Saturday, February 15, 2014

Tahfiz terbakar, PAS lancar tabung bantuan

PAS Kawasan Paya Besar melalui Dewan Pemudanya, melancarkan tabung derma bagi sumbangan segera berikutan malapetaka Maahad Tahfiz Muhammadiah Bukit Rangin yang hangus dijilat api malam kelmarin.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar, Tarmizi Yahaya, kebakaran tersebut berlaku sekitar jam 10.30 malam ketika pengetuanya Tengku Muhammad Tengku Jaafar bersama 18 orang pelajarnya mengikuti program Ijtima' Tarbawi di Balai Islam Darul Salam, Permatang Badak.

Katanya, pada waktu itu hanya beberapa orang yang tinggal termasuk isteri pengetua, anak, cucu, menantu, adik ipar dan seorang lagi tenaga pengajar masing-masing sempat menyelamatkan diri keluar ikut pintu belakang meredah longkang untuk ke rumah jiran.

“Saya difahamkan tiada apa yang dapat diselamatkan kerana kebakaran begitu pantas. Keseluruhan asrama, katil, tilam , bantal, pakaian tahfiz dan harian,ruang surau, pejabat, kerusi meja rak, kitab tafsir dan al-Quran hangus dijilat api.

“Kita masih bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa. Bagi yang ingin menyumbang wang tunai, boleh memasukkannya ke akaun Dewan Pemuda PAS Paya Besar Bank Islam 0601-9010-0368-98. Sila maklumkan jumlah sumbangan anda di nombor bendahari DPPPB 0169868639,” katanya.

Tambahnya, barangan lain juga boleh disumbangkan seperti pakaian, makanan kering dan yang sesuai.

Untuk bertanya lebih lanjut atau untuk menghantar sendiri bantuan, boleh menghubungi pengetuanya Ustaz Tengku Muhammad di talian: 0139380762.

Maahad tahfiz ini membiayai anak yatim dan anak fakir miskin juga tempat persekolahan tahfiz pelajar dari Rumah Anak Yatim dan Miskin D'NASTI kelolaan Nisa’ Pahang.

CAPTION
~ Tahfiz Muhammadiah terbakar malam tadi yang memusnahkan keseluruhan bangunan
~ Pelajar-pelajar tahfiz kini hanya berteduh di dewan makan.


No comments:

Post a Comment