Sunday, June 3, 2012

Kes Scorpene libatkan rasuah rahsia negara

TEMERLOH: PKR Pahang menganggap kes kapal selam Scorpene yang sedang dibicarakan di mahkamah Perancis sangat bahaya kerana melibatkan pengkhianatan menjual rahsia negara dan rasuah.

Serentak dengan itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Datuk Fauzi Abdul Rahman menegaskan kes tersebut tidak boleh dianggap terpencil sebaliknya mestilah dilihat ekonomi negara boleh hancur akibat rasuah dan pengkhianatan itu.

Tambah beliau, PKR Pahang juga dukacita apabila nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut diheret ke dalam skandal Scorpene.

“Apabila kerajaan tidak benarkan Peguam Perancis, Joseph Breham (yang mewakili NGO hak asasi manusia, Suaram) daripada memasuki Malaysia bermakna di situ saja umum melihat cuba menyembunyikan sesuatu selain demokrasi yang tempang.

“Kemudian terdedah pula tentang penjualan dokumen berkaitan rahsia besar negara dari TLDM kepada syarikat iaitu Terasasi (Hong Kong) Ltd didakwa membayar 36 juta euro (RM142 juta), ini satu perbuatan pengkhianatan kepada negara,” ujarnya.

Tambah Fauzi, mengikut laporan peguam ada unsur jual beli rahsia negara dan ini sudah tentulah lebih bahaya daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA), katanya dalam satu sidang media hari ini sejurus mesyuarat parti itu di sini. Turut hadir Timbalan Pengerusi Ashmad Nizam Hamid dan Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal Suhaimi Said.

Justeru katanya, PKR mahu Najib pastikan perkara sebegini tidak berulang lagi kerana jika betul kata peguam itu bermakna ini satu penyelewengan yang dahsyat kerana melibatkan keselamatan negara dan keselamatan rakyat.

Mengenai pengusiran peguam tersebut, Fauzi berkata dunia akan menganggap kita negara demokrasi kelas tiga iaitu apabila tidak dibenarkan masuk jadi awal-awal lagi anggapan umum sudah mensyaki ada orang besar yang terlibat sekali gus mencemarkan kerajaan Malaysia sendiri.

Mengenai trend mengganggu dan provokasi dalam ceramah PR akhir-akhir ini, Fauzi berkata beliau percaya semua itu dirancang oleh piha tertentu bagi membendung pengaruh parti itu.

“Saya dapat maklumat ada pihak yang bimbang orang atas pagar yang baru pertama kali pergi mendengar ceramah pemimpin PR akan terpengaruh. Jadi itu cara untuk menghalang mereka dan politik negara sekarang seolah mundur ke belakang termasuk membelakangkan budaya dan adat,” terangnya.

Mengenai kes Azmin Ali yang sudah ditutup dan dibuka kembali oleh SPRM, beliau kesal sedangkan laporan polisnya terhadap bekas Menteri Besar Pahang Tun Khalil Yaakub pada tahun 2002 dulu berkenaan penyelewengan balak dan tanah tidak pula disiasat SPRM.

Tambah beliau, ini menggambarkan standard negara ini yang seolah-olah dilihat berpilih-pilih.


GAMBAR
Fauzi (tiga, kanan) bersama pemimpin PKR negeri



No comments:

Post a Comment