Tuesday, July 26, 2016

Sebagai yang dituduh Najib tak patut ulas - Tuan Ibrahim

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai siasatan pasukan petugas khas berkaitan 1MDB.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan Najib hanya memakan dirinya sendiri.

Katanya, Najib tersilap langkah apabila beliau sendiri menerangkan skop siasatan pasukan petugas khas itu yang sedang menyiasat dakwaan mengenai penyaluran dana kepada akaun-akaun bank yang didakwa dimiliki Najib.

“Kenyataan Najib pada 8 Julai lalu hanya mengundang persepsi bahawa pasukan tersebut tidak bebas, sedang menerima arahan, atau melaporkan penyiasatan kepada Najib.

“Selaku orang yang sedang dituduh di dalam kes ini, tindakan itu tidak betul dalam usaha Najib membersihkan namanya,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam kenyataannya Tuan Ibrahim, turut mengulangi kenyataan Najib yang berbunyi ‘siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut.

“Tindakan ini lebih buruk daripada hakikat bahawa empat individu yang mengetuai pasukan siasatan iaitu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, and Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekerja di bawah beliau.

“Kerana itu, Pas sekali lagi menegaskan bahawa Najib perlu bercuti agar siasatan dilihat bersih. Jika tidak, Najib akan kelihatan bermasalah walaupun pasukan siasatan mendapati dakwaan ke atas beliau tidak benar,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, siasatan pasukan petugas khas bukan sahaja perlu menentukan kebenaran dakwaan tersebut benar atau tidak.

“Tetapi jika benar, siasatan juga harus diteliti ke mana dana tersebut disalurkan dan siapa penerimanya.

“Kami mahu siasatan diselesaikan segera. Kita tidak mahu rakyat terus bimbang dengan keadaan sekarang,” katanya.


No comments:

Post a Comment