Thursday, November 20, 2014

Husam akui tiada kaitan dengan Pasma

TEMERLOH: “Saya tidak terlibat dengan Pasma, tuduhan dalam media sosial hanya fitnah semata-mata”.

Demikian pengakuan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa ketika sesi soal jawab dalam program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS ke 60 peringkat negeri Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini baru-baru ini.

Sebelum itu beliau ditanya oleh seorang peserta sama ada beliau terlibat menubuhkan NGO berkenaan kerana ia mula ditubuhkan di sebuah perpustakaan didakwa milik beliau dan ada rakan-rakannya yang terlibat.

“Sebelum ini saya dituduh syiah kerana menamakannya Nur Zahrah iaitu nama kepada Saidatina Fatimah iaitu isteri kepada Ali.

“Perpustakaan tersebut milik orang lain dan perjumpaan menubuhkan Pasma adalah dengan izin pemilik berkenaan dan saya tidak terlibat,’ katanya.

Menurut Husam, fitnah tersebut samalah dengan apa yang dihadapinya berkaitan tuduhan mengupah seorang penulis membuat artikel memburukkan pemimpin.

“Semua itu tidak benar. Walhal penulis berkenaan selama empat tahun menyerang saya, sehinggalah dalam satu majlis alumni penulis berkenaan duduk dekat saya. Dan hanya kerana itu saya dituduh mengupah penulis berkenaan memburukkan pemimpin,” tegasnya.

Husam sebelum itu menyampaikan kertas kerja kedua yang memperincikan tajuk ‘Terus Beristiqamah’ ucapan dasar presiden pada muktamar PAS yang lalu.

Beliau mengaitkan istiqamah dalam parti mestilah bersatu dan tidak menerima hasutan luar seperti melaga-lagakan ulamah dan profesional dalam PAS.

“Perlu diperbetulkan balik hubungan sesama dalam PAS dan kena sedar dengan permainan musuh. Jangan perbesarkan isu-isu dalaman parti terutama dalam media sosial.

“Pelaku kesalahan dalam jamaah perlu diambil tindakan supaya virus itu tidak merebak menjangkiti orang lain, “ katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya dihadamkan kembali buku yang ditulis oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang mengenai syarat-syarat kemenangan gerakan Islam.

Caption
Husam






No comments:

Post a Comment