Saturday, March 12, 2011

Ah Long kembali aktif di Pahang


KUANTAN: Beberapa ketika dulu cerita-cerita mengenai ceti haram atau ‘Ah Long’ senyap sunyi buat beberapa waktu. Ini berikutan kenyataan keras daripada pihak polis dan Timbalan Perdana Menteri sendiri yang mengisytiharkan untuk memerangi golongan yang dianggap samseng itu habis-habisan.

Ketika itu telah heboh cerita-cerita Ah Long yang bertindak ganas terhadap peminjam yang gagal membayar balik dengan mengugut dan menggertak mereka tanpa belas kasihan sehingga ada yang tertekan dan membunuh diri.

Setelah diasak habis-habisan, rupa-rupanya kumpulan Ah Long ini tidak pernah gulung tikar malah perniagaan mereka kini tampak tumbuh semula bagai cendawan selepas hujan.

Akhir-akhir ini, terutama di daerah ini, Ah Long mula agresif kembali mempromosikan perniagaan mereka. Lantas ramai yang bertanya, di mana penguatkuasaan untuk membanteras Ah Long dan adakah bising-bising dulu hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam?

Kini kad-kad dan pelekat perniagaan kumpulan samseng itu dipamer dan diletakkan pada kenderaan orang ramai, peti surat, pintu rumah, tempat tumpuan ramai atau ditabur merata-rata. Tidak cukup setakat itu, kini mereka semakin berani dengan memasang kain rentang pula di tempat-tempat awam, termasuk di perhentian-perhentian lampu isyarat.

Bagi bekas Setiausaha Persatuan Penjaja Kecil Daerah Kuantan, Abdul Aziz Ahmad, 56, dengan senario ini beliau percaya Ah Long bertindak beria-ia mempromosi perniagaan mereka ialah kerana terdapat permintaan yang banyak dan laris dari kalangan peminjam.

“Jika tiada yang meminjam, kegiatan Ah Long tidak mungkin akan berkembang. Cuma orang ramai perlu sedar risiko jika meminjam dengan Ah Long iaitu dikenakan kadar faedah yang sangat tinggi. Jika gagal membayar mengikut waktu dijadualkan, kadar faedah akan meningkat sekali ganda lagi. Ketika itulah peminjam akan terperangkap”.

“Saya sendiri kenal dengan seorang usahawan kecil di sini yang pernah terbabit meminjam dengan Ah Long. Mungkin pada masa itu mangsa betul-betul terdesak dan kesempitan duit. Bila tak mampu bayar, dia dan keluarganya diugut dan diganggu dengan pelbagai cara termasuk kediamannya diconteng. Akhirnya setelah betul-betul tak tahan dia sekeluarga lari meninggalkan Kuantan”.

Menurut Aziz, meminjam dengan Ah Long untuk digunakan sebagai modal perniagaan sebenarnya bukanlah menguntungkan. Beliau memberi contoh jika seseorang meminjam RM1,000 Ah Long akan memberinya RM850 dan RM150 lagi sudah dipotong. Selepas itu peminjam dikenakan bayaran sebanyak RM13 sehari selama 100 hari.

“Maknanya seseorang peminjam terpaksa membayar RM1,300 untuk mendapat wang sebanyak RM850... dan jika gagal membayar walau sehari akan dikenakan bunga 100 peratus lagi. Dan kalau gagal juga akan diugut dan dianiaya dengan kejam”.

“Saya percaya jenayah ini akan berterusan selagi tidak ditangani. Sebab itu saya fikir tidak boleh dibiarkan dan mesti diambil tindakan. Mustahil pihak berkuasa tak tahu kerana nombor telefon kumpulan samseng ini sudah tertera pada kad bisnes mereka”.

Berdasarkan pemerhatian, bukanlah mangsa gemar sangat meminjam daripada Ah Long, namun terpaksa memilih jalan terakhir ini akibat terdesak.

Seorang peniaga Mohd Wahid, 45, berkata kebanyakan mereka yang membuat pinjaman ini adalah terdiri daripada peniaga-peniaga kecil yang sudah bosan dengan kerenah birokrasi dan syarat-syarat ketat yang dikenakan agensi kewangan untuk mereka membuat pinjaman perniagaan. Ini ditambah lagi dengan kelulusan pinjaman yang lewat.

“Yang meminjam ini kebiasaannya peniaga kecil. Kadang-kadang mereka nak pinjam bukan banyak, cuma RM4,000. Jika cuba membuat pinjaman di bank prosedurnya ketat sangat seperti menyediakan dokumen tertentu dan penjamin. Tabung pinjaman usahawan juga tidak senang diperolehi sedangkan keadaan memang betul-betul terdesak”.

“Kalau pinjaman bank dah cukup syarat, terpaksa pula menunggu sekurang-kurangnya seminggu baru dapat. Sedangkan dengan Ah Long sejam dah boleh dapat dan tanpa penjamin. Jadi walau pun risikonya tinggi tapi mudah untuk mendapatkannya”.

Menurut Mohd Wahid beliau ada juga mendengar peminjam dengan Ah Long ini yang berjaya.

“Katakan seorang pembekal ada tempahan bernilai RM20,000 dan modalnya RM10,000. Nak hutang bahan asas tak dapat, pinjam dengan bank lambat. Daripada tunggu baik dapatkan wang modal daripada Ah Long”.

“Sebab itu saya fikir untuk menangani masalah ini, agensi kewangan kena longgarkan syarat pinjaman. Macam tabung usahawan yang diwujudkan kerajaan, kemudahan ada tapi lembap dan lambat juga kelulusannya”, katanya.


Selanjutnya Mohd Wahid menyeru pihak berkuasa membuat pemantauan juga terhadap syarikat pemberi pinjam wang berlesen yang turut beroperasi seperti Ah Long atau memang Ah Long yang berselindung di sebalik pemberi pinjam wang berlesen.

Menurut kenyataan media, terdapat 3,100 pemberi wang berlesen di seluruh negara yang diluluskan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. Namun
sebahagian besar peminjam wang berlesen itu mengenakan kadar faedah sehingga 240 peratus setahun kepada orang ramai yang terdesak dan memerlukan pinjaman segera.

Seorang akauntan bertauliah yang menjalankan firmanya sendiri, Mohd Nasrun Amir, 43, mencadangkan dimanfaatkan sepenuhnya institusi zakat bagi menangani isu Ah Long di kalangan peniaga-peniaga kecil Melayu.

Menurutnya, ini disebabkan pelaksanaan sistem dan fungsi zakat itu sendiri sebenarnya menjurus ke arah membebaskan ekonomi umat Islam.

“Bagi saya dari wang zakat yang terkumpul boleh ditubuhkan tabung pinjaman tanpa faedah atau Qardhul Hassan untuk membantu golongan peniaga yang terdesak ini. Ini satu cara bagi membebsakan mereka dari hutang, menggerakkan perniagaan dan selanjutnya membangunkan ekonomi peniaga-peniaga kecil Melayu amnya”, katanya.



Friday, March 11, 2011

Rosmah terlibat kes liwat 2?

Mahkamah hanya perlukan sedikit masa lagi untuk didedahkan bahawa isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor, terlibat dalam tuduhan kes liwat melibatkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laman Malaysiakini melaporkan, maklumat terbaru pegawai penyiasat kes yang disifatkan sebagai sebuah ‘konspirasi peringkat atasan, Supt Jude Blacious Pereira, hari ini membuat kejutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila pada keterangannya mengakui beliau mengambil keterangan daripada Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kejadian liwat itu.

Kenapa penyiasat polis pelu menemui Rosmah dahulu sebelum atau selepas menyiasat sesuatu kes melibatkan ahli politik? Apa jawatan Rosmah dalam pasulan polis?

Menurut Malaysiakini, sebelum ini, Anwar seringkali mendakwa terdapat konspirasi peringkat tertinggi untuk 'mengenakannya' pada perbicaraan kes liwat tersebut.

Pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dalam keterangannya bersetuju bahawa beliau berjumpa dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.

Namun, Saiful menafikan pertemuan dengan Rosmah tetapi bersetuju bahawa dia berjumpa dengan Datuk Mumtaz Jaafar.

Doktor atau pakar forensik pula, sebelum ini telah menemui tidak kurang 10 pemilik air mani di jubur Saiful.

Lapor Malaysiakini, Jude ketika menjawap soalan daripada peguambela utama, Karpal Singh bersetuju polis merakamkan beberapa kenyataan daripada beberapa individu selepas dakwaan kejadian liwat itu.

Karpal: Siapa orang yang awak jumpa dalam menjalankan siasatan kes ini selepas 26 Jun, 2008?

Jude: (teragak-agak) Saya jumpa beberapa orang.

Karpal: Siapa?

Jude: Rahimi (Osman), (bekas pembantu Anwar), Ezam (Mohd Nor), Tuah (bapa saudara Saiful) dan ...

Karpal: Datuk Mumtaz?

Jude: Ya.

Karpal: Bagaimana dengan Najib?

Jude: Tidak ada.

Karpal: Ada kenyataan direkodkan dari Rosmah?

Jude: Ada... tetapi saya perlu periksa.

Karpal: Tadi, awak kata ada!

Jude: Nanti, saya perlu periksa. Ya, saya ada ambil keterangan daripada Rosmah pada 17 Julai 2008.


Sumber: Malaysiakini



Thursday, March 10, 2011

Minyak akan naik lagi?

Apabila lidah rasmi Umno dan Kerjaan BN, Utusan online memaparkan berita "Tambahan RM4b subsidi minyak", tentulah terdapat isyarat di sana Tentulah ada ‘udang di sebalik mi’ yang hanya boleh dibaca oleh rakyat yang boleh menilai silat tari dan sepak terajang pemerintah negara ini.

“Kita terpaksa menambah RM4 bilion lagi daripada RM10 bilion yang diperuntukkan sebelum ini. Kita juga perlu mengkaji semula kadar inflasi dalam negara dan akan cuba meringankan beban rakyat selagi mampu.”

Maksudnya?

Pendapatan negara akan bertambah lagi sebab harga minyak naik dan kita pula jual minyak tapi kita masih tidak cukup duit kerana perbelanjaan untuk merasuah semasa PRK dahulu dan untuk PRU 13 nanti. Kita top-up lagi 4 bilion untuk kantung pilihanraya dengan curi duit rakyat.

“Kerajaan komited dalam merasionalkan subsidi secara berperingkat dalam jangka panjang bagi mengurangkan beban rakyat berpendapatan sederhana dan rendah. Beberapa langkah akan diambil dalam masa terdekat ini,” demikian ungkapan Najib Tun Razak.

Maksudnya?

Kerajaan BN akan pastikan beban rakyat akan sentiasa terbeban dalam keadaan terkawal terutama kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah agar bn boleh mengawal undi mereka dengan gula-gula politik wang semasa pilihanraya nanti.

Sementara itu, kata beliau, kerajaan amat komited untuk mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada paras enam peratus pada tahun ini walaupun bakal berhadapan beberapa cabaran.

Maksudnya?

Kerajaan tidak boleh mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada paras 6% kerana korupsi yang melampau di Malaysia.

“Peningkatan harga minyak mentah dan komoditi akan mengakibatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan dunia bergerak perlahan. Kerajaan akan pantau perkembangan ini dengan sangat teliti dan akan mengambil apa jua langkah yang perlu.

Maksudnya?

Kerajaan sepatutnya mendapat pendapatan yang lumayan dari kenaikan harga petrol dan komoditi kerana kita adalah negara mengeksport dua perkara itu. Namun kerana amalan korupsi dan rasuah yang parah, duit itu ketirisan hanya pada kelompok kroni sahaja. Maka pantauan dan langkah yang diambil adalah tidak perlu kerana amalan korupsi perlu dikekal untuk mengkayakan puak-puak kroni.

“Antara langkah yang akan kerajaan ambil seperti menggerakkan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta memastikan permintaan domestik terus berada pada tahap yang kukuh,” jelas beliau.

Maksudnya?

Langkah yang diambil adalah dengan mengembangkan kekayaan kroni melalui ETP sehingga ke tahap mikro.

Oleh itu wahai rakyat-rakyat Malaysia terutama orang Melayu, bersedialah mengundi BN lagi pada PRU 13 nanti agar kita dapat melihat negara Malaysia akan menjadi papa kedana dan bankrap.

Orang Melayu yang mengundi BN mungkin tidak pernah perasan atau tidak prihatin dengan permasalahan ini, namun apa yang kita kasihankan ialah rakyat terbanyak yang sentiasa tertipu dengan ‘lipstick’ BN kononnya mereka mengamalkan ‘tradisi membela rakyat’. Kononnya mereka mengamalkan ‘rakyat didahulukan’.

Pemimpin Umno/BN tidak akan merasa bersalah selamanya kerana apabila berlaku pilhan raya pun, mereka dakwa parti itu akan menang juga. Jadi kemenangan itulah yang menjadi lesen untuk Umno/BN ‘menibai’ balik rakyat!

Sumber: wargamarhaen

Demi undi persetankan hukum

Apabila kemaruk untuk menang pilihan raya telah bermaharajalela di dalam jiwa pemimpin parti oportunis, segala-galanya menjadi halal demi untuk menawan hati pengundi.

Barangkali, akidah mereka ialah politik tidak boleh bercampur dengan agama. Atau politik suku agama suku.

Gambar yang terpapar adalah rentetan pelbagai peristiwa yang mewarnai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kerdau baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil kelihatan tidak kekok untuk dipeluk bukan mahramnya, malah berupaya ketawa berbangga disaksikan lensa sebuah akhbar Cina yang kemudian menyiarkannya.

Barangkali senario sebegini boleh dilihat dengan mudah dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia.

Mungkin ini juga menunjukkan sebuah cita rasa 1 Malaysia, sebagaimana diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Politik perkauman yang menjadi senjata Umno selama ini, dihentikan seketika.

Ketika calon PAS PRK Tenang, Cikgu Normala enggan bersalam dengan bukan mahram, dihentam oleh Cina MCA, Umno seolah-olah menyetujuinya sehingga menyebar luaskan isu berkenaan sebagai senjata memenangi undi Cina.

Dalam PRK Dun Kerdau, PAS kalah kepada Kerajaan Malaysia yang bertanding. Namun PAS tidak sedikit pun sanggup atau tergamak untuk menggadaikan prinsip!

Sebagai seorang muslim, saya cuma takut dengan akibat di kemudian hari. Gambar yang terpapar akan terus kekal, bagaimana agaknya perasaan cucu cicit kita pada puluhan tahun mendatang apabila menatapnya kembali?


Wednesday, March 9, 2011

Surat cabaran dialog Mazlan kepada Ahmad Maslan

Tel/Faks: 07-8978090/ Hp: 013-7130103 Emel: mazlanaliman@yahoo.com

Ruj. Kami : ANAK 009/2011(16)
Ruj. Tuan :

9 Mac 2011/4 RabiulAkhir 1432



Kehadapan,

YB Datuk Ahmad bin Maslan
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Assalamualaikum w.b.t.

KESEDIAAN DIALOG ISU FELDA

Alhamdulillah, perkara di atas adalah dirujuk.

Saya telah mengemukakan dua kali cabaran debat kepada Datuk pada 17 Julai 2010 di Lobi Parlimen dan pada 25 Januari 2011 di Tenang, Johor. Kedua-duanya ditolak dengan pelbagai alasan.

Dalam kempen PRK Kerdau, Datuk mencabar saya berdialog dan menuduh saya takut dan melakukan pembohongan.

Sayugia diperjelaskan, saya hanya takut kepada Allah dan tiada sebab untuk saya takut kepada manusia. Saya bersedia berdebat atau berdialog dengan sesiapa sahaja demi kebenaran.

Walaupun sebelum ini saya enggan berdialog secara tertutup kerana bimbang di ekspoitasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan; tetapi pada kali ini saya bersedia tanpa sebarang halangan.

Saya menyarankan Datuk memilih mana-mana tarikh serta lokasi dalam bulan April dan saya bersama 20 Ahli Jawatankuasa ANAK bersedia untuk datang. Ini semua saya lakukan untuk membangkitkan pelbagai persoalan yang berlegar dalam kehidupan warga Felda. Saya menuntut janji Datuk; tiga hari tiga malam pun boleh berdialog!

Saya berharap tiada lagi alasan untuk menggagalkan pertemuan yang sebegini penting demi masa depan jutaan warga Felda.

Sebarang maklum balas sila hubungi saya sendiri di talian O137130103 atau pegawai khas, sdr Fadil 0173339668.


Sekian, moga dalam perhatian segera pihak Datuk. Wassalam.


Yang menjalankan amanah,



MAZLAN BIN ALIMAN
Presiden ANAK


Sk Dato’ Sri Najib Tun Abd Razak
Perdana Menteri Malaysia

Analisis PRK Kerdau

Sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau diketahui, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kekalahan di pihaknya memang telah dijangkakan kerana hakikatnya PAS terpaksa berhadapan dengan kerajaan Malaysia.

Bayangkan, pemimpin BN turun bergentayangan dengan kapasiti sebagai menteri, menteri besar, timbalan menteri, pengarah jabatan dan sebagainya berkempen dan mengeluarkan peruntukan masing-masing melalui pelbagai program mendekati penduduk.

Jentera Umno daripada seluruh negara juga sudah tentu tersuntik semangat luar biasa kerana ini merupakan PRK pertama di negeri perdana menteri.

Sehinggalah warga Kerdau menjadi ‘tuan’ dalam tempoh masa 10 hari dan semua mereka mendapat ‘ang pau’ di atas pelbagai nama daripada kanak-kanak, pelajar sekolah, belia, orang kurang upaya hinggalah kepada warga emas, usahawan dan petani.

Jumlah sebenar wang yang dibelanjakan BN tidak diketahui namun Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Kerdau, Ahmad Mohd Yaman, berkata daripada sumber yang diperolehinya setiap keluarga mendapat tidak kurang daripada RM450 hingga RM2,000.

Itu belum masuk lagi dengan kenduri besar dan jamuan sepanjang masa, kos perbelanjaan petugas, pelbagai projek segera dan penempatan anggota polis yang berjumlah besar di empat lokasi.

Di pihak PAS pula, Kerdau bukan dikelaskan sebagai ‘dun tumpuan’ kerana sejarah keputusan pilihan raya. Justeru jenteranya tidak sekuat Jengka, iaitu satu lagi dun dalam parlimen Kuala Krau. Malah keputusan PRU dahulu Kerdau berada di ‘ranking’ ketiga selepas Jenderak. Sebab itu terdengar juga rungutan daripada pembantu dari luar Pahang berkenaan kurangnya tenaga pembantu tempatan.

Setiausaha MTD Kerdau, Sharuddin Saleh, mengakui PAS mempunyi 11 cawangannya dalan Dun berkenaan tetapi lima daripadanya tidak aktif. Bagaimanapun terdapat 1,200 ahli dan ‘hardcore’ PAS di situ.

Notis penetapan tarikh PRK Kerdau pula agak singkat bagi persediaan PAS apabila serentak dengan Merlimau. Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, meninggal dunia pada 21 Januari 2011 sedangkan Adun Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, meninggal pada 12 Februari.

Dari segi calon, pandangan pemerhati PAS mempunyai kelebihan kerana sepanjang kempen tidak ada isu peribadi yang dibangkitkan. Berbeza dengan calon Umno, pada peringkat awal kempen kelihatan terkial-kial mempertahankan diri termasuk terpaksa memanggil media untuk menunjukkan kelulusan ijazahnya.

Akan tetapi setelah beberapa hari kempen berjalan, dengan pelbagai usaha dan inisiatif bertindak pihak BN menyebabkan akhirnya pengundi tidak lagi melihat kriteria calon bahkan memilih parti iaitu sama ada kerajaan atau pembangkang.

Akibatnya pada PRK ini PAS mengalami kemerosotan sebanyak 184 undi atau 7 % berbanding pilihan raya umum (PRU) 2008. Pada PRU tersebut calon PAS yang sama, Hassanuddin Salim mendapat undi sebanyak 2,520. Tetapi pada PRK ini undi beliau susut kepada 2,336.

Jika pada PRU 2008 calon BN mendapat undi sebanyak 4,135, kini calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad mendapat 5,060. Ini menunjukkan BN mendapat pertambahan undi sebanyak 925 atau peningkatan 22.4%.

Sekali gus majoriti kekalahan PAS daripada 1,615 pada 2008 melebar kepada 2,724. Faktor peningkatan undi BN juga dibantu dengan peratusan keluar mengundi yang paling tinggi dalam sejarah pilihan raya di sini iaitu 83%. Jika pada PRU lalu jumlah keluar mengundi ialah 6,777, jumlah keluar mengundi kali ini ialah 7,445.

Undi popular PAS jatuh dari 37 % (2008) kepada hanya 31 %. Keputusan ini mengakibatkan PAS kalah di semua 13 unit peti undi (UPU), malah di semua saluran dan undi pos.

Tiga belas UPU dalam Kerdau Rumpun Makmur, Jengka 25, Jengka 22, batu Sawar, Jengka 23, Kuala tekal, Pulau Pasir Mandi, Kerai, Lipat Kajang, Desa Murni, Kerdau, Kuala Kerdau, Teluk Sentang dan 51 undi pos.


Undi PAS di Felda meningkat, undi Cina turun

Pada PRU 2008 PAS menang di UPU Teluk Sentang dengan kelebihan 5 undi. Tetapi kali ini PAS tewas di situ dengan kekurangan 71 undi.

Undi kaum Cina yang dulunya banyak membantu kepada peningkatan PAS turut merosot. Jumlah pengundi Cina hanya 461 orang atau 5.12% dan kebanyakannya tertumpu di UPU Kerdau. Keputusan menunjukkan PAS hanya memperolehi 261 undi sedangkan BN mendapat 428. Ini bermakna PAS tewas di situ dengan majoriti 212 undi atau kemerosotan sebanyak 24 %. Pada PRU lepas PAS hanya tewas 37 undi.

Namun yang menakjubkan ialah PAS mendapat peningkatan undi di semua UPU Felda iaitu Jengka 22, 23, dan 25. Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri turun menjanjikan habuan wang SES RM13,000, MPOB RM4,000 kepada peneroka dan lot tanah kediaman.

Di Jengka 22 PAS menokok 62 undi atau kenaikan 28.2 %, di Jengka 23 naik 30 undi (8 %) dan di Jengka 25 yang dianggap kubu Umno paling kebal di Felda, juga meningkat dua undi atau 5 %. Peningkatan ini dipercayai hasil gerak gempur Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) dan kerja keras Biro Felda PKR.

Jika dalam PRK ini peneroka dikepung dan diasak tetapi PAS boleh membuat peningkatan undi, ini bermakna PAS boleh menawan kawasan berkenaan andainya gerak kerja dilakukan berterusan.

Terdapat satu lagi peti undi kampung tradisional yang mengalami peningkatan undi. Jika pada 2008 PAS hanya dapat 94 kini meningkat kepada 108 iaitu naik 14 undi. Walau bagaimanapun tetap tewas dengan majoriti 36 undi.

Jika diukur dari segi kekuatan dan potensi, hanya tiga UPU yang melepasi paras 40 % iaitu Kuala Kerdau (44 %), Pulau Pasir Mandi (43 %) dan Teluk Sentang (43 %). Dua UPU dianggap sangat lemah iaitu Jengka 25 (12 %) dan Kerai (13 %). Kerai ialah peti undi Orang Asli.


Permasalahan setempat gagal dibangkit

Seperti kata Tuan Ibrahim, PAS perlu melihat kemerosotan ini sebagai satu cabaran besar dalam PRU yang hampir tiba.

Perlu diakui, jentera PAS sememangnya lemah terutama melibatkan penerangan dan gerak saraf (PGS). PAS masih bergantung kepada medium ceramah umum dalam penyampaian maklumat. Tidak dinafikan ceramah PAS mendapat sambutan luar biasa sehingga terpaksa ‘melepaskan’ Ummi Hafilda, Ibrahim Ali, Mohd Nor Deris dan M. Daud Kilau untuk mengganggu ceramah PAS.

Namun dipercayai pengundi sebenar tidak ramai yang hadir kerana disibukkan dengan pelbagai program menteri. Lagipun penduduk Kerdau kurang termakan dengan isu nasional dan antarabangsa. Di sinilah terletaknya kelompangan jentera PGS PAS kerana gagal memanupulasi isu-isu tempatan yang menjadi kudis selama ini.

Contohnya, telah lama terdengar rungutan penduduk mengenai agihan saham Felcra Kerdau yang dikatakan tidak adil. Isu yang menyentuh terus penduduk Kerdau ini hampir tidak kedengaran langsung dibangkitkan.

Begitu juga dengan isu tanah kampung untuk generasi kedua yang telah lama dijanjikan, masalah bekalan air paip di deretan kampung yang tidak pernah selesai selama 20 tahun, ketakutan penduduk dengan binaan projek kilang simen di Gunung Jebak Puyuh, kegagalan projek nangka madu di Kampung Gunung Senyum dan banyak lagi.

Menurut pemerhati, isu yang amat berkesan yang berjaya meracuni pengundi Melayu kampung ialah isu perkauman ‘PAS jadi alat DAP’. Isu ini dimainkan bersungguh-sungguh tanpa ditangkis oleh PGS PAS. Kenapa tidak, umpamanya, dicetak risalah yang memuatkan pengakuan Karpal Singh sanggup menerima negara Islam?

Satu perkara lagi yang perlu diambil perhatian, PAS kalah di semua saluran 2 dan 3 iaitu saluran pengundi muda. Senario ini amat bahaya kerana orang muda sifat asalnya ialah ‘anti-establishment’. Namun ia tidak berlaku dalam PRK ini.

Akhirnya, ada yang berkata Kerdau tidak mustahil diambil semula oleh PAS dalam PRU akan datang jika gerak kerja tidak terhenti. Ini berdasarkan PRK Ijok pada 2007 di mana Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR) tewas kepada calon BN K. Parthiban. Tetapi pada PRU 2008 Khalid menang dengan bergaya.

Sama ada pengundi Kerdau menyamai ciri-ciri yang serupa dengan pengundi Ijok, itu hanya boleh dijawap oleh mereka sendiri.

Namun begitu ada yang mahu PAS menilai semula penyertaan parti itu dalam mana-mana PRK berdasarkan penggunaan berleluasa agensi kerajaan, premis awam dan media oleh BN. Bagi mereka, jika didapati kawasan tersebut dalam PRU pun sukar untuk dimenangi tidak usahlah bertanding. Hujah mereka, kekalahan berturut-turut PAS dalam siri PRK dikhuatiri sedikit sebanyak melemahkan moral pekerja parti dan memburukkan imej di mata umum.


ihsan:
Harakahdaily




KERAJAAN NEGERI DIGESA SEMAK SEMULA FELDA PLANTATION

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK)mempertegaskan kenyataan sebelum ini bahawa Felda Plantation adalah organisasi haram dan terbatal kerana bertentangan dengan Akta GSA 1960 yang mana status pemilikan hanya individu(seksyen 7(2) dan koperasi(seksyen 11(1).

Dakwaan Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa Felda Plantation tidak tertakluk di bawah GSA adalah alasan semata-mata untuk menghalalkan tindakan kerajaan yang bertentangan dengan matlamat asal menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Kerajaan Pusat telah menipu dan mengkhianati Kerajaan Negeri kerana mewujudkan penempatan tanpa peneroka. Dasar yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir pada tahun 1992; bercanggah dengan hasrat Allayarham Tun Abd Razak ketika beliau membentangkan Akta GSA 1960 di Parlimen pada 27 April 1960. Akta GSA dibentang dan digubal untuk memberikan panduan dan keseragaman kepada semua negeri-negeri di Tanah Melayu bagi mencapai hasrat kerajaan untuk membangunkan taraf kehidupan penduduk luar Bandar.

Keluasan 367,710 hektar tanah Felda Plantation adalah datangnya dari kerajaan negeri; jika tidak tertakluk di bawah GSA; ia bernaung melalui peruntukan apa?

Tanah adalah aset yang berada dalam bidangkuasa Kerajaan Negeri dan kesediaan Kerajaan Negeri memberikan sejumlah tanah yang luas kepada Kerajaan Pusat menerusi Felda adalah bertujuan untuk memberikan tanah kepada rakyat yang tidak bertanah.

ANAK ingin mendedahkan bahawa pengambilan tanah untuk tujuan Felda Plantation dibuat secara ‘PAKSAAN’dari Kerajaan Negeri yang tidak difahami secara jelas apa maksudnya. Hujah Perdana Menteri yang mengatakan bahawa 51 peratus kepentingan Koperasi Permodalan Peneroka Berhad ada dalam Felda Plantation dan memberi dividen 14 peratus setiap tahun kepada peneroka adalah lari dari realiti sebenar aspirasi ayahnda beliau Tun Abd Razak.

ANAK mencadangkan semua kerajaan negeri menyemak semula pemberian tanah untuk Felda Plantation dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Kelantan, Selangor dan Kedah boleh memulakannya. Ianya boleh dirujuk melalui seksyen 44(GSA)- Kuasa menamatkan GSA.

Tidakkah kita merasa bangga jika tanah Felda Plantation dikurniakan kepada generasi kedua dan ketiga Felda ia memberi manfaat kepada 79,000 orang dan merangsang sosio ekonomi rakyat khususnya bangsa melayu?

Tidakkah Perdana Menteri dan Datuk Ahmad Maslan mengetahui nasib 45,000 pekerja Felda Plantation ketika ini yang sedang menderita dengan gaji rendah, diperlaku seperti hamba dan kebajikan mereka yang diabaikan?

Adakah Perdana Menteri maklum kejadian mogok dan laporan polis yang dibuat oleh peserta Felda Plantation Sagu 4, Kuantan lantaran sudah tidak tahan dengan tekanan melampau pihak pentadbiran Plantation?

Sesungguhnya tawaran 100 hari Pakatan Rakyat melalui buku jingga untuk memansuhkan Felda Plantation adalah langkah paling tepat untuk mengembalikan hak rakyat dan tanah milik kerajaan negeri. Periuk nasi 23,000 kakitangan Felda yang dibiayai melalui Felda Plantation tidak akan terjejas samasekali. ANAK mencadangkan mana-mana kakitangan Felda yang berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan anak yang ramai boleh dipertimbangkan mendapat tanah sama seperti anak-anak peneroka yang lain kerana rekod perkhidmatan dan jasa mereka selama ini.

Selaku Presiden ANAK saya tidak pernah takut berdebat atau berdialog dengan Datuk Ahmad Maslan sepertimana tuduhan beliau dalam kempen PRK Kerdau. Dua kali saya mencabar beliau berdebat; siapa yang mencipta pelbagai alasan?

Bahkan suka dijelaskan saya menyahut cabaran beliau untuk berdialog walaupun secara tertutup dan di mana sahaja!. Saya akan menghantar surat resmi kepada beliau untuk berdialog dan bersedia mengikut tarikh beliau. Saya tuntut janji beliau boleh berdialog 3 hari 3 malam atas apa jua isu berkaitan kepentingan warga Felda.


MAZLAN BIN ALIMAN
Presiden ANAK
0137130103






Tuesday, March 8, 2011

Hasan Omar meninggal dunia

TEMERLOH: Pemilik kedai buku Melayu yang pertama di Temerloh, Hasan Omar, 99 tahun, kembali ke rahmatullah tengahari tadi di hospital Temerloh, dipercayai sakit tua.

Pakwe Hasan tinggal di Kampung Paya Kemuning Jalan Bahagia.

Semasa mudanya, Pakwe Hasan yang menuntut ilmu di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan gigih memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah Inggeris

Beliau memiliki pangkat Jaksa Pendamai (JP) yang dianugerahkan oleh Sultan Pahang.

Kedainya Toko Buku Hasan Omar berhampiran Masjid Abu Bakar Temerloh pernah sangat terkenal pada satu masa dahulu kerana merupakan kedai buku Melayu tunggal pada masa itu.

Pakwe Hasan sepanjang usianya juga banyak membuat jasa dengan menjadi guru Al-Quran.

Semoga Allah merahmati roh beliau.


Monday, March 7, 2011

Peneroka Jengka 22, 23, 25 patut dapat RM13,000 hari ini

Peneroka dari Felda Jengka 22, 23, dan 25 sepatutnya dapat wang SES bernilai RM13,000 secara tunai hari ini mengikut janji pilihan raya oleh Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau baru-baru ini.

Dalam kenyataan beliau yang disiarkan dalam semua media, Ahmad Maslan berjanji pembayaran akan dibuat pada 7 Mac, iaitu sehari selepas hari pengundian PRK Kerdau.

Namun peneroka dikenakan dengan tiga opsyen iaitu jika menerima bayaran penuh RM13,000, hendaklah membayar kembali RM650 sebulan selama 20 tahun.

Opsyen kedua ialah jika peneroka menerima RM6,500 perlu membayar kembali RM550 selama 20 tahun. Manakala opsyen ketiga jika tidak mahu menerima apa-apa bayaran, peneroka perlu membayar kembali RM400 sebulan selama 20 tahun.

Wang SES ialah wang peneroka yang menukarkan tanaman ladang getah mereka kepada sawit melalui cukai 15 sen (10 sen untuk kerajaan, 5 sen untuk peneroka), yang wajib dikembalikan kepada peneroka.

Ketiga-tiga Jengka berkenaan termasuk dalam Dun Kerdau.

Selain wang SES, peneroka juga dijanjikan dengan wang Skim Insentif Tanam Semula (SITS) iaitu pemberian Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bertujuan membnatu meringankan beban pekebun kecil sawit termasuk penerok bagi tujuan tanam semula yang dibayar dengan kadar RM1,000 sehektar.

BN melalui calon Umnonya Syed Ibrahim Syed Ahmad menang besar dalam PRK Kerdau 6 Mac (semalam).



Sunday, March 6, 2011

Kerdau bandar 40-an

(Berikutan PRK Kerdau yang baru selesai, disiarkan satu artikel oleh penulis yang pernah disiarkan oleh sebuah akhbar beberapa tahun dulu. Artikel ini hanyalah untuk kenang-kenangan).

Anda berhajat untuk merasai suasana berada di sebuah bandar pada tahun 40-an? Atau ada produser ingin membuat filem berlatar belakangkan kan tahun-tahun 40-an? Jika begitu datanglah ke bandar Kerdau yang terletak kira-kira 15 kilometer dari sini atau 6 kilometer dari susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Pernah diberi jolokan sebagai bandar koboi, Kerdau menjadi lambang aktiviti kehidupan di tanah Melayu sebelum merdeka. Deretan kedai di bandar ini masih mengekalkan identiti 40-annya, atau pun sebenarnya tersisih dari arus pembangunan meski pun negara di ambang kemerdekaan yang ke 50 tahun.

Bandar lama Kerdau menjadi penting kerana semenjak tahun 1930-an sehingga 1970-an keretapi merupakan perhubungan keperluan utama penduduk berurusan ketika itu.

Kendati pun dari segi pentadbirannya kini Kerdau hanyalah merupakan sebuah mukim dan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun dari segi sejarahnya bandar ini pernah menjadi tumpuan utama dan penting kepada penduduk sebelah sini dengan dihuni oleh pelbagai bangsa. Buktinya di Kerdau pernah diadakan pilihan raya majlis tempatan pada tahun 1959 bagi pentadbiran perbandaran.

Dari segi pendidikan pula, sekolah rendah yang sudah pun dibina oleh pemerintah Inggeris sejak 1906 di situ, menunjukkan masyarakat Kerdau sudah pun dianggap berpelajaran sejak dulu lagi.

Melengkapkan lagi pembelajaran warga tempatan, di situ juga ada pusat pengajian pondok Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd Arif (meninggal dunia pada 1978). Beliau merupakan anak murid dan juga menantu saudara Tok Kenali.

Menurut cerita, apabila orang-orang Kampar yang datang dari Sumatera pada tahun-tahun 1920-an, mereka telah membuka gedung-gedung perniagaan. Ini berbetulan dengan harga getah yang melambung di pasaran dunia ketika itu, di mana ramai pelabur-pelabur berlumba-lumba membuka estet getah. Pekerja-pekerja ladang terdiri daripada orang-orang Cina dan India.

Selain orang Kampar, peniaga-peniaga Cina juga menyewa tanah milik orang Melayu tempatan dengan mendirikan deretan kedai.

Kerdau menjadi bertambah maju apabila landasan keretapi yang menghubungkan Singapura ke Gemas menuju ke Tumpat hingga ke Hatyai di Thailand telah siap. Kerdau yang berada di antaranya mempunyai sebuah stesen perhentian. Bahkan apabila Jepun menyerang Malaya melalui Kota Bharu pada 8 Disember 1941, menuju ke Singapura, Kerdau menjadi laluan dan persinggahan mereka.

Bandar Kerdau menjadi makin maju selepas Jepun menyerah kalah pada 3 September 1945. Di deretan kedai itu sudah menempatkan kedai barang keperluan, kedai kopi, tukang emas, tukang besi, tukang zink, tukang jahit mesin padi dan panggung wayang. Di situ juga terdapat pekan sari setiap hari Isnin di mana penduduk tempatan dan sekitarnya datang berjual beli dan bertukar barangan.

Ketika Sir Edward Gent mengisytiharkan darurat pada 18 Jun 1948, Kerdau juga menerima tempiasnya. Selepas diserang gerila Komunis di mana seorang pengurus estet di situ mati ditembak, bandar Kerdau dipagar dengan kawat duri dengan dua lengkongan. Ketika itu juga Inggeris membina Balai Polis Kerdau sebab kuatnya Komunis. Ini disebabkan pusat latihan dan operasi Komunis Bukit Kuin yang terkenal itu hanya berada kira-kira 8 kilometer dari situ.

Kehidupan semasa darurat

Selepas itu Inggeris menempatkan orang-orang Cina di kampung-kampung baru. Anggapan penjajah ketika itu bangsa Cina senang dipengaruh dan diperalatkan Komunis terutama untuk membekalkan makanan.

Antara orang yang merasai kehidupan semasa darurat di Kerdau ialah Zakaria Miyasin, 66.

“Ayah saya pun ada kedai ketika itu. Saya masih ingat, sebelum pukul 6 petang pada masa darurat itu bandar Kerdau yang dikelong dengan kawat duri oleh orang putih diserbu penduduk serata ceruk termasuk dari kampung dan estet untuk mendapatkan barang keperluan. Polis SC (special constable) masa itu dikerahkan membuat kawalan 24 jam”, ujarnya.

Zakaria pernah bertanding mewakili PAS pada pilihan raya majlis tempatan untuk memilih ahli Kerdau Local Consul pada tahun 1959. bagaimana pun beliau tewas. Pada pilihan raya itu parti Perikatan memenangi dua kerusi manakal Front Sosialis pula memenangi satu. Bagaimana pun pada 1 Mac 1965 kerajaan telah memansuhkan pilihan raya majlis tempatan.

“Perhubungan masyarakat di sini agak unik kerana bergaul mesra dan bersatu padu. Ketika di sesetengah tempat berlaku pertumpahan darah dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, tiada apa-apa berlaku di sini sebab Melayu dengan Cina sudah biasa hidup bersama sejak lama”, kata Zakaria.

Seorang lagi penduduk yang pernah merasai kemajuan bandar kerdau ialah pesara guru Siti Ainin Tok Muda Abdul Malik, 84. Menurutnya semasa tahun 1940-an beliau sering berulang ke pejabat pelajaran Temerloh dan satu-satunya pengangkutan masa itu ialah melalui keretapi. Katanya tambang keretapi ke Mentakab masa itu 14 sen. Tambang bas dari Mentakab ke Temerloh pula ialah 15 sen.

“Masa bandar Kerdau menjadi tumpuan serata mukim Kerdau. Suami saya ketika itu berniaga kedai kopi dan membeli getah tidak jauh dari stesen keretapi. Suami saya pernah ditembak oleh Bintang Tiga, tapi tidaklah parah”.

“Antara peristiwa yang masih saya ingat pengeboman tentera Jepun ke atas keretapi yang dinaiki Gurkha tentera upahan orang putih ketika berhenti di stesen Kerdau. Sebab jaraknya dekat, kami dengar dan bertempiaran lari menyelamatkan diri. Pada masa perang dunia, Kerdau menjadi tempat rebutan padi antara Jepun dengan Cina Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA). Orang Kerdau seusia saya telah biasa berurusan dengan Orang Putih, Jepun dan Cina Komunis”.

Kerdau mulai malap

Menurut Siti bandar Kerdau mulai menjadi malap apabila pihak kerajaan membina jalan besar antara Temerloh ke Jerantut pada tahun 1970. Bila perjalanan menjadi mudah, keretapi kurang sambutan dan mulai dilupakan. Tidak seperti dulu, keretapi ekspres juga sudah tidak berhenti lagi di Kerdau. Begitu juga bila tanah rancangan Felda dibuka di seluruh negara, ramai penduduk di sini memasukinya.

Kebanyakan penduduk juga berurusan terus ke bandar Temerloh.
Akhirnya kedai-kedai orang Melayu ditukar menjadi rumah kediaman. Sementara masih-masih ramai peniaga Cina kekal berniaga sehingga ke generasi ketiga.

Dalam pada itu seorang penduduk tempatan, Ahmad Mohd Yaman, 50, merasakan Kerdau elok dimajukan semula memandangkan kini terdapat kerja-kerja pembaikpulihan landasan keretapi sepanjang 133 km dengan kos RM29 juta di antara Gemas dan Kerdau sedang giat dilaksanakan.

“Walau pun di Simpang 4 Kerdau sudah ada kedai kerana berada di pinggir jalan utama Temerloh-Jerantut, saya rasa bandar lama Kerdau juga elok dimajukan. Kerajaan mungkin terlepas pandang. Cuma mungkin ada sedikit masalah kerana ada tanah milik individu. Atau geran tanah masih syarat pertanian. Tapi kalau kerajaan serius sudah tentu boleh, mungkin melalui anak syarikat kerajaan negeri, swasta atau memberi kemudahan pinjaman kepada tuan tanah sendiri untuk membangunkannya”.
dan sebagainya”.

“Kerdau yang bersejarah ini patut mendapat perhatian semua pihak. Jika tidak sebahagian dari sejarah perjalanan bangsa dan tanah air di sini akan lenyap ditelan waktu tanpa diketahui generasi akan datang”.



PRK Kerdau BN: 5,060, PAS: 2,336 Majoriti: 2,724

BN menang dengan majoriti 2,724 undi. Calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad memperolehi 5,060 undi berbanding calon PAS Hassanuddin Salim mendapat 2,336 undi. Jumlah undi rosak ialah 90 undi. Ini menunjukkan PAS mengalami kemerosotan undi sebanyak 184 berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12, 2008 di mana calon yang sama mendapat 2,520 undi.

Terkini Kerdau: Pengundi Orang Asli berlebih?

Berlaku sedikit kekecohan di peti undi Krai, iaitu yang didominasi Orang Asli, apabila petugas dari PAS membantah kerana dikatakan berlaku lebihan pengundi di situ.

Krai merupakan satu-satunya peti undi bagi Orang Asli dari perkampungan kaum itu Paya Sendayan dalam PRK Kerdau.

Mnegikut daftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 375 pengundi di situ dengan 250 (66.66%) daripadanya ialah pengundi Orang Asli.

Bagaimanapun petugas memberitahu, menjelang tengahari pengundi Orang Asli yang datang ada yang dipunggah dari Kuala Krau dengan menggunakan beberapa buah bas.

Difahamkan, pihak PAS telahpun membuat aduan kepada pihak berkuasa.


Terkini Kerdau: Provok, kemudian siar media pembangkang ganas

Setiap kali pilihan raya, pelbagai taktik dan teknik dilakukan Umno/BN dalam usaha cuba mengabui mata orang ramai di seluruh negara.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kerdau tidak terkecuali, Umno yang diketuai pemimpin kerajaan telah membuat provokasi dengan pelbagai bentuk sorakan, kata nesta dan cabar mencabar sehingga menimbulkan reaksi.

Apabila berlaku sedikit tindak balas kerana provokasi tadi, media (terutama elektronik) terus menghalakan corong kameranya dan ‘scenes’ lakonan itu disiarkan dengan gambaran ‘pembangkang ganas’.

Manifestasi yang mahu disogokkan ini bukannya secara kebetulan, tetapi dipercayai dirancang bagi memberi gambaran dan tanggapan negatif kepada penonton bahawa pembangkang memang ganas.

Keadaan sebegini berlaku di setiap unit pusat mengundi (UPU) dan paling menonjol ialah di sekolah Menengah Kerdau pagi tadi.

Yang mengecewakan ramai, provokasi tersebut dilakukan oleh pemimpin Umno yang berjawatan tinggi dalam kerajaan negeri. Sementara media seolah-olah dirancang untuk menurutnya.

Kekecohan juga dilaporkan di Sekolah Kebangsaan Paya Taram apabila timbul salah faham antara kedua pihak.

Alhasilnya, semua ini tidak memberi gambaran yang baik kepada demokrasi, sebaliknya penerima maklumat hanya menadah pembohongan dan cerita rekaan sepanjang masa.

Bilalah agaknya orang Melayu akan cerdik dan pembesar mereka berhenti menipu?

Saturday, March 5, 2011

Umno, media pemfitnah patut didoakan kemusnahan


Rakyat yang bencikan fitnah dan adu domba patut mendoakan kemusnahan golongan yang membawa gejala tersebut demi maruah seorang ulamak dan menjaga kemurnian Islam sebelum bala yang lebih besar menimpa umat.

Sementara rakyat yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau besok, mesti menolak kumpulan pemfitnah supaya tidak mengundang kemurkaan yang lebih besar.

Ini disebabkan para pemimpin dan media Umno terbukti berbohong ketika mereka memfitnah Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membeli tanah peneroka Felda, sedangkan tanah tersebut dibeli oleh pihak lain.

Ia sebenarnya dibeli oleh Ibrahim bin Osman, seorang guru yang hanya meminjam duit dari Tuan Ibrahim dan kini tanah itu dicagarkan oleh Ibrahim kepada MARA untuk satu pinjaman lain.

"Sebenarnya apa yang berlaku adalah, seorang peneroka Felda telah mengiklan di merata-rata tempat mahu menjual tanahnya. Beliau juga telah menemui saya dan meminta saya membelinya," katanya dalam sidang media hari ini.

Jawapan tersebut boleh dibaca di: http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31222:umno-dan-medianya-menipu-pembeli-tanah&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

Fitnah tersebut mulai dibangkitkan oleh Utusan Online dengan memetik kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mendakwa Tuan Ibrahin membeli tanah milik peneroka Felda.

Isu tersebut dikatakan sengaja dibangkitkan di saat-saat akhir menjelang pengundian PRK Kerdau dengan niat jahat dan tidak sempat dijelaskan, hanya semata-mata dengan motif menang tanpa mengambil kira kesannya.

Tuan Ibrahim ialah Pengarah PRK bagi PAS sementara Adnan merupakan Pengarah PRK BN.

Di sepanjang kempen, Tuan Ibrahim tidak pernah pun memilih untuk mempermainkan peribadi Adnan walaupun orang ramai tahu siapa beliau.

Maka demi mengelakkan fitnah berpanjangan, umat Islam mesti mendoakan kehancuran pemfitnah dan pengundi terlibat memilih golongan yang teraniaya iaitu calon PAS Hassanuddin Salim.

Dalam pada itu, Pahang Selamat menyokong penuh hasrat Tuan Ibrahim untuk menyaman media dan individu yang terlibat ke muka pengadilan. Puak yang membawa fitnah tidak sepatutnya dibiarkan berleluasa di muka bumi ini. Sebab, jika fitnah mula dibiarkan menular di sanalah bakal berlaku kehancuran kaum tersebut!

Ciumlah anak-anakmu, dapat pahala!

Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.

Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.

Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.

Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang
dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata; “Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium.”

Sabda Nabi SAW; “Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi..”Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki.

Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

Seorang lelaki bertanya; “Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti? ”Jawab baginda; “Berbaktilah kepada ibu bapamu.”
Kata lelaki itu lagi; “Ibu bapaku sudah tiada lagi.”
Sabda Nabi SAW; “Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak
terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu.”

Friday, March 4, 2011

Umno mula guna taktik samseng

Pihak BN khususnya daripada Umno, sudah mula semakin agresif melakukan provokasi sehingga sanggup ‘menyerang’ ke bilik gerakan PAS di Kampung Desa Murni dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kerdau.

Terbaru, dinihari tadi lebih 50 petugas Umno menghampiri markas PRK PAS itu dengan menunjukkan kemarahan, mengeluarkan kata-kata ugutan dan memasang bendera BN melindungi bendera PAS yang telah sedia dinaikkan.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Temerloh, Fairus Hisyam Nordin, yang berada di situ ketika itu, yang memeranjatkan provokasi tersebut diketuai sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said.

“Malam tadi kira-kira jam 3.30 pagi lebih 50 orang petugas BN datang ke bilik gerakan PAS di Desa Murni diketuai Ismail Said, mereka berteriak dengan nada marah dan menghamburkan kata-kata berbentuk ugutan.

“Masa itu kami dalam khemah cuma ada 15 orang dan tidak melayan provokasi tersebut kerana jika melawan mungkin mereka akan gunakan sebagai kempen di media kononnya PAS ganas, walaupun mereka yang memulakan.

“Tak cukup dengan itu, kami syak beberapa orang anggota polis berulang kali mengambil gambar juga untuk tujuan mengugut sebab ada antara kami yang berkerja sebagai kaki tangan awam. Manakala yang lain menaikkan berdera BN di hadapan bendera PAS,” katanya.

Tambah Fairus, beliau kecewa dengan tindakan provokasi pihak Umno itu dan akan membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

Pusat mengundi Desa Murni dijaga oleh kontingen dari PAS Kawasan Temerloh.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Saad, kecewa dengan pembabitan ahli parlimen tersebut yang sepatutnya bertindak mempertahankan demokrasi dan keamanan.

“Kita faham jika budak-budak Umno yang bertindak secara tidak bertamadun begitu, tapi bila melibatkan seorang ahli parlimen yang merupakan penggubal undang, itu jadi pelik. Sepatutnya dia tidak bertindak kebudaka-budakan walaupun kita tahu Desa Murni ada kampung beliau.

“Apa jadi jika Pemuda PAS melayan karenah dan provokasi mereka... tidakkah nanti akan terjadi perkara yang buruk seperti pergaduhan? Kenapa tak boleh fikir?,” soal Suhaimi.

Dalam pada itu, seorang penyokong PKR mengadu tayar kereta beliau dipancetkan ketika pergi mendengar ceramah ketua umum parti mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rumpun Makmur malam semalam.

Dalam ceramah di pihak Umno, mereka melepaskan Ummi Hafilda ‘gundek sensasi’ upahan mereka bagi mengganggu setiap ceramah Anwar.

Sebelum ini, berlaku juga gangguan kepada program PAS di kawasan Felda Mohamad Sabu berceramah dan Bob Lokman di waktu yang berlainan.

Dipetik dari Harakahdaily


Thursday, March 3, 2011

Kemana blogger CMK? Bersama PAS atau Umno?

Kehilangan’ blogger Cucu Mat Kilau pada ketika ini terus menjadi misteri dan menimbulkan tanda tanya di kalangan kenalan-kenalannya.

Beliau yang keluar dari PKR bulan lalu, dijangka menyerahkan borang keahlian PAS besok (Jumaat). Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, tiada siapa yang tahu di mana beliau berada.

Beliau yang juga editor eksekutif blog terkenal Pahangdailyonline, kali terakhir dilihat berada dalam sidang media harian PAS sempena PRK Dun Kerdau di Darul Hikmah, Kerdau pagi tadi.

Selepas selesai program dan makan tengahari, beliau kemudian dikatakan bersama blogger Al-Banjari ke Gunung Senyum untuk berehat. Namun sewaktu pulang, beliau dikatakan telah ditemui ‘seseorang’.

CMK yang juga seorang deejay, adalah blogger paling popular di Pahang kerana blog beliau yang menyebelahi Pakatan Rakyat dianggap sensasi dan berjaya mendedahkan pelbagai ketempangan Umno.

Sebelum ini, beliau dikatakan telah beberapa kali dipikat dan diumpan oleh pihak Umno untuk menyertai parti berkenaan. Terdengar pelbagai tawaran untuk beliau jika sanggup menyertai parti itu.

Malah, kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jengka 23 beberapa hari lalu, dikatakan diselit program ‘kemasukan CMK ke dalam Umno’. Dan berita tersebut akan diletupkan bagi menambah moral Umno/BN dalam kempen PRK Kerdau pada masa ini.

Malangnya pada ketika itu, CMK telah memutuskan untuk bersama PAS atau menjadi blogger sepenuh masa daripada bersama Umno. Ketika 12 orang ahli Umno di Jengka 25 menyertai PAS kelmarin, beliau juga mhu berbuat demikian tetapi dinasihat supaya menangguhkannya dahulu supaya acara tersebut lebih ‘grand’.

Blog beliau pula, kali terakhir di update tengahari tadi, menunjukkan tidak ada pertambahan bahan selepas itu.

Ketika ini, tiada siapa yang tahu di mana beliau berada dan gagal dihubungi sama sekali!



Wednesday, March 2, 2011

“Syed ada kawasan perkuburan sendiri” bukan kempen PAS

Sebetulnya saya baru tahu, dan sekali gus memeranjatkan bahawa keturunan Syed di Tekal (dalam Dun Kerdau, Kuala Krau, Temerloh) mempunyai tanah permakaman mereka sendiri tanpa bercampur gaul dengan tanah perkuburan orang Melayu (bukan daripada berdarah Syed).

Itupun setelah saya membaca sebuah artikel daripada akhbar The Star bertarikh 1 Mac 2011 (Selasa) bertajuk: “Campaign centres on fending off lies” analisis daripada Joceline Tan.

Saya sendiri tidak pernah ke sana barang sekali pun untuk melihatnya.
Joceline menulis:

“There is also a whisper campaign going on about the allegedly clannish behaviour of the Syed Ibrahim family.

“The Syeds and Syarifahs trace their ancestry to the Prophet and Syed Ibrahim’s detractors are claiming that his family members have their own burial grounds, suggesting that they see themse ves as special and above other Malays.”


Analisis tersebut ditulis berdasarkan pemerhatian penulis terhadap suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kerdau, menjelang hari pengundian 6 Mac ini. Beliau barangkali merisik daripada jentera propaganda Umno/BN, apakah isu yang cuba dimainkan PAS.

Pada PRK ini, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad akan ditentang calon PAS Hassanuddin Salim. Syed Ibrahim ialah panasihat agama Menteri Besar Pahang yang berasal dari Kampung Tekal. Kampung Tekal dipenuhi penduduk keturunan berdarah Syed (yang mereka dakwa daripada keturunan Nabi Muhammad SAW).

Konon ceritanya, kampung tersebut dihuni oleh saudagar beras berketurunan Arab, yang akhirnya beranak pinak dan bercucu cicit di situ. Di beberapa tempat, gelaran hormat Syed ini dipanggil “Engku”.

Jadi jika benar terdapat kubur berasingan antara Melayu asal dan Melayu Arab, sudah barang tentu ada sebab dan hujahnya. Mungkin sudha timbul lama sebelum ini.

Namun apa yang mengecewakan saya ialah penulis artikel berkenaan, Joceline Tan, seolah-olah mengaitkan PAS berkempen secara berpuak-puak. Dengan lain-lain perkataan, PAS yang memainkan isu “kubur berasingan”. Walhal PAS tidak manahu pun, malah tidak berminat berkempen seperti itu.

Tulis Joceline: “Smear campaigns and counter-propaganda are the order of the day in Kerdau where there is a serious shortage of real issues.”

Samalah juga dengan isu kelulusan Syed Ibrahim dalam artikel yang sama. Joceline menulis: “In a by-election that has been quite short of real issues, Syed Ibrahim’s degree in Arabic from the top Egyptian university has been turned into an election issue by PAS.”

Sebenar-benarnya, PAS tidak pernah memainkan isu kelulusan calon BN itu. Kerana PAS sendiri tidak tahu menahu atau mengambil berat tentang kelulusan dimiliki calon BN itu.

Seperti kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pengarah PRK Kerdau bagi PAS, tiada satupun kenyataan yang dikeluarkan dari mana-mana pemimpin PAS mengenai isu kelulusan calon Umno sehingga kini.

“PAS kesal kerana dituduh menyebarkan fitnah kepada calon BN Syed Ibrahim yang dikatakan gagal menamatkan pengajian di Mesir (Universiti Al-Azhar).

"Sedangkan isu ini tidak pernah keluar daripada mana-mana pimpinan PAS. Ia dicetuskan oleh blogger yang tiada kena mengena dengan PAS. Bagi PAS, kami menafikan sekeras-keras tuduhan isu ini ditimbulkan oleh PAS,” katanya

Menurut Tuan Ibrahim, asal isu calon BN dikatakan gagal menamatkan pengajian, langsung tiada sebarang kenyataan beliau beli sijil hanya keluar daripada kenyataan MB Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Berbalik kepada isu “kubur berasingan” tadi, siapakah sebenarnya yang menyebarkannya?

Malangnya Joceline tidak pernah merujuk kepada PAS, itulah masalahnya. Katakanlah isu kubur berasingan itu dibangkitkan oleh penduduk kampung dalam Dun Kerdau, jadi kenapa harus dikaitkan dengan PAS?

Mungkin mereka mempunyai sejarah dan sentimen tersendiri dalam perhubungan antara keturunan. Jadi itu hak mereka untuk menyuarakannya dan jika terdapat suara-suara sedemikian, adalah silap besar mengatakan itu gerak saraf atau propaganda daripada PAS.

Mungkin Joceline lupa, bahawa PAS mempunyai dua orang Yang Berhormat berketurunan Syed dalam Dewan Undangan Negeri Pahang. Jadi mustahil PAS sanggup melukakan hati dua Syed yang merupakan pemimpin parti itu.

Tidakkah Joceline membaca sejarah, bahawa PAS begitu tegar menentang perjuangan asabiyyah?

Jadi pada masa depan, jika Joceline terbaca tulisan ini, nasihat saya eloknya rujuklah dulu kepada kem PAS sebelum membuat kesimpulan “PAS melempar segala-galanya”.


Jenazah lewat diurus kerana tunggu menteri berulang di Kerdau

Jika pada Pilihan Raya Umum (PRK) Tenang dulu jenazah Setiausaha Umno Tenang Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd lewat disolatkan kerana imam masjid leka menyambut kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kali ini peristiwa yang hampir sama berlaku di PRK Kerdau pula.

Insiden tersebut belaku semalam di Desa Murni (dalam Dun Kerdau), semuanya gara-gara menyambut dan meraikan kedatangan Menteri Penerangan dan Komunikasi Datuk Seri Rais Yatim. Rais ke situ dalam rangka kempen pilihan raya dengan merasmikan “Kampung wi-fi Desa Murni”.

Mangsa yang meninggal ialah warga emas bernama Baso, 60-an, berketurunan Indonesia dan menikahi wanita tempatan. Beliau, seorang penoreh getah, meninggal pada tengahari dipercayai akibat serangan jantung.

Isterinya itu ialah ahli dan aktivis Umno di situ.

Menurut penduduk tempatan, Ibrahim Husin, urusan pengkebumian menjadi lewat kerana orang kampung menjadi ghairah dengan kedatangan menteri itu yang berkempen untuk BN, melalui proram kampung wi-fi.

Beribu-ribu kuih tradisional seperti kueh koci, dodol kukus, laksa dan sebagainya disediakan untuk jamuan para pengunjung.

Calon PAS bagi PRK Kerdau, Hassanuddin Salim, sempat Solat jenazah Allahyarham pada jam 5 petang di rumahnya. Tetapi urusan pengkebumian menjadi lewat, tergendala kerana ramai orang kampung meraikan menteri!



Bekas Adun Kerdau kata calon PAS boleh menang

TEMERLOH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kerdau Tuan Haji Mohd Saludin Omar, 77, berkata calon PAS boleh menang dalam pilihan raya kecil (PRK) Kerdau pada 6 Mac ini jika tidak ada sogokan wang dan ugutan.

Beliau yang mewakili BN dari tahun 1974 hingga 1982, berkata beliau sendiri dapat merasakan gelombang perubahan itu setelah beberapa hari membuat kajiannya sendiri.

“Saya mempunyai keluarga yang ramai di sini dari Desa Murni hinggalah ke Jenderak sampai seberang sungai dan ‘round’ rata jumpa mereka sempena PRK Kerdau ini.

“Saya dapati mereka mahukan perubahan setelah terkongkong lama di bawah BN. Sebab itu saya rasa calon PAS boleh menang dengan syarat pertandingan dalam pilihan raya ini berlaku adil.

“Tapi kalau dah diberi duit, diugut dan sebagainya itu saya tak tahulah,” katanya ketika ditemui semasa mendengar syarahan selebriti terkenal Bob Lokman di Desa Murni petang tadi.

PAS diwakili oleh Hassanuddin Salim pada PRK ke 16 selepas PRU 2008 ini sementara BN diwakili oleh Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Saluddin yang menyertai PAS pada 1983 berkata, Hassanuddin masih berkesempatan menemui semua pengundi dalam Dun Kerdau dengan baki lima hari lagi berkempen ini.

“Saya berkeyakinan jika Hassanuddin dapat menemui semua pengundi, beliau boleh menjelaskan perjuangannya jika terpilih nanti,” tambahnya.

Tambah Saludin, dari segi calon berpihak kepada Hassanuddin kerana beliau kenal betul dengan orang Kerdau yang tidak suka berketuakan bukan daripada ‘kelompok’ mereka.

Dalam pada itu Saludin berkata, keluarganyalah yang banyak menyebarkan PAS di Kerdau dan sebahagian tapak markas PAS Darul Hikmah, Kerdau adalah pemberian wakaf daripada keluarganya.

Tuesday, March 1, 2011

Umno terdesak, ganggu ceramah PAS

TEMERLOH: Umno disifatkan makin terdesak dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau apabila bertindak mengganggu ceramah PAS setelah ceramah dianjurkan parti itu tidak mendapat sambutan.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Saad, berkata sudah dua malam berturut-turut ceramah anjuran PAS di Jengka 23 telah diganggu oleh pihak parti tersebut.

“Malam kelmarin semasa ceramah Mohd Sabu, markas Umno yang berada tidak berapa jauh dari kawasan PAS telah memasang lagu dan berkaraoke sekuat-kuatnya sehingga mengganggu kira-kira seribu pendengar yang hadir.

“Malam tadi ceramah Bob Lokman yang dihadiri kira-kira seribu orang pula diganggu oleh tidak kurang 10 orang pemuda yang bermotosikal dengan membuat bising di kawasan ceramah yang mendapat permit polis.

“Saya difahamkan di markas mereka juga ada satu ceramah oleh pemimpin Umno, tapi oleh kerana kurang mendapat sambutan berbanding program PAS, mereka arahkan anak muda datang mengganggu,” ujarnya.

Menurut Suhaimi, selepas beberapa pemuda PAS menghampiri penonggang motosikal berkenaan, mereka pun lari dan kemudian datang lagi mengganggu.

Dun Kerdau mempunyai 13 pusat mengundi termasuk tiga kawasan Felda. Pemuda PAS Pahang menjadikan Jengka 23 sebagai pusat operasinya.

Tambah Suhaimi, selama ini tema kempen oleh calon PAS ialah berkasih sayang dan menolak provokasi dengan demikian diambil kesempatan oleh kem Umno untuk menimbulkan provokasi dan suasana yang tidak selesa kepada penyokong PAS.

“Kita masih punya beberapa hari lagi untuk berkempen dan saya harap pihak berkuasa tidak berdiam diri kerana kita tidak mahu berlaku suasana yang tidak harmoni atau ekkecohan dalam kempen pilihan raya ini,” katanya kepada Harakahdaily.



Monday, February 28, 2011

Pengarah SPR Pahang meninggal dunia

TEMERLOH: Pengarah Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) Pahang Datuk Ismail Mohd Yusoff meninggal dunia di Hospital Sultan Ahmad Shah di sini petang Isnin kerana serangan jantung.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Ismail, 57, yang dimasukkan ke hospital itu pada 7 pagi tadi, meninggal dunia pukul 3.15 petang ini.

Beliau berada di sini bagi melihat persiapan pilihan raya kecil Kerdau yang akan diadakan Ahad ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim.

"Pada saya Allahyarham seorang pegawai yang cukup dedikasi dengan memberi perhatian sangat rapi, dia telah berkhidmat dalam SPR selama 20 tahun dan akan bersara pada Julai ini.

"Beliau mula berkhidmat selaku Pengarah Pahang (SPR) bermula 1 Julai 2001 sebelum itu bertugas selaku Pengarah Melaka dan pernah menjadi Timbalan Pengarah Pahang," katanya kepada Bernama di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh di sini, hari ini.

Jenazah Ismail dibawa ke rumahnya di Felda Panching Timur, Kuantan dan akan dikebumikan petang ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak menyifatkan Allahyarham seorang yang minat bekerja.

Katanya, sepanjang beliau mengenali arwah, Allahyarham seorang yang suka membantu dan cukup dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

"Saya tengok dia suka buat kerja kadang-kadang dia suka selesaikan permasalahan sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain," katanya.


-- BERNAMA


Ketua Pemuda PAS Pahang pertama meninggal dunia

TEMERLOH: Ketua Pemuda PAS Pahang yang pertama, Abdul Manaf Abdul Latif, 80, atau lebih dikenali dengan panggilan Pakde Manaf di kalangan sahabat, telah kembali ke rahmatullah jam 11 pagi tadi semasa tidur di rumah sewanya di Batu Satu.

Beliau dipercayai meninggal akibat serangan jantung.

Menurut Ketua Pemuda PAS cawangan kampung berkenaan, Jafri Ramli, seorang pegawai perubatan mengesahkan kematiannya setelah dipanggil ke rumahnya.

Tambah Jafri, beliau sebelum itu telah dipanggil oleh isteri Abdul Manaf yang mengsyaki sesuatu setelah Manaf tidak bangun.

Abdul Manaf yang merupakan bekas tentera, menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang yang pertama pada tahun 1963 sehingga tahun 1971.

Beliau yang berasal dari Kampung Sanggang, dekat sini pernah dianugerahkan sebagai tokoh veteran PAS Pahang dan semasa sihatnya tidak pernah ketinggalan menyertai kempen dalam banyak pilihan raya kecil seluruh negara.

Sejak tahun lalu kesihatannya dikatakan merosot dengan pelbagai penyakit termasuk komplikasi jantung, buah pinggang dan gout.

Beliau meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Ubudiah Batu Satu dan dikebumikan di tanah perkuburan Chengal, selepas Solat Asar.



Sunday, February 27, 2011

Umno bertahan dengan isu kelulusan calon

Sudah masuk hari kedua kempen, tetapi kem Umno masih berputar-putar mengenai status kelulusan calonnya, iaitu seorang bekas guru sekolah agama rakyat (SAR) yang dilantik sebagai penasihat agama Menteri Besar Pahang.

Akhbar melaporkan hari ini, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau Syed Ibrahim Syed Ahmad terpaksa memanggil sidang media bagi menunjukkan ijazah Bahasa Arab yang diperolehinya daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau dikatakan berbuat demikian kerana terpaksa menjawab tohmahan mengenai status pendidikannya selama ini.

Jawapannya sudah tentu dihalakan kepada PAS yang bertanding melawan BN dalam PRK Kerdau sekarang.

Namun pada saya, jika itu maksud atau tujuan yang disasarkan kepada PAS, itu silap. Kerana PAS sendiri tidak tahu menahu atau mengambil berat tentang kelulusan dimiliki calon BN itu.

Malah, tidak berminat pun.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pengarah PRK Kerdau bagi PAS menjelas melalui sidang media semalam, tiada satupun kenyataan yang dikeluarkan dari mana-mana pemimpin PAS mengenai isu kelulusan calon Umno sehingga kini.

“PAS kesal kerana dituduh menyebarkan fitnah kepada calon BN Syed Ibrahim yang dikatakan gagal menamatkan pengajian di Mesir (Universiti Al-Azhar).

"Sedangkan isu ini tidak pernah keluar daripada mana-mana pimpinan PAS. Ia dicetuskan oleh blogger yang tiada kena mengena dengan PAS. Bagi PAS, kami menafikan sekeras-keras tuduhan isu ini ditimbulkan oleh PAS,” katanya

Menurut Tuan Ibrahim, asal isu calon BN dikatakan gagal menamatkan pengajian, langsung tiada sebarang kenyataan beliau beli sijil hanya keluar daripada kenyataan MB Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Kini pelbagai kenyataan dikait dengan beli sijil. Begitulah 'peralihan' dari isu asal gagal menamatkan pengajian kepada isu yang dikemukakan oleh pimpinan mereka (beli sijil),” selar Tuan Ibrahim.

Untuk PAS, katanya, soal calon BN lulus atau gagal itu bukanlah isu, namun pengundi berhak mengetahui keadaan sebenar.

“Mereka berhak tahu, walaupun ribuan calon sahkan lulus di al-Azhar, pergi pun tidak,” ujarnya.

Sementara itu, ada yang berpendapat bahawa isu kelulusan Syed Ibrahim dibangkitkan oleh kalangan Umno sendiri. Seperti yang disebut sesetengah sumber, ia ada kemungkinan disebarkan oleh pihak yang mewakili individu yang gagal dinamakan sebagai calon Umno yang mewakili BN dalam PRK Kerdau, yang tidak berpuas hati!

Begitu juga dengan status subjek Bahasa Melayu peperiksaan SPMnya.



Saturday, February 26, 2011

Kerdau janjikan pertembungan sengit: PR - BN

TEMERLOH: Bandar ini bakal menyaksikan satu 'pertempuran' sengit melibatkan dua kelompok dalam politik orang Melayu.

PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan Umno yang betanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau memulakan kempen secara agresif pada hari pertama sebaik sahaja proses penamaan calon berakhir.

Tinjauan mendapati, jentera kedua-dua parti mula dilihat bergerak menjalankan kempen termasuk menemui pengundi dari rumah ke rumah, mengadakan program di bilik-bilik gerakan dan mengedarkan risalah.

Calon kedua-dua belah pihak pula dilihat sudha mula menemui orang ramai.
Kempen dijangka akan lebih menarik menjelang malam. Di Pihak PAS, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan melancarkan Buku Jingga yang mengandungi janji dan tawaran PR sekiranya memerintah negara dalam satu ceramah besar-besaran di markas besar PAS Kerdau.

Sementara Umno turut mengatur majlis bersama Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pula sudah beberapa hari 'berkubu' di kawasan Orang Asli Paya Sendayan dan Telok Sentang.
Kedua-dua parti dilihat memberi tumpuan utama di Kerdau berbanding satu lagi PRK, di Merlimau. Malah, Ini oleh seorang pegawai risikan polis ketika ditemui pagi tadi, mengesahkan media dan agensi tersebut turut memberi perhatian lebih daripada Merlimau.Ini dapat dilihat daripada kontinjen polis yang diletakkan dalam kuantiti luar biasa besarnya.
Dalam perarakan mengiringi calon ke pusat penamaan pagi tadi, sebahagiam besar pimpinan utama BN berada di Kerdau bersama Muhyiddin sementara PAS diketuai oleh presidennya sendiri, Abdul Hadi.

Friday, February 25, 2011

Berhimpun dibelakang Plaza Temerloh esok untuk perarakan calon

TEMERLOH: Semua ahli dan penyokong Pakatan Rakyat yang berhasrat untuk mengiringi calon PAS ke majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.28 Kerdau besok (26 Februari , diminta berhimpun di tapak parkir belakang Plaza Temerloh berhampiran Balai Bomba Temerloh.

Menurut Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Bin Zainal Al-Ahmadi, program akan bermula seawal jam 5 pagi dengan Munajat Perdana di kawasan berkenaan dan diikuti dengan Solat Subuh berjamaah.

Pada jam 7.30 pagi perarakan akan mula bergerak dari tapak berhimpun melalui bandar lama Temerloh ke Jalan Semantan, melalui hadapan Arked Mara dan berakhir di kawasan parkir di belakang CIMB Bank.

Katanya, proses penamaan calon akan bermula pada jam 9 pagi di Dewan Tun Razak, Temerloh dan dijangka berakhir kira-kira jam 12.00 tengah hari

“Semua pimpinan dan peserta perarakan dinasihatkan datang awal untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Jalan utama bandar Temerloh iaitu Jalan Ahmad Shah akan ditutup seawal jam 6.00 pagi bermula di hadapan Maybank.

“Bagi peserta yang menyertai munajat perdana disarankan membawa tikar dan sejadah serta siap berwuduk. Pastikan anda tidak membawa alat bunyian dan peralatan yang boleh diklasifikasikan sebagai senjata berbahaya,” ujarnya dalam kenyataan media.




Umno mula sebar risalah fitnah

Umno mula edar risalah fitnah

TEMERLOH: Hasrat rakyat tempatan yang mahu melihat kempen bersih dalam PRK Kerdau mungkin berkubur kerana awal-awal lagi pihak Umno/BN telah menerbit dan menyebarkan risalah fitnah yang berupa hasutan.

Risalah yang dipaparkan kononnya diterbitkan oleh Pakatan Rakyat itu bertajuk ‘Kalau Program 100 Hari Pakatan Rakyat Dilaksanakan’ telah diedarkan oleh pihak tertentu di sekitar peti undi di Dun Kerdau dan termasuk di masjid-masjid hari ini.

Risalah yang mengandungi lapan halaman itu merupakan satu tuduhan dan tohmahan bagi menjawab satu persatu isu Tawaran 100 Hari janji Pakatan Rakyat jika diberi peluang menerajui negara.

Semua janji Pakatan yang terkandung dalam ‘Buku Jingga’ di jawap satu persatu secara ‘bodoh’ melalui ilustrasi kartun.

Menurut Pengarah UPU Desa Murni, Hassan Omar, yang merupakan antara yang terawal menerima risalah berkenaan, berkata ada kemungkinan ia diedarkan oleh jentera Umno dari luar.

“Saya nampak provokasi dan fitnah yang berlaku dalam PRK Tenang, Galas dan yang sebelumnya cuba dibawa ke sini oleh mereka menyebabkan penduduk tempatan merasa kurang selesa.

“Kita menyeru jentera propaganda Umno berhenti daripada melakukan kerja terdesak itu kerana ia tidak menguntungkan orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman akan membuat laporan polis di IPD Temerloh petang ini berkaitan risalah fitnah terbabit.



Calon PAS mahu kempen berhemah, tolak provokasi

TEMERLOH: Calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Kerdau, Hassanuddin Salim, meminta petugas PAS berkempen secara berhemah, pendekatan mesra rakyat dan mengelakkan sebarang provokasi supaya PRK berjalan dalam suasana harmoni.

Malah, Ketua Penerangan PAS Pahang itu menyeru seluruh pengundi di dalam Dun Kerdau supaya menjalankan tanggungjawab berpilihan raya dengan semangat kasih sayang.

“Apa gunanya kita bermusuh, selepas pilihan raya semua petugas akan kembali ke tempat masing-masing dan tinggallah kita penduduk Kerdau ini seperti sedia kala. Jadi apa gunanya kita bermasam muka, sedangkan kita akan terus hidup bersama lama lagi selepas pilihan raya.

“Oleh yang demikian, kami daripada PAS menegaskan bahawa tidak ada sebarang provokasi dalam kempen kami, dan jika wujud sebarang ketegangan atau kempen mengutuk peribadi, itu bukan daripada pihak kami,” ujarnya ketika berucap selepas diumumkan calon PAS mewakili Pakatan Rakyat di pekarangan Kompleks PAS Kerdau, dekat sini, malam tadi.

Hassanuddin diumumkan sebagai calon PAS oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 10.45 malam dalam majlis yang diadakan di tapak Kompleks PAS Kerdau.

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS dan PKR, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden dan AJK PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.
Hassanuddin dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh pernah bertanding di Dun Kerdau pada pilihan raya umum lalu.

Berkelulusan Diploma Ukur dari UiTM, Shah Alam mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak. Mempuyai ramai saudara mara dan kerabat di Desa Murni, Lipat Kajang, Teluk Sentang dan di sepanjang Sungai Pahang (dalam Dun Kerdau).

Menurut profil calon yang diedarkan bilik operasi induk PRK N 28 Kerdau, Hassanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam industri dan ukur selama 15 tahun juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

GAMBAR:
Hassanuddin (berdiri, kanan) bersama Anwar dalam satu program di Mentakab baru-baru ini.




Thursday, February 24, 2011

Syed Ibrahim bakal jadi daun 'Karapole' Umno

Oleh ARIS FAIZUL

Seperti yang dijangka, Umno akhirnya mengistiharkan Syed Ibrahim Syed Ahmad 44 Pegawai Khas Menteri Besar Pahang yang mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar sebagai calon BN di PRK Kerdau.Sebuah blog Umno menyifatkan pemilihan itu sebagai, hadiah paling berharga bagi penduduk Kerdau.

Ini bukanlah kali pertama Umno meletakkan calon lulusan agama untuk menentang calon PAS.Tahun 2004 paling ramai tokoh tokoh agama di turunkan sebagai calon BN untuk menentang tokoh tokoh PAS terutama yang menang pilihanraya 1999.

Tetapi apakah ianya benar benar menjadi hadiah paling berharga kepada rakyat atau sebaliknya? Selepas mereka menang dalam pilihanraya 2004,apakah kedai kedai judi,nombor ekor di tutup di Pahang?Pastinya tidak.

Apa yang pasti mereka masuk ke dewan undangan negeri hanya sekadar untuk 'mengangguk' kepala kepada apa saja yang hendak dibuat kerajaan negeri.Masjid masjid selepas 2004 semakin lesu daripada program agama kerana ahlijawatankuasa masjid yang dipilih oleh ahli jemaah telah digugurkan dan diganti dengan AJK Umno cawangan yang 'penyegan' nak imarahkan rumah Allah.

Kalaulah tokoh tokoh agama Umno ini dianggap sebagai hadiah paling berharga kepada rakyat, tentu saja masjid masjid semakin makmur dengan pengajian agama yang dikendali sendiri oleh YB di kalangan ustaz ustaz Umno ini.Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

ADUN Luit daripada BN, seorang bekas Kadhi lebih memilih karaoke bersama rakyat daripada mengimarahkan masjid bersama pengundinya itu. Tiada apa yang menarik dibuat oleh tokoh tokoh agama ini untuk memartabatkan Islam di negeri Pahang.

Pada PRU ke 12 tahun 2008 ADUN ADUN dari kalangan ustaz Umno ini telah dibakul sampahkan. Maka jadilah mereka daun 'karapole' @ daun kari yang dicari merata ceruk untuk menyedapkan gulai, tapi bila gulai dah siap,daun karapole dibuang ke bakul sampah . Itulah nasib yang akan menimpa ustaz Umno termasuk Syed Ibrahim calon Umno di PRK Kerdau yang juga bakal menjadi daun 'karapole'.Tugas beliau hanyalah untuk mengalahkan calon PAS. Kalaulah beliau berangan nak bawa suara Islam ke Dewan Undangan Negeri,maka beliau telah tersilap memilih bahtera.



Wednesday, February 23, 2011

Kalau sokong PAS kena potong anu, tak boleh makan kerbau pendek – MCA

Harakahdaily TEMERLOH: Naib Presiden PKR Datuk Chua Jui Meng mendedahkan ketika beliau berada dalam MCA telah berkali-kali menakut-nakutkan orang Cina supaya jangan menyokong PAS.

Katanya, antara lain beliau mengatakan jika PAS memerintah orang Cina akan dipotong ‘anu’ dan tidak boleh lagi makan ‘kerbau pendek’.

Bagaimanapun, bekas Menteri Kesihatan itu yang berceramah di Tapak Kompleks PAS Pahang di Kerdau kelmarin, mengaku kini beliau bertaubat dan tidak mahu lagi mengulangi penipuan yang sama.

“Saya masa dalam MCA berkempen memberitahu orang Cina jangan sokong PAS, sebab PAS nak bina negara Islam. Kalau negara Islam nanti anu orang Cina kena potong, tak boleh makan kerbau pendek.

“Itulah penipuan kami kepada orang Cina dan saya percaya ia berlanjutan hingga sekarang. Tapi hari ni saya nak minta maaf... saya taubat,” katanya sambil disambut dengan sorakan lebih 12,000 orang yang hadir.

Tambah bekas Naib Presiden MCA itu, beliau mendapati orang Cina pada masa ini tidak boleh ditipu atau tidak ditakut-takutkan lagi kepada PAS dan ini dibuktikan dengan sokongan majoriti entiti tersebut kepada PAS sejak pilihan raya umum (PRU) 2008 yang lalu.

Turut berceramah pada malam tersebut ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PKR Tian Chua dan beberapa orang lagi.

Chua selanjutnya menceritakan bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak jatuh kerana mengaut kekayaan melampau dengan keluarga beliau mempunyai kekayaan lebih RM270 bilion.

Tambahnya, sedangkan sejumlah besar rakyat hidup melarat dan dibelenggu kemiskinan sehinggalah mereka bangun memberontak.

“Saya nak beritahu apa bezanya dengan Malaysia, 11 juta penduduk di negara ini berpendapatan di bawah RM1,500 iaitu berstatus miskin jika dibandingkan dengan kos hidup. Dan 8 juta daripada mereka adalah orang Melayu.

“Satu perkara lagi yang mempunyai persamaan Malaysia dengan negara-negara Arab yang menghadapi kebangkitan rakyat itu ialah rasuah. Semasa saya mulai memasuki parlimen tiga dekad yang lalu kedudukan indeks rasuah Malaysia sekitar nombor 20.

“Tetapi ketika Perdana Menteri sekarang mengambil alih pemerintahan sudah berada di kedudukan ke 57,” katanya.

Jelasnya, beliau percaya jika rakyat dalam keadaan tertekan mereka akan bertindak untuk mendapatkan keadilan.