Monday, February 27, 2017

Rahsia kekuatan Islam


USTAZ HAZMI DIBOK

Islam pasti akan menang kerana Allah s.w.t. pasti akan menyempurnakan cahaya Islam walaupun seribu satu cabaran merintangi. Islam akan menang kerana Islam adalah dari Allah. Islam adalah cara hidup yang benar (ad-dinul haq) bersumberkan wahyu (hidayatud-din). Gagasan Islam adalah - menang mengatasi seluruh cara hidup (agama atau ideologi) yang lain. (rujuk surah As-Soff ayat 9)

Sebab itulah penting untuk kita istiqamah dengan Islam yang bersumberkan wahyu (Al-Quran dan As-Sunnah). Bukan Islam warisan semata-mata. Bukan juga Islam separuh-separuh (sekular). Bukan juga Islam liberal. Bermain-main dengan istilah dan matlamat yang muluk-muluk tetapi hakikatnya membelakangkan inti dan perincian syariat. Ingin mencapai matlamat (maqasid) dengan perincian sendiri. Al-Quran adalah hidayah dan bayyinah. Petunjuk dan perincian kepada petunjuk.

Sebab itulah penting mendapatkan bimbingan dan pimpinan ulama'. Namun, ulama' yang bagaimana? Ulama' yang kita thiqah dengan ilmu dan amalnya. Ulama' yang mewarisi Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan Al-Quran yang hidup berjalan di atas muka bumi. Kerja buat Nabi s.a.w. adalah terjemahan dan pelaksanaan daripada isi kandungan Al-Quran. Begitulah ulama yang wajib kita ikuti.

Ulama' yang mengajar tentang solat dan dia mengimami solat. Ulama' yang mengajar tentang dakwah dan kehidupannya dihabiskan dengan dakwah. Ulama' yang mengajar tentang politik Islam lalu dia laksanakan malah memimpin gerakan politik Islam sebagaimana Rasulullah s.a.w. memimpin politik. Ulama' yang mengajar tentang kejerihan, keperitan, kesakitan, cemuhan dan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Nabi-nabi yang terdahulu termasuk Nabi Muhammad s.a.w., lalu dia juga melalui mehnah dan tribulasi sedemikian. Ulama' yang diakui ilmunya serta dibuktikan dengan amalnya di lapangan.

Inilah ulama' yang thiqah. Agar hati kita damai dan tenteram meneladaninya dan mengikut tunjuk ajarnya. Sementelah lagi jika mereka membimbing kita dengan ilmu dan pelaksanaan secara jamaie (kolektif).

Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Pahang


No comments:

Post a Comment