Wednesday, November 2, 2011

Hishamuddin gesa PR kuasai perang media baru

TEMERLOH: Bloger terkenal, Hishamuddin Rais, menggesa parti-parti Pakatan Rakyat (PR) mengambil peluang menguasai media baru melalui blog, facebook dan twitter kerana medim itu sangat berpengaruh sekarang dan akan datang terutama di kalangan generasi muda.

Pengendali blog Tukar Tiub itu berkata, jika "perang siber" pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 dulu telah memenangkan calon PR di kawasan-kawasan bandar, perang menjelang PRU 13 ini dijangka akan lebih sengit lagi.

Berucap dalam program "Minum Petang Bersama Blogger" anjuran Lajnah ICT PAS Pahang di perkarangan bangunan PAS Pahang di sini baru-baru ini, Hishamuddin berkata masanya telah sampai dan pertempuran media baru akan jadi lebih sengit.

“Tetapi penyokong PR tidak seharusnya membaca sahaja isu yang dipapar dalam blog dan facebook sebaliknya hendaklah pilih artikel yang baik, cetak dan edarkan atau tampal di lokasi strategik.

“Ingat, walaupun kerja itu nampak kecil tetapi itulah yang telah menggempar kerajaan China dulu, menjatuhkan Iran dan Kerajaan Suharto di Indonesia. Di Mesir, pada satu masa kerajaan Hosni Mubarak pernah cuba sekat media baru dengan menutup internet menyebabkan penggunanya keluar ke Dataran Tahrir,” katanya.

Tambah Hishamuddin, walaupun internet sudah digunakan oleh tentera Amerika sejak tahun 1955 sebagai alat komunikasi tetapi perang media baru berlaku pada masa ini antara PR dengan BN dan sebagai propagandis bloger boleh menembak musuh dari belakang, dari telinga dan dalam apa cara sekali pun melalui idea dan propaganda.

Mengenai operasi media baru, Hishamuddin berkata hebatnya medium tersebut ialah tidak perlukan pemodal untuk menggaji wartawan, pengarang dan jurugambar.

Hishamuddin yang telah berblog sejak era reformasi 1999 itu berkata, keupayaan seorang bloger ialah menggabungkan idea dan bahan-bahan untuk paparan tetapi ada kalanya boleh menggegarkan sesebuah kerajaan.

“Kekuatan bloger di Malaysia ini ialah berikutan pembohongan berita media arus perdana sebab itu jangan sekali-kali minta akhbar dan televisyen milik Umno menjadi baik dan melaporkan kebenaran seperti The Mirror atau The Guardian,” tegasnya.

Sementara itu seorang lagi bloger yang berucap Shukri Jamaluddin, berkata mengikut kajian pada masa ini hampir 90 % generasi muda sudah mengakses internet jadi dalam politik parti mana yang mengambil kesempatan, mereka akan menang.

Shukri yang terkenal sebagai bloger Cucu Mat Kilau, mendedahkan beliau pernah dipujuk untuk mengaku sebagai mangsa liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh pihak tertentu dengan upah yang lumayan.

Tetapi demi prinsip, katanya, beliau tidak melayannya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad, Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saad, Setiausaha Badan Perhubungan Roslan Zainal dan Pengarah ICT Negeri Shamsuri Hussin.


CAPTION:
Hishamuddin (dua, kiri) tergelak mendengar soalan peserta bersama Syed Hamid, Shukri, Suhaimi dan Roslan.



1 comment:

  1. Setuju sangat dengan Saudara Hishamuddin..

    ReplyDelete