Saturday, November 26, 2011

Akta Perhimpunan Aman tidak hormati rakyat

ROMPIN: Akta Perhimpunan Aman 2011 yang bakal diluluskan di parlimen mestilah mengambilkira pandangan rakyat dan pakar undang-undang supaya dihormati oleh semua, kata Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) PAS Pahang Fadzli Ramly.

Tambahnya, jika rang undang-undang yang sedang dibahaskan di parlimen itu bercanggah dengan perlembagaan sendiri yang membenarkan berhimpun, ia sudah tentu membawa keresahan dan rasa tidak senang di kalangan rakyat.

“Anda semua fikirlah, implikasi kepada akta itu ialah perhimpunan di tempat sendiri pun memerlukan kebenaran polis, sekiranya tak dibenarkan maka rayuan boleh dikemukakan kepad Menteri dan kalau teruskan juga tanpa kebenaran boleh ditangkap dan didenda sehingga RM20,000.00.

“Walhal perhimpunan aman dijamin oleh Perlembagaan. Ini asas demokrasi yang telah diletakkan semangatnya oleh Tunku Abdul Rahman dan Suruhanjaya Reid dalam merangka Perlembagaan. Ia pula selaras dengan Pengistiharan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Dalam dunia, tiada negara yang sebegini tidak menghormati demokrasi. Negara Myanmar yang sangat tertutup dasar demokrasinya pun, sudah mula membuka ruang kepada perhimpunan aman,” katanya.

Fadzli yang juga seorang pengamal undang-undang berkata demikian ketika diminta mengulas Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang telah dibentangkan di Parlimen baru-baru ini.

Tambahnya, bukan sahaja ahli politik pembangkang dan Majlis Peguam yang membantah malah Suhakam yang dilantik sendiri oleh kerajaan juga membantah akta tersebut kerana percaya ia bakal menghakis hak demokrasi rakyat dan akan dipandang buruk oleh dunia.

“Jadi rang undang-undang yang dibentangkan ini adalah unconstitutional. Parlimen boleh luluskan tetapi bertentangan dengan perlembagaan persekutuan. Sepatutnya, undang-undang haruslah mengambil kira keluhuran perlembagaan,” katanya.



Friday, November 25, 2011

Thursday, November 24, 2011

Pahang mulai dilanda banjir

Seramai 11 keluarga di Kampung Cherating, Kuantan telah dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan berikutan limpahan air menenggelamkan sebahagian rumah mereka.

Sementara itu amaran hujan lebat peringkat merah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi bagi beberapa daerah di negeri ini iaitu di Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran, Bera dan Rompin.

Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan boleh menyebabkan berlaku banjir di kawasan rendah.

Manakala paras air di beberapa buah sungai pula dilaporkan dalam keadaan berjaga-jaga. Sungai-sungai kecil seperti Sungai Semantan sudah mula naik.

Ramalan sebelum ini menyatakan Pahang akan mengalami banjir. Kali terakhir Pahang dilanda banjir ialah pada tahun 2007 yang mengakibatkan banyak kemusnahan berlaku.

Sementara situasi banjir di Kelantan dan Terengganu pada masa ini masih belum pulih.

Wednesday, November 23, 2011

Sudah dua kali Najib menipu


Tangkapan ISA dan pembentangan Rang Undang-undang Akta Perhimpunan Aman membuktikan Najib tidak bercakap benar berkaitan hak asasi rakyat negara ini.

Ketika membentangkan projek transformasi politiknya dulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipuji dan dipuja laksana seorang dewa yang kononnya begitu prihatin dengan perubahan semasa dan dapat menghidu pula kepentingan hak asasi rakyat dalam sebuah negara moden.

Kita masih ingat, ketika Najib mengunjurkan untuk penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 15 September lalu, seluruh media ternakan Umno/BN memuji beliau. Walaupun yang bekerja siang malam mahu dihapuskan akta warisan penjajah itu bukan Umno, namun yang dianggap hero ialah Najib dan Umno.

Kononnya, pada masa itu media menamakannya sebagai ‘satu tindakan berani’. Pelik, tetapi itulah hakikatnya.

Belumpun sempat penghapusan ISA untuk tahun 2012, baru-baru ini 13 orang di Sabah telah ditangkap tanpa bicara di bawah ISA.

Jadi yang jelasnya tawaran Najib itu yang disebutkannya sebagai transformasi politik itu hanya omongan dan retorik kosong semata-mata. Bak kata orang tua-tua, buat pemanis mulut berbicara. Manakala jentera propaganda dan gerak saraf telah menyelinap ke serata ceruk mencanangkan perubahan baru yang dibuat oleh anak Tun Razak itu.

Jangan lupa, Najib juga mengisytiharkan hak kebebasan berhimpun. Tetapi semalam parlimen membentangkan

rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Perhimpunan Aman 2011 yang menggantikan Akta Polis 1967.

Akta Perhimpunan Aman itu hakikatnya melarang sama sekali sebarang perhimpunan adalah jelas satu lagi siri penipuan Kerajaan BN Umno dan Datuk Seri Najib ke atas rakyat.

Peguam Hanipa Maidin berkata, Akta Perhimpunan Aman sepatutnya memudahkan perhimpunan aman bukan menyusahkan perhimpunan aman. Tetapi jika Akta Polis 1967 khususnya seksyen 27 dan 27A sudah bersifat ‘draconian dan zalim, akta yang ingin digubal itu beribu-ribu kali lebih zalim daripada Akta Polis yang ingin diganti.

Secara jelas, ia bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Hanipa, Peguam Negara dan Kerajaan Umno BN tidak menunjukkan sebarang perubahan yang positif di dalam rekodnya yang sedia buruk dalam isu pencerobohan hak asasi khususnya dalam isu perhimpunan aman.

Dua transformasi politik yang dicanangkan Najib dikatakan telah melonjakkan namanya, itu barangkali seperti kajian yang diperolehi UIAM baru-baru ini.

Hakikatnya tipuan belaka.



Al-Fatihah, ibu SUK JPN PAS Pahang meninggal

Ibu kepada kakitangan pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang, Nor Amira Shaharuddin, meninggal dunia subuh tadi setelah hampir dua minggu dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.


Zawiyah Abdul Hamid, 52, menerima rawatan di situ akibat menghidap pelbagai penyakit berkaitan kardio-vaskular seperti diabetis dan hipertensi.

Zawiyah, seorang ibu tinggal, meninggalkan enam orang anak termasuk Amira.

Amira yang juga Setiausaha Kerja Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) PAS Pahang, memberitahu jenazah ibunya disemadikan di kampung kelahirannya di Bolok, Lanchang tengahari ini.

Selamatkan Pahang sedar dengan kesedihan yang amat sangat ini, justeru mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Amira dan berharap bersabar di atas ujian Allah ini. Sesesungguhnya daripada Allah kita datang, kepada NYA jualah kita kembali.

Moga-moga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Amin...

Al-Fatihah...

Tuesday, November 22, 2011

Pemuda PAS Pahang ucap tahniah kepada Harimau Muda

TEMERLOH, 22 November: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak Harimau Muda kerana berjaya menumpaskan Indonesia sekali gus mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ke-26 di Jakarta, semalam.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Shahril Azman Al-Hafiz berkata, kejayaan skuad bola sepak negara bawah 23 tahun ini mengharumkan nama negara dan beliau berharap prestasi ini dapat dipertingkatkan di masa hadapan bagi melayakkan Malaysia menyertai perlawanan di peringkat lebih tinggi.

“DPPNP berpendapat skuad yang menang semalam berpotensi untuk pergi jauh ke depan termasuk menyertai Piala Dunia pada masa akan datang, asalkan mendapat latihan dan pendedahan yang cukup.

“Ini tidak mustahil kerana jika kita lihat pasukan bola sepak Jepun dan Korea, pada satu masa dulu setaraf dengan negara kita. Tetapi dengan latihan yang berterusan, pendedahan yang mencukupi serta fokus yang betul mereka berjaya ke taraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Serentak dengan itu, beliau mahu skuad Harimau Muda yang menang semalam diberi motivasi yang cukup bagi menghadapi pasukan Syria, Bahrain dan Jepun dalam persaingan kelayakan Olimpik yang akan datang.

Pasukan negara semalam menewaskan Indonesia 4-3 menerusi tendangan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa 120 minit pada perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Pasukan tuan rumah mendahului 1-0 apabila Gunawan menanduk masuk pada minit kelima manakala Malaysia berjaya memecah kebuntuan penyamaan gol pada minit ke-33 menerusi tandukan paling cantik oleh Asraruddin Putra Omar.

“DPPNP akui skuad Harimau Muda terpaksa mengharungi cabaran paling getir semalam kerana beraksi di hadapan lebih 100,000 lautan merah putih.

“Namun mereka berjaya mengharunginya dengan penuh jaya. Syabas dan tahniah sekali lagi dari DPPNP,” katanya.


Pengetua guna wang zakat cat pagar sekolah

Di Pahang ini, rupa-rupanya terdapat seorang pengetua yang sangat dibenci oleh guru-guru, pelajar dan ibu bapa. Beliau dibenci, menurut maklumat yang disampaikan, ialah kerana sikapnya yang dianggap mengubah keputusan yang ditetapkan oleh majikannya mengikut kepalanya sendiri.

Yang anehnya, pengetua berkenaan ialah daripada sebuah sekolah menengah agama (SMAN) di Pahang. Ertinya, sebuah sekolah di bawah kerajaan negeri.

Menurut sumber berkenaan, pernah pada satu ketika jabatan agama telah menyerahkan wang agihan zakat kepada semua sekolah-sekolah di bawahnya untuk setiap pelajar memperoleh RM100 seorang.

Inisiatif itu biasa dilakukan setiap tahun dan mungkin, saya kira, di bawah asnaf fi sabilillah.

Terdengar cerita, pengetua berkenaan enggan menyerahkannya kepada pelajar wang zakat berkenaan seperti mana SMAN lain. Dikatakan, pengetua berkenaan lebih berahi memasukkannya dalam tabung sekolah lalu digunakan wang berkenaan untuk tujuan cat pagar sekolah dan apa-apa aktiviti keceriaan.

Tindakan tersebut menyebabkan kemarahan yang amat sangat kepada ibu-bapa atau penjaga pelajar kerana pengetua berkenaan dianggap memandai-mandai.

Guru-guru juga dikatakan tidak sukakan pengetua berkenaan kerana tindakan dan keputusannya selalu dianggap ‘tidak cerdik’ atau menyusahkan orang lain. Sehinggakan mereka mahu pengetua berkenaan ditukarkan.

Dengar cerita, pihak jabatan agama sudah pun maklum akan masalah berkenaan akan tetapi tidak dapat bertindak apa-apa kerana gred perjawatannya yang tinggi dan jika ditukar hanya boleh menjadi pembuat dasar di jabatan.

Maka jadilah pengetua berkenaan, di mana beliau berada, dianggap seperti ‘biawak hidup’ sahaja kerana tidak ada gunanya dan hanya menyusahkan orang lain.