Tuesday, November 22, 2011

Pemuda PAS Pahang ucap tahniah kepada Harimau Muda

TEMERLOH, 22 November: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak Harimau Muda kerana berjaya menumpaskan Indonesia sekali gus mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ke-26 di Jakarta, semalam.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Shahril Azman Al-Hafiz berkata, kejayaan skuad bola sepak negara bawah 23 tahun ini mengharumkan nama negara dan beliau berharap prestasi ini dapat dipertingkatkan di masa hadapan bagi melayakkan Malaysia menyertai perlawanan di peringkat lebih tinggi.

“DPPNP berpendapat skuad yang menang semalam berpotensi untuk pergi jauh ke depan termasuk menyertai Piala Dunia pada masa akan datang, asalkan mendapat latihan dan pendedahan yang cukup.

“Ini tidak mustahil kerana jika kita lihat pasukan bola sepak Jepun dan Korea, pada satu masa dulu setaraf dengan negara kita. Tetapi dengan latihan yang berterusan, pendedahan yang mencukupi serta fokus yang betul mereka berjaya ke taraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Serentak dengan itu, beliau mahu skuad Harimau Muda yang menang semalam diberi motivasi yang cukup bagi menghadapi pasukan Syria, Bahrain dan Jepun dalam persaingan kelayakan Olimpik yang akan datang.

Pasukan negara semalam menewaskan Indonesia 4-3 menerusi tendangan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa 120 minit pada perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Pasukan tuan rumah mendahului 1-0 apabila Gunawan menanduk masuk pada minit kelima manakala Malaysia berjaya memecah kebuntuan penyamaan gol pada minit ke-33 menerusi tandukan paling cantik oleh Asraruddin Putra Omar.

“DPPNP akui skuad Harimau Muda terpaksa mengharungi cabaran paling getir semalam kerana beraksi di hadapan lebih 100,000 lautan merah putih.

“Namun mereka berjaya mengharunginya dengan penuh jaya. Syabas dan tahniah sekali lagi dari DPPNP,” katanya.


No comments:

Post a Comment