Sunday, March 3, 2019

Siri rangkaian fitnah terhadap Hj Hadi

Fitnah kepada Ayah Chik bukan baharu

MOHD NASIR ABDULLAH 

SEJARAH: Untuk bacaan orang yang baru hendak berpolitik, laluan fitnah Presiden PAS, bukan baharu

Empunya kasut buruk ini pernah difitnah dengan cercaan sebagai penyebar ajaran sesat. Dituduh mandi bogel di dalam kolah masjidnya bagi menyihir pengikutnya ketika di awal beliau muncul sebagai maestro dakwah di Malaysia.

Sehinggakan dibuat drama bertajuk "Guru Yahya" pada awal 80-an dahulu sebagai penguat kepada prasangka rakyat yang beliau adalah penyesat umat. Walaupun kisah Guru Yahya itu memang terjadi, tetapi ia adalah strategi serampang dua mata.

Tidak cukup dengan fitnah itu, ditambah lagi dengan fitnah duit derma ahli PAS yang dia dapat, diguna untuk kegunaan peribadi. Dan fitnah itu diletakkan di muka depan akhbar-akhbar untuk dijaja. Tetapi tidak pernah dibuktikan penyelewengan itu sehingga sekarang.

Tidak berhasil dengan fitnah itu, diadunkan lagi resepi baharu fitnah dengan Amanat Haji Hadi yang direka bagi memberi gambaran sikap 'takfiri' PAS kepada musuh politiknya. Peristiwa Memali kemudiannya menjadi watak utama bagi membenarkan fitnah ini. Tetapi sehingga kini Majlis Fatwa Kebangsaan membisu dari mendakwa beliau.

Masih gagal menembusi tembok kebal kebenaran, dia terus difitnah. Ketika mula-mula menyandang jawatan Menteri Besar Terengganu, satu tiupan fitnah dihembus ke telinga-telinga rakyat Terengganu yang beliau telah memilih seorang anak gadis berusia belasan tahun sebagai isteri ketiga beliau. Fitnah jahat bagi menunjukkan dia gilakan perempuan. Sehingga kini, beliau berbahagia dengan dua orang isteri beliau.

Setelah turun daripada jawatan MB, riuh rendah pula berita penyelewengan yang dilakukan beliau dan barisan kepimpinan PAS terhadap harta rakyat Terengganu. Namun sehingga kini, tiada satupun kes yang didakwa atau beliau didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan itu.

Tidak hanya di dalam negara, beliau turut difitnah di luar negara sebagai pengganas. Ini bermakna nama beliau juga menjadi ancaman kepada dunia Barat dengan kebenaran Islam yang dibawanya kerana barat menafsirkan Islam yang benar itu adalah keganasan. Beliau menang saman ke atas penuduh terhadap tuduhan itu. Dan peguam beliau waktu itu dari Sepang, ingat bukan?

Isu taqrib mazhab juga menjadi salah satu cabang fitnah kepada Tuan Guru Presiden PAS. Secara lantang terutama yang berfahaman salafi bangun menentang dengan memperlekehkan niat beliau untuk taqrib antara sunni dan syiah itu. Sehingga beliau dituduh sebagai syiah.

Walaupun mereka tahu ia tidak lojik, tetapi mereka mendapat kepuasan fitnah itu. Malahan ketua agama mereka juga tidak membantah untuk menuduh beliau seorang syiah dan syiah bagi mereka adalah kafir. Tidak cukup ulama di Malaysia, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi juga diheret sama dalam fitnah kebencian itu.

Walaupun Malaysia telah memasuki era baharu politik, fitnah kepada batang tubuh beliau tidak pernah putus. Dia dituduh berkhianat kepada parti PAS dengan fitnah mahu membawa PAS menyertai Umno. Kali ini fitnah itu datang dari dalam dan pembawa berita fitnah itu begitu bersungguh dalam operasi mereka sehinggalah alhamdulillah ahli-ahli PAS menunjukkan jalan keluar kepada pemfitnah-pemfitnah itu. Mereka ini secara perlahan-lahan mengambil tugas Umno waktu itu.

Dakwaan menerima wang RM90 juta daripada Umno, dimainkan dengan begitu padu iramanya sehinggakan PAS terpaksa menyaman pihak terbabit di London sebelum ini walaupun dalam keterbatasan kewangan. Namun ahli PAS bijak menilai propaganda ini dan sanggup bersama-sama menyumbang bagi kes ini.

Sekarang kes selesai luar mahkamah, namun pemfitnah masih terus menyerang dengan bentuk kenyataan lain pula. Dulu PAS dibayar RM90 juta, kemudian jadi 3-4 juta sahaja. Dan sekarang PAS pula kena bayar.

Tidak hanya menyerahkan fitnah-fitnah itu dimainkan oleh BN dan PH sahaja, tetapi agamawan yang dengki juga turut tidak ketinggalan tumpang menyerang beliau atas isu-isu picisan dengan berselindung di sebalik jubah non-partisan.

Bagi tuduhan beliau mandi di dalam kolah itu, saya pernah bertemu muka dengan pereka fitnah itu. Seorang berpangkat Datuk dari Terengganu. Dan beliau mengaku di hadapan saya bahawa dialah yang mula-mula membuat fitnah itu. Alhamdulillah, Datuk itu sudah meminta maaf dan dimaafkan oleh Ayah Chik.

Tiada satupun fitnah-fitnah itu benar ataupun beliau didapati bersalah atasnya. Membuktikan kredibiliti beliau sebagai sosok yang semestinya diyakini sebagai orang yang dianiaya dan pembawa Islam yang benar.

Tidakkah ajaib, daripada gugusan fitnah yang dilemparkan selama puluhan tahun, tiada satupun yang terkena? Malah tanpa buktipun. Apa lagi bukti kebenaran yang anda mahu? Adakah beliau terlalu licik? Atau pemfitnah terlalu naif? Masih ingat al-Arqam, mereka dijatuhkan hukuman atas ajaran sesat. Tapi tidak PAS.

Inilah antara senarai fitnah-fitnah ke atas diri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah dipersembahkan oleh musuh-musuh politik beliau sebagai hiasan kepada perjalanan dakwah beliau.

Jika dia mahu harta dan pangkat dia tidak perlu memilih hari-hati tua beliau untuk baru menikmatinya dengan mengambil wang haram atau mengkhianati Islam. Seharusnya ketika muda dahululah beliau mengambil peluang, di waktu terlalu banyak tawaran dunia yang datang dan keseronokan untuk menikmatinya akan lebih bermakna. Dan tidaklah beliau akan memakai kasut lusuh itu.

Adakah anda juga salah seorang pemfitnah beliau? Pintu taubat masih terbuka luas untuk anda iaitu ketika beliau masih hidup. Setelah terpisahnya nyawa beliau atau anda, maka semakin dekat jalan anda ke neraka jika fitnah-fitnah anda itu belum dimaafkan.

Beliau sedang berjuang di jalan Allah sambil menunggu kematian yang menjemput. Anda juga sama kerana mati tidak kenal sesiapa. Jadi anda mempunyai dua pilihan, turut sama memfitnah atau berjalan bersama beliau. Tiada pihak di tengah-tengah. Keceriaan wajahnya itu memberikan makna, beliau tidak terkesan dengan fitnah manusia dan takut hanya kepada Allah. – 

HARAKAHDAILY 2/3/2019

No comments:

Post a Comment