Saturday, October 5, 2013

Budak jantung berlubang perlu bantuan pembedahan

MARAN: “Saya mahu cucu saya terus hidup dan aktif macam kanak-kanak sebaya dengannya, tetapi apakan daya keadaannya bertambah lemah,” keluh Sara Salim, 46, dari Kampung Bukit Lada, Chenor dekat sini.

Cucunya Muhammad Afif Iffat Abdullah, 2 tahun 9 bulan, disahkan doktor menghidap penyakit jantung berlubang dan bengkak injap sejak lahir.

Anak kecil yang malang ini sepatutnya menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada bulan Julai yang lalu, namun atas sebab kesempitan wang kos yang diperlukan iaitu RM20,000, pembedahan terpaksa ditangguhkan pada Januari akan datang.

“Itupun jika kewangan yang diperlukan mencukupi, jika tidak tak tahulah macam mana,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam sejurus selepas menerima sumbangan wang tunai daripada PAS Pahang.

Sumbangan disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Maran Hasenan Haron.

Menurut Sara, Afif sejak mula dilahirkan ibunya (Zainab Abdul Murad, 17) didapati tidak menangis kemudian di tempatkan di Wad Rawatan Rapi (ICU) selama beberapa minggu sehinggalah disahkan mengalami jantung berlubang.

Tambahnya, Afif mudah semput apabila bermain, selalu kena demam dan mudah dihinggapi penyakit berjangkit. Setakat ini beliau hanya bertahan dengan bekalan ubat yang didapati dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

“Berdasarkan x-ray terbaru, sekarang ini lubang berhampiran injap jantungnya semakin membesar. Sehingga doktor sendiri bimbang berlaku pendarahan dan nasihatkan jangan ditangguhkan lagi pembedahan.

“Sebab itu saya amat memerlukan bantuan orang ramai yang simpati kerana tidak mampu. Ibu Afif tidak bekerja dan hanya tinggal dengan saya di rumah pusaka ini. Saya pula hanya bekerja sebagai tukang sapu sampah bergaji RM500 sebulan,” rayunya.

Bagi yang memiliki sekelumit rasa simpati, marilah sama-sama membantu sekadar termampu melalui sumbangan wang ke akaun nenek Afif iaitu Sara binti Salim. No. Akaun 06300-29-00023236-6 (BSN). Atau boleh menghubungi beliau di talian: 013 9074066.

CAPTION
Hasenan menyampaikan sumbangan kepada Sara untuk cucunya Afif (tengah).