Monday, March 18, 2019

Temerloh titik mula perjuangan Melayu, kata Subky

Pak Subky (tengah) bergambar bersama Md Jusoh Darus, Sharkar,
Azmi Mat Ludin dan Anuar
Temerloh merupakan tempat kebangkitan politik orang-orang Melayu dan tanah air dalam abad moden ini kerana dari sinilah datangnya pejuang-pejuang kemerdekaan terkenal.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Temerloh kali ke-32 pada Ahad, Pengerusi AsSabiqun PAS Pusat Haji Subky Abdul Latif berkata, jika mengikut skrip awal malah beberapa orang kelahiran Temerloh sepatutnya menjadi anggota kabinet pertama kemerdekaan.


“Siapa tak kenal Ibrahim Yaakub yang menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM), begitu juga dengan nama-nama besar seperti Pak Sako.

“Tidak banyak yang tahu bekas Presiden PAS Dr Burhanudin Helmy menjadi penasihat adat Melayu kepada pentadbiran Jepun di Tanah Melayu. Dalam satu rundingan, Jepun bersetuju untuk memberi kemerdekaan serentak dgn Indonesia.

“Kemudian ditubuhkan jawatan kuasa kabinet yang diketuai Dr Burhanuddin, manakala anggota-anggotanya terdiri daripada Onn Jaafar, Abdul Rahman Yasin (ayah kepada Tun Dr Ismail), Mohd Yasin Salleh, Abu Samah Ali yang kedua-duanya orang Temerloh serta beberapa orang lagi,” ujarnya.

Tambahnya, Datuk Abu Samah merupakan orang besar kerajaan ketika itu dan kemasukan beliau ke dalam PAS memberi suntikan semangat kepada perjuangan parti Islam itu.

Tambahnya, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr Burhanudin telah berkumpul dan bermesyuarat selama empat hari di Majestic Hotel.

“Sekitar bulan Julai tahun 1945 Sukarno dan rombongannya telah pergi ke Saigon dan hala balik mereka singgah di Taiping. Kalau sekiranya Jepun tidak menyerah, kita akan merdeka dengan mudah tanpa masalah kaum.

“Sehinggalah Inggeris datang semula dan mensyaratkan kemerdekaan dengan permuafakatan semua kaum di negara ini termasuk pendatang yang dibawa penjajah itu.”

Mengenai kerjasama baharu antara PAS dan Umno demi perpaduan umah, Subky berkata, PAS mesti menyediakan pimpinan yg dihormati oleh orang Umno kerana musim ini PAS didatangi umno.

“Ahli PAS jangan pelik dengan perkembangan baharu penyatuan umah ini kerana ini bukan pertama kali Umno datang ke mesyuarat PAS. Dalam 30 tahun dulu Umno kumpulan Tengku Razali juga pernah bergabung dengan PAS sehingga berjaya mengambil kembali negeri Kelantan dan kekal ke hari ini.

“Kini PAS bersama Umno sekali lagi. Ambillah dan terimalah yang baik itu untuk negara kita dan bangsa kita yang mana kita tidak dapat selama ini.

“Kena ingat, inilah yang ditakuti musuh-musuh sehingga terdengar pelbagai andaian di sana sini. Bukan Umno dan PAS saja akan dapat kebaikan tetapi juga rakyat kerana keadilan hanya dapat dinikmati dgn penyatuan umah dan Islam ini,”.

Mesyuarat kali ini, buat pertama kali didatangi oleh pimpinan Umno diketuai Datuk Seri Sharkar Shamsudin, Timbalan, Naib serta ketua-ketua sayapnya.

Tambahnya, perkembangan ini bermakna sudah bermula sesuatu yang baik dan ini menggerunkan sesetengah kumpulan politik.

Mengenai perkembangan orang-orang Umno datang beramai-ramai ke mesyuarat PAS, Subky berkata, ia amat baik dan sihat kerana jika peluang  kedua dalam tempoh 60 tahun ini tidak diambil kesempatan dalam perpaduan umah, tidak tahu bila lagi peluang seperti ini akan datang semula.

Beliau menyimpan hasrat agar PAS dan Umno bekerja ke arah penyatuan dalam perjuangan Islamnya sehingga pada satu masa nanti tidak  dikenali lagi mana satu dari PAS dan mana dari Umno dan seterusnya menjadi bangsa yang dihormati di Asia Tenggara.

“Keutamaan kita sekarang ialah mengalahkan PH sehingga mengambil alih Putrajaya kerana PH merosakkan institusi-institusi dalam negara,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh dalam ucapan aluannya menyifatkan mesyuarat kali ini sebagai ‘hari ini dalam sejarah  kepada PAS dan umno.

Katanya, ada kisah suka dan duka. Yang duka kita tinggalkan di belakang dan kita mestilah memandang ke hadapan.

“Kita boleh lihat, dalam sejarah manusia tiada yang lebih dahsyat daripada peperangan antara Amerika dengan Jepun. Dalam perang tersebut Amerika telah menggugurkan bom atom di Hiroshima. Namun dalam tempoh 10 tahun kemudian, dua negara bersengketa itu telah menjalin hubungan dagang yang erat.

“PAS Pahang juga mempunyai ceritanya. Dalam PRK Cameron Highlands baru-baru ini bukan senang kita nak ajak orang PAS mengundi BN,” katanya.

Beliau menceritakan, dalam Parlimen Cameron Highlands ada kampung yang kuat PAS dan peti undi itu PAS tak pernah kalah iaitu Kampung Keledek. Bayangkan, bukan mudah untuk menyuruh orang PAS mengundi BN setelah bertembung selama 60 tahun.

“Alhamdulillah PAS dah bantu BN menang di Cameron Highlands, Semenyih pun dah menang. Kini PAS akan bermati-matian membantu calon BN mengalahkan PH di Rantau.

“Dap dah kalah, Bersatu dah kalah, kali ini kita harap PKR akan dapat dikalahkan demi cita-cita Islam dan  perpaduan ummah,” ujarnya sambil disambut laungan takbir.

No comments:

Post a Comment