Tuesday, July 19, 2016

Parti baru, PAS tiada masalah asalkan dasar dihormati

TEMERLOH: PAS tidak ada masalah dengan kehadiran parti baharu yang diuar-uar diusahakan oleh bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bersama pemimpin Umno yang dipecat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, malah PAS tiada masalah untuk bekerjasama asalkan parti tersebut menghormati dasar dan perjuangan PAS.

“Dalam sebuah negara demokrasi kita tak dapat nak halang penubuhan parti baru cuma PAS mesti lihat dulu dasar dan hala tuju parti itu dan bagaimana pakatan yang hendak dijalin dengan parti pembangkang yang ada.

“PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama asalkan tahu menghormati dasar perjuangan PAS. Maknanya, jika parti tersebut tak terima apa yang PAS bawa macamana nak bersama mereka.

“Begitu juga jika parti baru membentuk pakatan melibatkan DAP dan PAN sudah tentu menyulitkan PAS. Sebab sehingga kini parti-parti tersebut masih belum berhenti menyerang PAS,” katanya.

Nasrudin berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen berserta PAS Kawasan Temerloh di perkarangan pejabat Khidmat Komuniti Parlimen Temerloh, dekat sini Ahad lalu.

Lebih 3,000 penduduk tempatan dari kalangan pelbagai bangsa hadir memeriahkan majlis tersebut.

Nasrudin berkata, menghormati dasar masing-masing adalah prinsip PAS pada masa ini tanpa bertolak ansur, namun PAS tetap bersikap terbuka.

Dalam pada itu, Nasrudin menjelaskan, PAS pada masa ini masih berusaha menguatkan blok ketiga termasuk sedang berunding serius dengan dua buah lagi parti politik.

<i>
Nasrudin melayan tetamu dari kalangan Tionghua yang turut hadir memeriahkan majlis tersebut

No comments:

Post a Comment