Wednesday, April 20, 2011

2 OKT terlepas lari di mahkamah Temerloh

Dua orang kena tahan (OKT) terlepas daripada kawalan polis pagi tadi, ketika turun daripada trak polis untuk dibicarakan atau direman di mahkamah Temerloh.

OKT tanpa bergari itu secara tiba-tiba melarikan diri melalui pintu pagar kecil menghala ke taman tasik Temerloh yang berhampiran, dengan masih berseragam lokap polis kira-kira jam 8.30 pagi sebelum dibawa untuk pendakwaan.

Dua OKT yang difahamkan dibawa dari lokap polis Triang itu, dipercayai mengambil kesempatan ketika pengawal masih dalam keadaan tidak begitu bersedia iaitu antara menuruni trak ke pintu masuk tingkat bawah, bahagian belakang mahkamah.

Ketika ini, pasukan polis sedang menjejak dan memburu OKT berkenaan dan belum terdengar mereka sudah ditangkap semula.

Sementara itu, OKT berkenaan dilaporkan berjaya merampas sebuah kereta sepasang suami isteri yang dikatakan baru selesai berjogging di taman rekreasi berkenaan. Menurut laporan, terdapat wang tunai berjumlah RM300 bersama dokumen diri dalam wallet yang ada dalam kereta berkenaan.


No comments:

Post a Comment