Wednesday, October 25, 2017

Pulau Tioman diabaikan dalam Tahun Melawat Pahang

Oleh ANDANSURA RABU

Mengecewakan adalah perkataan yang boleh diungkapkan terhadap kemudahan asas di Pulau Tioman. Saya adakan lawatan kerja sehari di pulau tersebut khususnya di Kampung Tekek pada 16 Okt 2017 dan perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian segera oleh pihak Agensi Pembangunan Tioman.

Pertama, tandas awam yang telah tidak berfungsi hampir dua tahun. Keadaan tandas di jeti Tekek merupakan pintu masuk utama para pengunjung namun tandas awamnya berada dalam keadaan yang amat memalukan. Bukan sekadar tiada bekalan air ia juga kotor dan menjijikan.

Kedua, bekalan air yang sering terganggu telah menyusahkam semua penduduk di Kampung Tekek termasuklah pengusaha chalet dan restoran. Projek menaik taraf bekalan air telah terbengkalai lebih daripada lima tahun menjadi tanda tanya kepada penduduk apa sebenarnya masalah pihak kerajaan. Longgokan paip yg banyak seolah-olah ada misteri di sebalik isu ini yang perlukan penjelasan telus daripada pihak kerajaan.


Ketiga, kompleks bebas cukai menjadi “gajah putih” dengan hanya ada dua pintu ruang niaga sahaja yang beroperasi daripada 10 pintu ditingkat bawah. Status pulau bebas cukai bukan sahaja tidak mampu menarik para pengunjung utk datang malahan tidak dapat memberi keuntungan kepada peniaga2 di pulau itu.

Keempat, kemudahan feri yg mengangkut pengunjung amat terbatas sehingga mengakibatkan ada masanya pengunjung terpaksa bersesak-sesak menaiki feri utk masuk dan keluar dari pulau tersebut. Dimaklumkan hanya ada dua feri untuk bawa masuk dan keluar pengunjung melalui Jeti Tanjung Gemok setiap hari.

Persoalan yang timbul adalah apakah manfaat yang diperolehi oleh penduduk Pulau Tioman dengan adanya Tahun Melawat Pahang yang bakal tamat dalam tempoh dua bulan lagi?

Potensi yg ada dipulau tersebut seolah-olah disia-siakan oleh kerajaan untuk menambah sumber pendapatan negeri. Pulau Tioman juga seperti diabaikan sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menarik.

GAMBAR:
Penulis di hadapan Kompleks Bebas Cukai Pulau Tioman yang terbengkalai



Tuesday, October 17, 2017

Amal adakan kursus hadapi banjir

TEMERLOH: Seramai 70 peserta melibatkan anggota Unit Amal dari seluruh Malaysia mengikuti pendedahan asas Boatman Basic Training & Water Confident 2017 anjuran Jabatan Amal Pahang.

Kursus intensif yang pertama kali ini bertujuan untuk melatih ahli-ahli dari sayap PAS itu bagi memenuhi persediaan menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku hujung tahun ini.

Program sehari itu diadakan di Dataran Patin, Kuala Semantan di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Amal Malaysia Mohd Nazree Mohd Aris.

Peserta didedahkan melalui taklimat teori mengenai keperluan dalam kerja-kerja menyelamat oleh sebuah konsultan penyelamat yang berpengalaman.

Mereka kemudiannya ditunjukkan secara praktikal di Sungai Pahang dan Sungai Semantan.

Komandan Amal Temerloh Mohd Shukri Osman berkata, Unit Amal sudah sinonim dan dikenali masyarakat dalam kerja-kerja kebajikan termasuk ketika menangani bencana.

“Dengan pendedahan berguna daripada jurulatih-jurulatih berpengalaman ini dapatlah anggota kami membuat persediaan yang lebih rapi lagi menghadapi musim tengkujuh dan banjir.

“Pengalaman banjir besar 2014 mengajar kami untuk lebih bersedia,” katanya.

Sementara itu rata-rata yang ditemui menyatakan rasa puas hati dan ilmu baharu yang didedahkan.