Thursday, May 12, 2016

Infiru 4 K suntik semangat jentera pilihan raya

Infiru 4 K suntik semangat jentera pilihan raya


TEMERLOH: Hasrat PAS Pahang untuk meletakkan tenaga jentera pilihan rayanya dlam ‘mood gear 5’ atau kesiapsiagaan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 14 dianggap berjaya melalui program Infiru 4K yang berlangsung Ahad lalu.

Malah, kehadiran anggota barisan hadapan pilihan raya parti itu di Kompleks Al-Makmur, Kerdau itu melebihi sasaran dengan hampir enam ribu tenaga jentera daripada 21 Dun dan parlimen yang ditandingi PAS.
Bayangkan dengan merancang dalam masa yang singkat, program hanya sehari selepas pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, walaupun Pahang sebuah negeri yang luas namun tetap berjaya menghimpunkan tenaga jentera pilihan rayanya.

Pengarah program Hasenan Harun berkata, tenaga jentera yang hadir melalui himpunan ini telah digarap dengan tiga unsur iaitu pemantapan pada sebelah pagi, pemahaman pada sesi petang dan isu-isu semasa pada ceramah sebelah malamnya.

“Kehadiran Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali dan berucap pada majlis perasmian ternyata menyemarakkan lagi semangat peserta.

“Bagi kami program ini diadakan tepat pada masanya iaitu selepas PRN Sarawak dan menghadapi pula pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang telah diumumkan PAS akan bertanding ,” katanya.

Pada sebelah petang diadakan forum Politik Matang & Sejahtera melibatkan panel Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat Dr Muhamad Zuhdi Marzuki.

“Melalui respons dan soal jawab peserta, ternyata mereka dapat membaca dan dan menjangkau gagasan baru PAS Pusat ini dengan baik,” kata Hasenan.

Ceramah perdana merupakan kemuncak program pada sebelah malamnya melibatkan Tuan Guru Presiden, timbalannya, Ustaz Nasarudin, Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Jabar dan Pengerusi DHPP N Balasubramaniam.

Menurut Hasenan, olahan kelima-lima mereka berjaya memberikan persepsi PAS berkaitan isu-isu terkini secara jelas.

Sementara itu Hasenan yang memimpin ikrar taat setia dan memacu jentera pilihan raya, menyatakan komitmen PAS untuk mempertahankan kerusi N. 15 Tanjung Lumpur, N. 12 Beserah di samping akan mengembalikan Kerusi N.32 Kuala Semantan yang telah dilarikan oleh parti serpihan di samping telah mengenal pasti beberapa lagi kerusi yang berpotensi untuk di menangi.

Dalam pada itu, Ustaz Rosli turut mengakui himpunan tersebut berjaya menyuntik semangat dan gerak kerja tenaga jentera menjelang PRU 14.

“Malah PAS Pahang sedang merancang himpunan seumpama ini lebih besar lagi iaitu Infiru 12 K pada Mei 2017 bagi persiapan sebenar jentera pilihan raya menjelang PRU 14 nanti,” katanya.

Mengenai program ini, beliau turut melahirkan rasa kagum petugas dari daerah yang jauh seperti Rompin dan Cameron Highlands yang sanggup hadir dengan beberapa buah bas, yang melambangkan semangat dan disiplin mereka dalam perjuangan Islam.


Pemimpin di pentas bersemangat menyanyikan lagu Negaraku