Thursday, February 13, 2014

Penduduk kesal jalan di kampung Exco dibiarkan pecah, berlubang

TEMERLOH: Penduduk-penduduk Kampung Baru Bintang di sini kesal masalah jalan utama keluar masuk ke kawasan perkampungan pecah dan berlubang sepanjang satu kilometer, terus dibiarkan walaupun mereka telah mengadu kepada pihak berkuasa.

Menurut mereka, jalan kampung yang menjadi kediaman keluarga Exco Kerajaan Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin itu pecah dan berlubang agak dalam sehingga boleh membahayakan pengguna lebih-lebih lagi apabila musim hujan kerana air memenuhi lubang besar atas jalan.

Serentak dengan itu, mereka menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hasan meluahkan rasa tidak puas hati setelah segala saluran aduan kepada pihak berkuasa yang dibuat, tidak dindahkan.

Seorang penduduk Mohd Fuzan Abd Jabar berkata, jalan rosak yang terus dibiarkan itu mengundang bahaya dan kecelakaan kepada penduduk lebih-lebih lagi kanak-kanak sekolah.

“Laluan utama ini boleh mengelirukan pengguna apatah lagi jika pengguna memandu pada waktu malam sehingga boleh menyebabkan kerosakan serius kepada kenderaan.

“Lebih malang lagi bagi penunggang motosikal, mereka boleh terjatuh jika terlanggar lubang-lubang besar itu. Keadaan jalan semakin teruk akibat daripada lori keluar masuk mengangkut kayu getah.

“Justeru kami berharap pihak berwajib sama ada Pembangunan Luar Bandar (PLB) atau Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat segera membaiki satu-satunya laluan utama di kampung ini seberapa segera untuk kemudahan penduduk kampung khususnya kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah,” katanya.

Tambahnya, penduduk tidak ada pilihan jalan lain untuk melakukan aktiviti, pergi bekerja dan berulang ke masjid.

Difahamkan kerosakan jalan kampung dalam Dun Mentakab ini telah berlaku lama dan penduduk pernah mengadukan masalah tersebut kepada Adun BN ketika itu.

Pada masa ini Dun Mentakab telah dikuasai oleh DAP melalui Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Sementara itu Nasrudin memahami kesukaran penduduk dan berjanji akan membawa perkara tersebut kepada pihak berwajib di peringkat atasan untuk tindakan sewajarnya.

“Kita akan minta supaya sekurang-kurangnya dapat dibaiki terlebih dahulu mana-mana yang mengalami kerosakan teruk,” katanya.


~ Fauzan dan penduduk kampung menyerahkan memorandum kepada Nasrudin. Turut hadir YDP PAS Temerloh Md Jusoh Darus.





No comments:

Post a Comment