Monday, April 23, 2012

PAS Maran mahu Kuliah Pekan naik taraf kolej

MARAN: Mesyuarat Agung PAS Kawasan Maran meluluskan usul mendesak Kerajaan Negeri Pahang menaikkan taraf Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan kepada tahap kolej atau universiti seperti Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) di Terengganu.

Ketika membentangkan usul daripada Dewan Muslimat dalam mesyuarat kali ke 32 di Kampung Lanting di sini, wakilnya berhujah bahawa kenaikan taraf tersebut amat perlu selaras dengan perkembangan dan tuntutan pengajian Islam sekarang.

“Perubahan ini perlu dilakukan kerana minat masyarakat terhadap sekolah-sekolah agama semakin meningkat sedangkan pengambilan kemasukan ke pusat pendidikan tersebut amat terhad.

“Tentulah merugikan pelajar-pelajar pintar anak negeri ini yang sepatutnya boleh menyambung pelajaran jika dinaik taraf sebagai kolej, terpaksa menuntut di tempat lain hanya kerana kelemahan kerajaan menjadikannya sebagai sebuah kolej,” katanya baru-baru ini.

Tambahnya, sekolah tinggi yang serba kekurangan itu terpaksa menampung pelajar-pelajar lepasan 18 buah sekolah menengah agama di negeri ini. Justeru jika kerajaan berusaha menaikkan tarafnya menjadi kolej sudah tentu mendapat peruntukan besar daripada Pusat untuk penambahbaikan prasarananya.

Usul tersebut merupakan antara lima usul yang diterima perwakilan dalam mesyuarat tersebut yang dirasmikan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Gombak Ustaz Salahuddin Mohd Nasir.

Sekolah tinggi yang mengambil pelajar daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Menengah Agama (SMA) yang dengan nama rasminya Kulliah Al-Lughah Wa Ad-Din As-Sultan Abu Bakar itu ditubuhkan pada 30 Ogos 1941 oleh Sultan Pahang.

Sekolah tersebut merupakan satu-satunya di negeri ini saluran bagi pelajar-pelajar beraliran agama bagi melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir dan lain-lain universiti di Timur Tengah setelah lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Hasnan Harun ketika membahaskan usul berkenaan, berkata sudah ramai tokoh yang dilahirkan daripada kuliah tinggi berkenaan termasuk ada yang menjadi pensyarah, mufti dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

“Jadi tentulah rugi jika pusat pendidikan berprestij seperti ini tidak dinaikkan taraf. Ini menggambarkan lemahnya kerajaan negeri dan kurangnya keprihatinan meningkatkan taraf pendidikan agama seperti yang dilakukan kerajaan Terengganu menaikkan taraf sekolah menjadi kolej (Kusza).

“Kami percaya segalanya boleh dilaksanakan dengan keazaman politik dan tawaran kita jika Pakatan Rakyat memerintah Pahang, usul ini akan dilaksanakan,” hujahnya disambut dengan tepuk tangan yang gemuruh.

Difahamkan hanya PAS Kawasan Maran yang mengangkat, membahas dan meluluskan usul seumpama itu dalam mesyuarat-mesyuarat agung PAS di seluruh negeri sekarang.


GAMBAR:
1. Ustaz Salahuddin Nasir menyampaikan ceramah perasmian

No comments:

Post a Comment