Friday, January 24, 2014

Kes Nursyafiqah: Bukti lemahnya undang-undang manusia

KES NURSYAFIQAH DIBUNUH KEJAM OLEH KEKASIH IBUNYA: ANTARA BUKTI MANGSA UNDANG-KONVENSIONAL YANG TIDAK BERLAKU DI DALAM UNDANG-UNDANG ISLAM.

Hari ini rakyat Malaysia dikejutkan oleh berita kematian Nursyafiqah, kanak-kanak berusia 2 tahun yang mati didera oleh kekasih ibunya yang sebelum ini telah membuat laporan palsu kehilangan anaknya sebagaimana disuruh oleh kekasihnya.

Dalam beberapa kes sebelum ini, penderaan kanak-kanak kerapkali dilakukan oleh kekasih ibu kepada mangsa dera sebagaimana kes di Kuang, di mana seorang kanak-kanak telah didera oleh kekasih ibunya sendiri, di mana suaminya (bapa mangsa) dipenjarakan akibat kes dadah.

Isu yang saya nak fokuskan di sini ialah, kenapa ibu mangsa ada kekasih sedangkan mereka masih ada suami?

Dalam kes-kes isteri mempunyai kekasih sebahagiannya adalah akibat suami mereka dipenjarakan. Dalam kes ini, suami tertuduh (bapa mangsa) yang berusia 28 tahun sedang menjalani hukuman penjara di penjara Marang akibat kesalahan dadah.

Di dalam link dibawah ini (Rujukan 2), adalah antara contoh kes dera oleh kekasih ibu yang masih mempunyai suami (bapa mangsa) tetapi sedang menjalani hukuman penjara.

Apa yang saya ingin ulas disini ialah kelemahan undang-undang konvensional yang formula penghukumnya lebih mengfokuskan kepada memenjarakan si pesalah disamping denda yang lebih menguntungkan kerajaan berbanding mangsa. Jika pesalah tak mampu bayar denda, maka jawapannya ialah penjara. Itulah formula dalam kebiasaan undang-undang konvensional.

Realitinya, perlaksanaan undang-undang konvensional hari ini menjadi penyumbang utama kepada menambah banyakkan mangsa yang tidak terbela, bukan sahaja mangsa kepada jenayah atau kesalahan, tetapi termasuk juga keluarga si pesalah, khususnya isteri dan keluarga yang akhirnya terkontang kanting apabila suami mereka dipenjarakan dalam tempoh yang lama.

Saya mengambil contoh yang lain di mana isteri kepada si pesalah menjadi mangsa kepada undang-undang konvensional ialah kes Nik Zaini Nik Abdullah yang dipenjara tujuh tahun dan denda RM10,000 setelah mengakibatkan kematian 15 penumpang. (Rujukan 1).

Siapa pernah mengambil tahu bagaimana nasib, perasaan dan situasi isteri dan anak-anak si pesalah? Siapa yang menanggung perbelanjaan mereka selama tempoh 7 tahun suami dan ayah mereka dipenjarakan? Jika anda sebagai anak, selepas tempoh 7 tahun menjadi yatim bukan satu perkara yang mudah. Tiada kasih sayang bapa, diejek oleh kawan-kawan di sekolah dan seumpamanya. Apa perasaan anak-anak yang mempunyai bapa yang dikategorikan sebagai banduan? Walhal bapa mereka dipenjarakan akibat kecuaian dalam kerja (pemandu) untuk mencari nafkah bagi menampung keperluan mereka sendiri.

Bagi si isteri pula menjadi ‘janda’ selama tujuh tahun tanpa nafkah zahir dan batin adalah sesuatu yang cukup menyeksakan. Bukanlah sesuatu yang pelik jika si isteri yang kehilangan nafkah zahir dan batin ini akhirnya bertindak ‘memasang’ kekasih gelap bagi menampung keperluan nafkah zahir, atau batin atau kedua-duanya sekali. Si suami di dalam penjara bukan sahaja terseksa dengan kurungan, tetapi kebimbangan terhadap keselamatan isteri dan anak-anak adalah tekanan tambahan kepada mereka. Kemungkinan untuk rumah tangga yang dibina retak dan pecah akibat hukuman ini juga adalah tinggi kerana pada waktu ini, isteri berhak memohon fasakh akibat tekanan zahir dan batin, sekalipun mereka masih ada perasaan kasih dan sayang antara satu sama lain.

Bagi isteri yang imannya tipis tetapi masih sayangkan suami dan rumahtangga, mereka tidak sanggup untuk memohon fasakh dan sanggup menunggu tempoh yang lama sehingga suami dibebaskan. Tetapi akibat tekanan hidup samada zahir dan batin, maka tidak pelik dan tidak mustahil akhirnya mereka sanggup memasang kekasih gelap. Hidup serba salah antara sayangkan suami / keluarga dan antara tekanan hidup serta keperluan ‘fitrah’.

Siapa yang mengambil peduli masalah mereka? Undang-undang konvensional hanya tahu menghukum. Akibatnya mereka yang tidak bersalah ini menjadi mangsa kedua selepas keluarga si mati menjadi mangsa kemalangan. Keluarga si mati menjadi mangsa kecuaian pemandu manakala keluarga si pemandu pula menjadi mangsa undang-undang.

Kesannya, berlaku kes-kes sebagaimana yang dinyatakan di atas. Ramai yagn marah apabila berlaku pembunuhan, penderaan dan macam-macam? Siapa pernah peduli masalah dan tekanan yang mereka hadapi? Siapa pernah perasaan bagaimana undang-undang konvensional mengzalimi keluarga-keluarga si pesalah?

Di dalam Islam, kesalahan seperti di atas tidak diperuntukkan penjara. Kes pemandu bas yang mengakibatkan kematian, si pesalah akan dikenakan pembayaran diyat (gantirugi) kepada keluarga si mati. Jika tidak mampu, maka Al-Aqilah (seperti bapa si pesalah) mesti top-up sekadar kemampuan kewangan yang ada. Jika kesalahan itu ada elemen dan punca daripada syarikat bas, maka syarikat tersebut perlu membayar diyat kepada keluarga si mati. Jika Al-Aqilah atau syarikat tidak mampu membayar sepenuhnya, maka mereka perlu membayar setakat maksimum kemampuan mereka dan selebihnya wajib ditampung oleh baitulmal (kerajaan). Kiri atau kanan, depan atau belakang, keluarga si mati dalam kes kemalangan terbela dengan duit pampasan tersebut.

Tiada langsung hukuman penjara kepada si pemandu yang di dapati bersalah di dalam undang-undang Islam. Mereka wajib membayar diyat dan hukuman ini sebenarnya cukup menginsafkan pemandu dan pesalah dalam kes yang dikategorikan di bawah Qisas sebagai kategori ‘membunuh seakan-akan sengaja’ (القتل شبه العمد).

Di dalam kes dadah, jika si penghisap dadah, maka dikenakan hukum had sebagaimana arak. Jika si pengedar, maka hukuman takzirnya sekalipun mungkin boleh dipenjarakan, tetapi situasi dan keadaan keluarga si pesalah adalah perkara yang perlu menjadi pertimbangan dalam penetapan takzir berdasarkan kaedah: لا ضرر ولا ضرار. Maksudnya: “tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan orang lain”.

Perlaksanaan ndang-undang hari ini, bukan sahaja keluarga si mati (penumpang bas) tidak mendapat pembelaan, bahkan perlaksanaannya menambah burukkan lagi apabila keluarga si pesalah menjadi mangsa perlaksanaannya. Semua pihak tidak mendapat pembelaan, samada keluarga si mati,keluarga si pesalah atau mana-mana pihak yang terlibat.

Keuntungan di dalam undang-undang konvensional hanya dinikmati oleh pihak kerajaan melalui kutipan kompaun, iaitu RM7000 dalam kes ini. Di dalam sesetengah kes, jika si pesalah tidak mampu memberikan ‘income’ kepada kerajaan ini, maka alternatifnya mereka akan dipenjarakan (Rujukan 3). Adakah hukum penjara itu untuk kepentingan si mangsa jenayah? Sepastinya tidak kerana pembayaran denda itu akan diperolehi kerajaan, bukan akan diberikan kepada mangsa jenayah.

Berbeza dengan kerajaan Islam yang berkebajikan, di mana kerajaan akan keluarkan kos membela mangsa maut dengan top-up diyat selepas si pesalah dan Al-Aqilah didapati benar-benar tidak berkemampuan. Kerajaan Islam wajib melaksanakan ‘top-up’ sebagaimana wajibnya orang Islam berpuasa dan bersolat. Ini bukan kerana dekat PRU atau kerana meraih undi, tetapi perlaksanaan ini adalah kerana kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada pemerintah Islam. Inilah model perlaksanaan kerajaan berkebajikan yang sepatutnya menjadi alternatif kepada sistem perundangan sekarang.

Tiada beza dalam kes ini antara muslim dan non-muslim, semuanya mendapat pembelaan yang sama.

- Zaharudin Muhammad,
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
Merangkap Ahli Majlis Syura Ulama.

* tolong sebar share dan like.
https://m.facebook.com/home.php?refid=9&_rdr#!/profile.php?id=312456128784829&__user=100003246347625ñ

Rujukan 1:
http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=PR11&y=2004&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm)

Rujukan 2:
http://www.sinarharian.com.my/wawancara/budak-didera-kekasih-ibu-1.170584.

Rujukan 3:
http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131120/ma_09/Gagal-bayar-denda-penganggur-meringkuk-di-penjara

No comments:

Post a Comment