Wednesday, December 28, 2011

Mangsa saman demo, hantar memorandum kepada MPK Jumaat ini

KUANTAN, 28 Dis: Pakatan penduduk di sini yang menamakan kumpulan mereka Suara Kumpulan Rakyat akan mengadakan perhimpunan aman sebelum menyerahkan memorandum di pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Jalan Tanah Putih pada 30 Disember ini.

Menurut penyelaras kumpulan berkenaan, Shukri Jamaluddin, hampir 500 orang yang pernah menjadi mangsa MPK mengesahkan akan hadir bagi memprotes saman parking oleh oleh pihak berkuasa itu yang disifatkan keterlaluan.

“Pengguna kenderaan di daerah ini seolah-olah fobia dengan MPK kerana kenderaan mereka boleh disaman sesuka hati walaupun pada pukul 2 hingga 4 pagi sedangkan MPK sepatutnya sedar bahawa parkir awam di bandar ini tidak mencukupi.

“Apa yang dikesalkan pengguna, kenderaan mereka disaman pada hari Ahad dan cuti umum seperti hari raya, sambutan hari kemerdekaan, majlis-majlis rasmi, expo dan karnival. Yang sedihnya, pada waktu solat termasuk hari Jumaat juga kenderaan disaman.

“Ini sudah tentu tidak masuk akal. Bahkan yang lebih menjadi kemarahan penduduk ialah kenderaan mereka disaman dalam kawasan perumahan, kawasan hospital dan di Pusat Pengajian Tinggi,” katanya.

Tambah Shukri, ada pengguna mengadu kenderaan mereka disaman berkali-kali pada hari yang sama dan ada pula yang merungut kenderaan yang sudah membayar parking bulanan
juga disaman oleh MPK.

Katanya isu ini telah lama menghantui warga Kuantan dan pelancong justeru mereka mahu MPK lebih berhemah sehingga tidak dilihat menjadikan wang saman sebagai sumber pendapatan utama.

“Bayangkan sekali saman RM5, tetapi dalam tempoh sebulan jika tak bayar boleh jadi RM30. Ini bukannya isu kita tidak mahu bayar saman, tetapi isu yang lebih besar ialah tindakan saman oleh MPK jelas melampaui batas dan sistem gores kupon yang digunakan jelas menguntungkan MPK sedangkan rakyat terus didera.

“Kita tidak mahu saman parking dijadikan satu kaedah paling mudah untuk mengisi kewangan MPK. Bayangkan sudah begitu ramai penguatkuasa, attendan parking pula diberi kuasa menyaman. Dan terbaru, semua kakitangan MPK telah diberikan kad kuasa dan buku saman sebagai kerja sambilan mereka untuk mendapat komisyen.

“Jika tidak MPK akan buat pesta saman pula semasa SUKMA 2012 di Kuantan Julai nanti. Oleh itu sesiapa saja yang pernah menjadi mangsa digesa datang pada waktu tersebut dan berkumpul di Taman Esplanade memakai baju merah dan memawa bersama resit-resit saman serta poster bantahan sebagai tanda protes.

“Sebab itu dalam memorandum itu nanti kita nyatakan mahu MPK kembalikan sistem bayaran parking kepada sistem asal iaitu meletakkan resit kuning atau parking bermeter,” katanya.

Tambahnya, Kuantan merupakan ibu negeri serta bandar pintu masuk ke Pantai Timur justeru sudah tentulah tindakan rakus MPK itu boleh memberikan imej buruk sebagai ‘bandar saman’ di mata umum terutama kepada pelancong.

No comments:

Post a Comment