Tuesday, July 26, 2016

Jamuan Aidilfitri PAS Kuala Krau meriah

BANDAR TUN RAZAK JENGKA: Majlis sambutan hari raya Aidilfitri anjuran PAS Kawasan Kuala Krau, iaitu kawasan yang diketuai oleh Timbalan Presiden PAS Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, disambut meriah dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang bertempat di perkarangan Masjid Lama Rantau Perintis, Ahad lalu.

Antara tetamu yang hadir ialah Adun Meru yang juga bekas calon PRK Sungai Besar baru-baru ini Dr Rani Osman, Penasihat Perantau Dato’ Ismail Hamzah, Timbalan Pengerusi Tetap PAS Pusat Ustaz Kamal Ashaari, Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar, dua timbalannya iaitu Hj Jusoh Darus dan Yohanis Ahmad serta pimpinan negeri serta masyarakat setempat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Turut kelihatan, bekas Ahli Harian PAS Pahang Ustaz Yusof Embong dan Ustaz Suhaimi Md Saad.

Majlis mula dimeriahkan dengan acara memotong kek yang disumbangkan oleh Dewan Muslimat Kawasan.

Mengulas kehadiran begitu ramai pengunjung meskipun PAS berhadapan pelbagai fitnah pada ini, Hj Jusoh berkata, “Kita berharap kepada yang hadir memeriahkan sambutan hari raya ini biarlah istiqamah hingga ke pilihan raya,” katanya.

Sementara itu dalam acara tahunan ini, pelbagai juadah disediakan seperti lemang dan rendang, nasi himpit, mi goreng, laksa, cendol, tapai, ais krim serta pelbagai lagi.

Seperti tahun-tahun yang lepas, duit raya kanak-kanak turut disumbangkan membuatkan suasana lebih meriah. Kehebatan tiga orang deejay yang petah berceloteh, turut menarik perhatian pengunjung.

Majlis yang bermula pada jam 2 petang itu berakhir jam 5 petang.



No comments:

Post a Comment