Friday, November 4, 2011

Menteri hanya baca kenyataan disediakan pegawai

KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, mendakwa Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Mustafa Mohamed tidak mengkaji fakta sebelum bercakap sebaliknya cuma membaca sahaja apa yang disediakan pihak pegawai beliau.

Dalam kenyataan media yang dihantar, Fuziah berkata, menteri berkenaan sepatutnya menggunakan 'floor' beliau sebaik mungkin dengan fakta ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat sebaliknya menggunakan sidang media untuk ‘menyerang’ beliau.

“Di dalam keadaan dimana YB Menteri mempunyai cukup ruang didalam dewan sewaktu penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012, pihak Menteri telah tidak dapat menjawab dengan menggunakan fakta sebaliknya menggunakan sidang media kemudiannya mengatakan isu Lynas di politikkan oleh pihak saya.

“Saya dapati YB Menteri lebih berminat mempolitikkan isu dengan tidak menjawab kepada isu sebenar (Lynas) sebaliknya menuduh bahawa saya mengelirukan dewan dengan berkata (dalam dewan) bahawa lesen pra-operasi sudah dikeluarkan.

“Saya nafikan sekeras-kerasnya dan saya cabar pihak menteri mengeluarkan hansard di mana saya berkata demikian,” katanya.

Beliau mengedarkan kenyataan media tersebut bagi menangkis kenyataan media yang dibuat Mustafa baru-baru ini yang merujuk kepada Fuziah.

Fuziah menambah, sebagai menteri, beliau (Mustafa) ialah pihak eksekutif dan seharusnya bertindak profesional bukan emosional.

Berkenaan tuduhan Mustafa bahawa beliau (Fuziah) membatalkan temujanji pada 3 Mei, Naib Presiden PKR itu turut melampirkan kronologi komunikasi pejabat Parlimen Kuantan dengan pejabat menteri berkenaan.

“Pada 25 April 2011 saya telah menulis surat kepada menteri memohon berjumpa untuk berbincang tentang lantikan pakar-pakar dalam panel antarabangsa dengan tarikh yang dicadangkan ialah di antara 26 hingga 29 April kerana ianya merupakan urusan yang wajib ditangani dengan segera.

“Namun pada 27 April pihak pejabat menteri MITI menghubungi pejabat Parlimen Kuantan menberitahu tidak dapat berjumpa dalam masa terdekat. Tetapi pada 30 April panggilan dari pejabat Menteri memaklumkan menteri hanya dapat berjumpa pada 3 Mei jam 8 pagi.

“Saya memaklumkan bahawa saya akan berada di luar negara untuk membentangkan isu Lynas di ASEAN Public Hearing on CSR di Jakarta pada 2 Mei 2011

“Saya tidak dapat menerima dan mengesahkan temujanji yang di berikan oleh pihak YB Menteri. Bukan membatalkan seperti yang didakwa. Pihak saya telah maklum kepada Setiausaha Sulit menteri iaitu Datuk Mohamed Irwan Mansor bahawa mustahil saya dapat hadir,” jelasnya.

Fuziah selanjutnya mengatakan, beliau tetap mahu bersangka baik kerana yakin menteri itu telah menerima panduan yang menyeleweng oleh penasihat di sekeliling beliau, yang mungkin ada motif politik peribadi atau kepentingan.

Tambahnya, menteri wajar bertindak lebih bertanggungjawab, tidak mempolitikkan isu, harus terbuka menerima kritikan dan mesti 'answerable' kerana melibatkan keselamatan rakyat yang harus di letakkan agenda nombor satu.

Tidak patut seorang menteri menggunakan kenyataan menteri Australia dan maklumat input dari Lynas semata-mata sebagai hujah dan melaga-lagakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebaliknya harus mengkaji juga maklumat alternatif sebelum mengeluarkan hujah.


No comments:

Post a Comment