Tuesday, April 19, 2011

MB mesti serius tangani isu air paip tanpa tempoh

Cara Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang seakan-akan ‘mengugut’ supaya semua Adun diberi tempoh dua minggu untuk senaraikan kawasan bermasalah air paip atau tidak dipulihkan, dirasakan tidak sesuai.

Sebab seluruh daerah di negeri Pahang ini, sebagaimana sering dilapor di media-media saban hari, semuanya mengalami masalah bekalan air paip. Semua pihak merasakan, laporan masalah air di tempat masing-masing itu sepatutnya sudah sampai ke pengetahuan Mneteri Besar.

Akhbar melaporkan, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri semalam, Adnan meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri ini seupaya menyenaraikan kawasan-kawasan kritikal bekalan air dalam tempoh dua minggu untuk diambil tindakan segera.

Adnan berkata, Kerajaan Pusat sudahpun meluluskan peruntukan kepada Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah yang selama ini membelenggu kehidupan rakyat di negeri ini.

“Kerajaan Pusat sudah pun meluluskan peruntukan untuk membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah bekalan air dan saya mahu dalam tempoh dua minggu semua Adun menyenaraikan kawasan-kawasan yang benar-benar kritikal.

“Mana-mana Adun yang tidak menyenaraikan kawasan itu dianggap tidak berminat atau tiada masalah tersebut di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan tambahan Norolazali Sulaiman (BN – Guai) pada Persidangan :Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-12, di Wisma Sri Pahang, semalam.

Sebenarnya masalah bekalan air ini sudah menghantui penduduk negeri ini sejak beberapa dekad. Masalah tersebut sudah tentu disebabkan kelemahan pengurusan. Kita katakan kelemahan pengurusan kerana Pahang mempunyai sumber air yang banyak.

Pahang memiliki sungai terpanjang di Semenanjung. Bahkan jika dicampur dengan kesemua anak sungai, dikatakan jarak panjangnya mencecah 11,000 kilometer. Bukan itu saja, negeri ini juga mempunyai taburan hujan yang kerap dan sering berlaku banjir. Ini bermakna daripada segi sumber, Pahang memiliki kekayaan air.

Bahkan air menjadi satu sumber pendapatan kepada negeri ini dan boleh dieksport pula ke negeri Selangor.

Namun kenapa sering penduduk di negeri ini berlaku keputusan bekalan air paip? Tidakkah itu bermakna kelemahan pengurusan?

Jadi, berlakunya gangguan bekalan kepada pengguna seluruh Pahang bukanlah bererti negeri ini kekurangan sumber bahan itu seperti sesetengah negeri lain. Malah apa yang berlaku ialah disebabkan kelemahan pengurusan mengagihkan bahan itu melalui agensi terbabit.

Antara sebab kelemahan sistem penyelenggaraan bekalan dan pengagihan sumber bahan mentah itu tidak dapat dilakukan secara sempurna ialah sistem paip lama yang banyak menimbulkan masalah tapi belum diganti.

Menurut sumber kerajaan, di Pahang terdapat 12,000 kilometer saluran paip bawah tanah dan 7,000 kilometer daripadanya merupakan paip lama yang perlu diselenggara dan diganti baru.

Berbalik kepada ‘cabaran’ Adnan untuk Adun siapkan dalam tempoh dua minggu itu, kita kena kena ingat bahawa menyelesaikan masalah rakyat tidak boleh dianggap sebagai cabutan bertuah mengikut tempoh masa atau peraduan ‘siapa cepat dia dapat’ saja. Berkhidmatlah dengan jujur dan ikhlas.

Kerana, kita semua makan gaji atas amanah perjawatan kita. Kita akan disoal kelak iaitu berkaitan amanah tersebut apabila dibicarakan di akhirat nanti!


No comments:

Post a Comment