Wednesday, May 30, 2012

Maksiat Umno dan hukum Harussani

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, hanya berani mengatakan ‘tak patut’ kepada Umno yang menjadi penganjur himpunan belia yang mengundang artis dari Korea yang penampilannya amat bertentangan dengan Islam dan bercanggah dengan budaya Melayu.

Anggota Majlis Fatwa Kebangsaan itu tidak berani menghukumkan program untuk tujuan politik Umno itu sebagai haram kerana tahu risikonya.

Sebagai contoh, Harussani pernah menegur Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai syirik, apabila hadir ke kuil Hindu merayakan Thaipusam. Apabila Najib bertindak menemui Harussani, beliau tiba-tiba membuat “u-turn” mengatakan Najib tidak syirik.

Pernah pada satu masa dulu, Harussani menjatuhkan hukum haram kepada program Sure heboh anjuran media Umno Tv ¾. (Kalau tidak silap, Dr Asri Zainal Abidin juga mengeluarkan hukum yang sama). Program tersebut sudah tentu dihukumkan haram kerana terdapat pergaulan bebas yang boleh mengakibatkan bermula dan menularnya maksiat.

Tetapi tv Umno itu menukarkan nama Sure heboh itu kepada Jom heboh dan akhirnya tidak kedengaran lagi hukum haram oleh Harussani itu sedangkan program yang sama tetap diadakan sekerap-kerapnya di tiap-tiap negeri.

Kita percaya, Harussani mengatakan “tidak patut” itu sudah tentu merujuk kepada pakaian dan adab artis luar negara yang tidak sopan dan mengghairahkan. Bukan artis Korea itu saja, sebenarnya kebanyakan yang menghibur dan berhibur itu berkeadaan sangat teruk dan menjengkelkan.

Juga kita percaya, jika artis di pentas ‘bertelanjang’ seperti itu, boleh dibayangkan banyak kali gandalah teruknya lagi nafsu serakah belia-belia terutamanya Melayu yang sanggup beraksi lebih “panas” daripada itu. Sepatutnya pihak berkuasa dan Umno sudah dapat membaca rapuhnya jati diri dan kejiwaan orang Melayu apabila menerima budaya luar.

Mufti Perak itu berkata: “Sepatutnya tidak ada benda-benda macam itu (artis K-Pop). Kita sekarang dalam proses pembentukan akhlak muda-mudi kita yang sedang merosot, jadi tidak patut ada perkara yang boleh menaikkan nafsu.

“Harap pihak penganjur ambil perhatian serius dalam hal ini,” katanya dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Jika difahami, begitulah jahatnya Umno. Kasihan, jenuh para pendakwah dan tok-tok guru berusaha mendidik, mengajar dan menasihatkan anak-anak muda supaya patuh kepada suruhan Allah, jauhi maksiat dan jangan hampiri zina.

Tetapi ternyata Umno tidak mempedulikan semua itu. Yang mereka pentingkan ialah mahu berjaya mengumpul 2.4 juta belia (mungkin mengikut kaedah pengiraan oleh Rais Yatim). Itu belum lagi dikira agenda lucah, seks dan porno yang dimainkan oleh Umno sebagai serangan politik untuk menjatuh dan mengaibkan individu muslim.

Dalam pada itu kita belum mendengar sepatah ulasan daripada buangan PAS Dato’ Hasan Ali yang begitu terliur bercakap tentang kerosakan akidah. Tidak diketahui sama ada beliau berpandangan yang tidak boleh ialah murtad sedangkan maksiat, “no komen”. Sesiapa pun boleh mengagak bahawa asal program daripada Umno, beliau tidak akan berani sentuh apa-apa. Sebab sasaran beliau ialah menghentam PAS.

Bayangkan, pada malam 26 Mei lalu itu ceramah berkaitan Islam oleh Ustaz Azhar Idrus tergamak dibatalkan bagi memberi laluan kepada konsert K-Pop anjuran Umno yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sepatutnya orang Melayu sudah sedar parti manakah yang meruntun orang ramai kepada maksiat dan parti manakah yang mengajak mereka kepada taatkan Allah. Tetapi oleh kerana mainan publisiti politik, propaganda dan gerak saraf, pemikiran orang Melayu tiba-tiba menjadi tidak waras untuk memikirkan yang mana baik yang mana jahat, yang manfaat yang mana mudarat!

No comments:

Post a Comment