Saturday, November 26, 2011

Akta Perhimpunan Aman tidak hormati rakyat

ROMPIN: Akta Perhimpunan Aman 2011 yang bakal diluluskan di parlimen mestilah mengambilkira pandangan rakyat dan pakar undang-undang supaya dihormati oleh semua, kata Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) PAS Pahang Fadzli Ramly.

Tambahnya, jika rang undang-undang yang sedang dibahaskan di parlimen itu bercanggah dengan perlembagaan sendiri yang membenarkan berhimpun, ia sudah tentu membawa keresahan dan rasa tidak senang di kalangan rakyat.

“Anda semua fikirlah, implikasi kepada akta itu ialah perhimpunan di tempat sendiri pun memerlukan kebenaran polis, sekiranya tak dibenarkan maka rayuan boleh dikemukakan kepad Menteri dan kalau teruskan juga tanpa kebenaran boleh ditangkap dan didenda sehingga RM20,000.00.

“Walhal perhimpunan aman dijamin oleh Perlembagaan. Ini asas demokrasi yang telah diletakkan semangatnya oleh Tunku Abdul Rahman dan Suruhanjaya Reid dalam merangka Perlembagaan. Ia pula selaras dengan Pengistiharan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Dalam dunia, tiada negara yang sebegini tidak menghormati demokrasi. Negara Myanmar yang sangat tertutup dasar demokrasinya pun, sudah mula membuka ruang kepada perhimpunan aman,” katanya.

Fadzli yang juga seorang pengamal undang-undang berkata demikian ketika diminta mengulas Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang telah dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

Tambahnya, bukan sahaja ahli politik pembangkang dan Majlis Peguam yang membantah malah Suhakam yang dilantik sendiri oleh kerajaan juga membantah akta tersebut kerana percaya ia bakal menghakis hak demokrasi rakyat dan akan dipandang buruk oleh dunia.

“Jadi rang undang-undang yang dibentangkan ini adalah unconstitutional. Parlimen boleh luluskan tetapi bertentangan dengan perlembagaan persekutuan. Sepatutnya, undang-undang haruslah mengambil kira keluhuran perlembagaan,” katanya.



No comments:

Post a Comment