Monday, May 9, 2011

Mokhtar Senik Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang yang baru

Dewan Ulamak PAS Pahang mendapat ketua yang baru apabila Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang sesi lalu, Ustaz Moktar Senik, dipilih dengan undi majoriti dalam pertandingan empat penjuru.

Dalam Muktamar Dewan Ulamak PAS Pahang di Darul Hikmah Kerdau semalam, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Ulamak PAS Pusat sejak tahun 2009 menang menggantikan ketuanya Ustaz Abu Kasim Manaf yang sebelum ini memegang jawatan berkenaan sejak 1999.

Menurut berita Harakahdaily, Mokhtar mendapat undi tertinggi iaitu sebanyak 42 undi berbanding Abu Kasim, (31), Mohd Baki Osman (2) dan Mohd Nafiri Toazi (1).

Naib Ketua sebelum ini, Ustaz Nafiri Toazi dipilih sebagai Timbalan Ketua dan Ustaz Arifin Abdullah menang sebagai Naib Ketua dewan tersebut. Nafiri ialah Ketua Urusan Ulamak (KUU) Kuala Krau sementara Arifin merupakan KUU PAS Temerloh.

Muktamar dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan dihadiri lebih 100 perwakilan dari seluruh Pahang.

Dalam pertandingan secara pencalonan terbuka pada pada waktu muktamar itu, 10 AJK muka lama kekal iaitu Ahmad Nazmi Abdul Rahim, Mohd Redha, Jauhari ishak, Zakaria Omar, Fadhli Ibrahim, Zakaria Khalid, Khairul Azmi Ismail, Zakaria Da, Zuridan Daud dan Che Zuhar Haron.

Tujuh orang AJK lagi akan dipilih kemudian.

Sementara itu, dalam ucapan dasarnya Abu Kasim telah menyatakan hasrat untuk berundur bagi memberi laluan kepada timbalannya. Namun beberapa perwakilan membantah dan meminta beliau bertanding.

Dalam ucapan penangguhan pula, Mokhtar berjanji akan memperkasakan ulamak dengan meletakkan dewan itu berada di barisan hadapan terutama menjelang pilihan raya umum nanti yang dianggap paling kritikal dan mencabar.


Abu Kasim, Mokhtar dan Nafiri kepimpinan Dewan Ulamak Pahang sesi lalu


No comments:

Post a Comment