Perjuangan bukan sekadar menyerang
1. Sejurus kita berikrar dengan kalimah asy Syahadatain iaitu pengakuan bahawa Tiada Tuhan yang Layak disembah selain Allah dan Muhammad adalah Utusan Allah, maka terpikul dipundak kita dua tanggungjawab utama:
a} memahami Islam dan membina keutuhan aqidah berdasarkan ilmu Islam yang benar agar terhindar dari ancaman syirik dan gejala riddah.
b} mempertahankan kesucian Islam dan memperjuangkannya agar ia diterima dan dilaksanakan dalam diri dan masyarakat kita.
2. Islam adalah satu cara hidup ummat manusia yang sempurna. Ianya diutus dan dimuktamadkan oleh tuhan yang mencipta manusia. Tidak terhad kepada satu kaum sebaliknya seluruh ummat manusia berhak memahami dan menganutnya. Ia rahmat kepada semua tanpa mengira kaum, bangsa dan juga sempadan geografi malah tetap sesuai dan menepati semua zaman. Tidak lapuk dek zaman dan tidak luput dek ancaman.
3. Berjuang menegakkan Islam adalah tanggungjawab dan amanah setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah swt. Namun perlu ditegaskan bahawa perjuangan Islam bukan hanya menyerang tetapi mesti banyak menerang dan menjelaskan keindahan Islam serta keadilannya. Bawa Islam ini dengan cermat dan teliti. Tampil dengan imej berhemah dan peribadi terpuji. Elakkan diri dari kaedah maki hamun meskipun terhadap pihak lawan dalam setiap pendekatan kita samaada dialog, kuliah, ceramah dan juga demonstrasi.
4. Hayati Firman Allah swt :
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
Surah Ali Imran. Ayat 159
5. Perjuangan kita adalah untuk memenangi hati ummah agar mereka jatuh hati pada Islam agama suci yang kita dokong ini. Kita bukan datang ke tengah masyarakat untuk memenggal leher siapa yang tidak menerima Islam. Usahkan membunuh bahkan mencederakan jasad dan perasaan mereka pun jangan, selama mana mereka tidak memusuhi dan menyerang Islam. Kita datang untuk memaut keyakinan mereka kepada perjuangan yang kita dokong dengan hujjah benar dan solusi pintar yang dibawa.
نحن دعاة و لا قضاة
Kita pendakwah bukan penghukum.
Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi
Lajnah Dakwah PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment