Friday, April 1, 2011

Laporan polis kes tipu: MB Pahang didesak lepas jawatan

Pakatan Rakyat negeri Pahang mendesak Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob melepaskan jawatannya atau segera bercuti bagi membolehkan pasukan penyiasat dapat melaksanakan tugas mereka secara bebas, telus dan berintergriti berikuatan dakwaan yang menyatakan beliau telah menipu seorang ahli perniagaan.

Kami ingin merujuk kepada laporan akhbar online Malaysikini bertarikh 25 Mac 2011 yang memuatkan kenyataan tentang ujudnya satu laporan polis telah dibuat oleh seorang ahli perniagaan bernama Lee Sin terhadap Adnan dan pembantunya yang juga Setiausaha Umno Bentong, Shamsuddin Ibrahim kerana didakwa menipu sejumlah nilaian wang bernilai RM 300 ribu.

Menurut laporan kes tersebut ada kaitan dengan isu pemberian kawasan balak seluas 10,000 ekar di Nenasi Pekan.

Oleh kerana kes ini telah dilaporkan kepada pihak polis maka kami memandang serius akan tuduhan yang dikenakan ke atas beliau selaku seorang penjawat awam peringkat tertinggi negeri. Keadaan ini sudah tentulah memberikan implikasi buruk kepada perjalanan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri.

Kami segera menuntut agar Menteri Besar, Dato’ Seri Adnan Yaakob mengambil tanggungjawab dengan penuh kejujuran memelihara nilai integriti dan responsbiliti pentadbiran. Kami tidak mahu negeri ini terjebak ke dalam situasi yang boleh menghilangkan kepercayaam umum yang akhirnya memberi kesan kepada pembangunan negeri terutama dari aspek ekonomi. Kami bimbang kes sebegini jika tidak ditangani secara adil dan bebas boleh menghilangkan keyakinan pelabur untuk menanam modal di negeri ini.

Tuntutan kami terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Adnan Yaakob supaya berundur dengan melepaskan jawatan atau bercuti adalah relevan kerana tuduhan yang diterima beliau adalah berat kerana ia melibatkan tuduhan melakukan jenayah (penipuan dan salahguna kuasa).

Kami juga mengharapkan adanya siasatan dilakukan secara adil dan bebas dan diperlihatkan keadilan dan kebebasannya hanya apabila Adnan dan pembantunya melepaskan jawatan bagi memberi ruang kepada pasukan penyiasat menjalankan tanggungjawabnya.


-----------------------------------------------------
(DATO’ TUAN IBRAHIM TUAN MAN)
Pengerusi Pakatan Rakyat Pahang
Naib Presiden PAS
Pesuruhjaya PAS Pahang.

No comments:

Post a Comment