Saturday, May 28, 2022

Ketum ayam pemakanan alternatif untuk ternakan


Rata-rata sana sini orang bercerita tentang harga makanan ternakan yang naik melambung.

Ini menyebabkan penternak begitu

terkesan kerana kos untuk makanan sahaja dikatakan boleh mencecah sehingga 70 peratus daripada keuntungan dan ini sekali gus  menjejaskan pendapatan mereka.

Tidak mustahil, inilah salah satu sebab harga pasaran ternakan yang merupakan lauk harian kita terus mencanak.

Jadi, penternak memang memerlukan sumber makanan ternakan alternatif bagi membantu mengurangkan  bergantung kepada makanan yang bahannya diimport.

Antara alternatifnya ialah sejenis tumbuhan yang dipanggil ketum ayam. Ia berbeza dengan ketum yang biasa daunnya dibuat rebusan itu.

Ketum ayam atau nama saintifiknya Trichanthera gigantea, turut dikenali dengan 'mandre de agua'. Iaitu sejenis tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan.

Menurut kajian santifik, ketum ayam memiliki protin yang tinggi justeru berupaya membesarkan ternakan dengan pantas secara semula jadi.

Bagi penternak pula, tumbuhan ini didapati mampu menjimatkan kos sehingga 40 peratus daripada bergantung terus kepada makanan seperti dedak atau palet

Tidak kira sama ada ternakan ayam, itik, kambing, lembu dan sebagainya semua boleh diberi makan ketum ayam. Sesetengah penternak mencampurkannya dengan napier.

Istimewanya, haiwan ternakan tidak mengalami kesan sampingan seperti kembung perut atau sebagainya. Malah ternakan bertambah sihat dan kualiti daging hampir menyamai kualiti organik.

Untuk penternak yang ingin menanamnya pula, ia amat mudah kerana hanya disemai melalui keratan batang. 

Untuk lebih lekas hidup  biasanya menggunakan serbuk penggalak akar.

Jika cukup siraman air serta taburan baja, daun ketum ayam sudah sedia dituai seawal usia tiga bulan.

Ramai yang berpendapat, tanaman ketum ayam boleh diusahakan secara komersial. Dan untuk sisi ini, diharapkan pihak agensi berkaitan (Jabatan pertanian, haiwan, pengusaha nurseri dan pelabur) boleh mengkajinya secara serius.

Satu masalah lagi, ketum ayam ini hanya dapat dijadikan makanan  ialah ketika daunnya segar, jadi diharap penyelidik dan saintis juga akhirnya dapat memproses daun ketum ayam ke dalam bentuk palet.

Selain dapat mengekalkan nutrisinya iaitu sumber protein terbaik untuk haiwan, ia juga diharap dapat dikomersialkan dan menjadi penyelesaian kepada masalah penternak yang selama ini terpaksa menanggung bebanan harga palet yang sedia menjulang tinggi.

No comments:

Post a Comment