Monday, March 25, 2019

Waspada gerakan licik rempuh tonggak negara

Umat Islam di negara ini diingatkan terhadap perancangan licik musuh yang menggerakkan bidak catur melemahkan institusi Melayu-Islam.

Timb Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad, berkata, serangan tersebut dilakukan oleh bukan Islam, tetapi digerakkan jentera daripada kalangan Melayu sendiri yang bersikap khianat terhadap saudara se-Islam mereka.


“Antara tindakan terkini adalah desakan SUHAKAM supaya kerajaan meratifikasi ICERD, memansuhkan hukuman bunuh dan akta hasutan, menandatangani Rome Statut dan ICCPR,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Kangsar Kali Ke-53, pada Ahad (semalam).

Kamaruzaman yang juga AJK PAS Pusat, menyebut ada 33 kesalahan yang boleh menyebabkan hukuman bunuh. Menurutnya, matlamat mereka bukan hendak hapuskan hukuman bunuh untuk pesalah jenayah. Sebenarnya mereka hendak hapuskan hukuman bunuh untuk empat kesalahan pertama.

“Di antaranya kesalahan menentang Yang di-Pertuan Agong. Dalam Perlembagaan, ada empat yang tidak boleh diusik, hatta mereka (PH) menang 100 peratus di Parlimen. Ia mesti dengan perkenan Majlis Raja-raja Melayu.

“Pertama ialah kedudukan Islam, kedua Bahasa Melayu, ketiga keistimewaan Melayu dan Bumiputera, keempat Raja-raja. Kalau nak 'rempuh' (empat) ini, kena rempuh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.

“Maka apa yang mereka buat? Mereka lemahkan institusi Raja-raja Melayu. Bila kedudukan ini lemah, (maka) sampai masanya (nanti) mereka robohkan. Struktur asas pembinaan negara kita ini mereka akan buang,” jelasnya.

Sehubungan itu, para pendukung disaran mestilah mengemaskan saf perjuangan dan bekerja untuk memenangkan Islam di negara ini, sementara hal kemenangan serahkan kurniaan itu sebagai urusan Allah.

“Kemenangan sebenar bagi pejuang Islam ialah apabila dapat kekal istiqamah bersama perjuangan mewujudkan kesinambungan tugas para Nabi dan Rasul agar manusia tunduk kepada Allah dan menjauhi segala kesesatan”.


No comments:

Post a Comment