Monday, April 19, 2010

Awas cicak, jaga bekas air anda jangan terbuka!

Oleh UMMU WAHEEDAH

Anda nampak cicak dalam bekas minuman di atas? Itulah cicak yang hampir-hampir sahaja jadi habuan tekak saya pada suatu hari yang belum malang. Ini adalah kali kedua saya terkena dengan gelagat cicak-cicak di rumah saya. Sebelum ini pernah saya membiarkan segelas teh tarik ternganga tanpa ditutup selama lebih kurang sejam. Ketika mahu meminum semula teh tersebut, tiba-tiba air dalam koleh berkocak ligat. Apalagi hampir tercampak koleh yang sudah bertemu bibir. Rupa-rupanya seekor cicak 3G (gemuk, gebu dan gempal) yang kelemasan cuba mengeluarkan diri dari dalam koleh tersebut. Nasib saya baik, jika tidak tentu cicak tu mungkin akan terus masuk ke tekak dan tak tahulah apa yg mungkin terjadi.


Kali kedua saya kena ketika nak menuangkan air sejuk yang disimpan dalam jag tupperware yg bertutup kemas tetapi saya buka sedikit di bahagian muncung untuk memudahkan menuang air. Rupa-rupanya ruang yang sekecil itu pun boleh dimasuki cicak. Mujurlah cicak itu masih hidup dan menggelepar cuba nak keluar. Itu membuatkan saya perasan ada cicak. jika cicak tu dah mati dan tak bergerak , mungkin saya dah tuang air dan minum tanpa was was,alamak loyanya tekak bila mengingat semua tu.

Sebenarnya saya begitu lalai. Lalai dan tak ambil peduli.Bila terkena baru serik. Ini adalah amaran Allah s.w.t sebenarnya. Saya telah pernah membaca hadis dari Rasulullah s.a.w yg menyuruh sahabat/ummatnya menutup bekas makanan dan tali air. Sebenarnya bukan sahaja cicak malah lalat juga cukup cekap hinggap dan meninggalkan najisnya di atas makanan.

Tahi lalat yang halus berwarna putih kekuningan mungkin tidak disedari oleh kita terutama kanak-kanak dan orang-orang tua. Tidak perlu tunggu sejam dua, malah 2-3 minit sudah memadai untuk makanan yang terdedah itu dicemari. Tahi cicak pula jika jatuh dalam makanan berkuah kicap tentu tidak ketara. Tan pasal makan kita bertambah perisa.

Saya menyemak semula buku bertajuk Healing with the medicine of the Prophet s.a.w pada ms 208 ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Jabir bin Abdullah. Daripada petikan hadis tersebut mari kita sama-sama amalkan menutup makanan dan minuman serta sumber air secepat mungkin.

Makanan yang terdedah sebaiknya jangan dimakan terutama jika terdedah di tempat lapang tanpa pengawasan. Macam-macam kemungkinan boleh terjadi sewaktu kita tidak nampak. Kalau sudah ditutup, tawakal sahajalah. Mudah-mudahan dengan mengambil kira pesanan Nabi s.a.w, dapat kita hindari penyakit-penyakit berbahaya yang disebabkan pencemaran dari makanan dan minuman kita. Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w itu contoh ikutan yang baik.

Awas, pastikan penutup jag ditutup rapat terutama di waktu malam dan jika anda tidak menggunakannya. Lubang yang kecil pun cicak boleh masuk begitu juga lipas sesat. Jadi hati-hati, kadang-kadang mereka dah masuk dan keluar semua, akibatnya air sudah tercemar!

No comments:

Post a Comment