tanah-tanah terbiar tadi semestinya dapat menyelesaikan banyak masalah.

Jadi tawaran PAS yang komited untuk membangunkan tanah terbiar ini sudah tentu dapat menangani masalah belia-belia negeri ini khusus kepada yang tidak bertanah. Kedua, dapat mengurangkan masalah pengangguran. Dan ketiga, berupaya meningkatkan hasil pemakanan berasaskan pertanian komersil.

Hasil daripada itu juga berpotensi menjana ekonomi setempat sekali gus membuka peluang kepada belia-belia di negeri ini termasuk di tanah rancangan Felda mengkomersilkan hasil tanaman mereka ke peringkat dalam dan luar negara.





Thursday, August 3, 2017

Pelajar Maahad Tahfiz Istiqamah naib johan

Meskipun baru tahun pertama beroperasi, Maahad Tahfiz Al Istiqamah Sungai Gau sudah mula menunjukkan ketrampilannya di peringkat kebangsaan khususnya pantai timur.

Baru-baru ini pelajar tahun satu tahfiz di bawah kendalian Dewan Pemuda PAS Pahang itu, Muhammad Aqasya bin Zulkefle, berjaya menjadi naib johan dalam Majlis Tilawah Dan Hafazan Al Quran TNB Peringkat Zon Timur 2017/1438.

Beliau mewakili negeri Pahang dan berjaya meraih markah 80% dalam pertandingan yang diadakan di Kuantan itu.

Dalam pertandingan tersebut negeri Kelantan menjadi johan dengan 83% markah sementara Terengganu ketiga dengan 70% markah.

Sementara itu mudir Maahad Tahfiz Al Istiqamah Ustaz Zarimi Al-hafiz mengucap tahniah kepada adik Muhammad Aqasya di atas kejayaan memperolehi kedudukan tersebut.

“Juga buat kedua ibu bapanya atas sokongan yg terbaik dan tidak lupa buat semua warga Tahfiz Al Istiqamah atas sokongan dan doa.

“Semoga dengan kejayaan ini dapat memberi inspirasi dan motivasi buat ibu bapa dan semua pelajar serta warga Tahfiz Al Istiqamah dan didoakan agar lebih berjaya di masa hadapan.

“Menjadi motivasi kepada pihak pentadbir tahfiz ini dalam menjayakan tema Membentuk Generasi Hamalatul Quran Rabbani”.