Friday, February 1, 2019

Tuan Ibrahim azan, iqamahkan Pemangku Raja Pahang

Ada sesuatu ingatan istimewa sempena pemasyhuran Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Selasa lalu.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terkenangkan pada pagi 17 September 1995, iaitu hari kelahiran putera sulung baginda Sultan Abdullah, beliau menerima panggilan dari pihak istana memaklumkan Tengku Puan Pahang telah memasuki bilik bersalin, dan beliau diminta untuk segera datang ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.


Ahl Parlimen Kubang Kerian itu, pada masa itu menjadi pensyarah di Institut Teknologi Mara (kini UITM) cawangan Kuantan.

Ceritanya, dengan jubah putih (baru selesai kuliah) beliau terus ke Wad Diraja hospital dan dimaklumkan Tengku Puan telah selamat melahirkan seorang putera.

“Saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Saya terus dibawa masuk ke bilik khas, Tuanku Sultan Abdullah meminta saya masuk untuk azan dan iqamah bayi ini.

“Alhamdulillah saya memangkunya, kemudian mengazan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kirinya, mencium dahi dan mendoakan kebaikan untuknya dan kedua ibu bapa. Kemudian menyerahkan kepada bidan yang menjaganya.

“Kenangan itu masih segar dalam ingatan kerana ia insan yang istimewa pewaris takhta Kerajaan Pahang Darul Makmur,” tulisnya.

Keakraban hubungan Tuan Ibrahim selaku seorang pendakwah dengan Kebawah Duli Tuanku yang kini bergelar Yang Dipertuan Agong yang hampir sebaya, memang sudah diketahui ramai di negeri ini.

No comments:

Post a Comment