Monday, April 12, 2010

Mesyuarat Agung PAS Bera lulus 4 usul

Oleh MUSANIFF ABDUL RAHMAN

BERA:
PAS Kawasan Bera selesai menyempurnakan tanggungjawab mengadakan mesyuarat agung tahunannya pada 10hb April 2010 (Sabtu) lalu dengan dihadiri oleh perwakilan dari cawangan-cawangan, dewan-dewan dan pemerhati.

Majlis gilang-gemilang ini telah dirasmikan oleh AJK PAS Pusat yang juga Exco Kerajaan Kedah Datuk Ir Amiruddin Hamzah. Tetamu khas yang turut hadir di majlis perasmian tersebut ialah Adun Triang Leong Ngah Ngah, Timbalan Pengerusi DAP Pahang Abu Bakar Lebai Sudin dan mantan Adun Guai Tuan Haji Hamzah Ibrahim yang mewakili PKR Cabang Bera.

YDP PAS Bentong Abdul Hamid Bahatim hadir sebagai wakil pemerhati Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang.

Empat usul yang diperbahaskan diterima dengan majoriti besar, iaitu:

Usul Pertama: ….menggesa pihak kerajaan segera menukarkan status semua ladang FELDA Plantations kepada tanah FELDA yang boleh diisikan peneroka…..

Usul Kedua:….menggesa kerajaan Pahang mengambil tindakan proaktif untuk mengkaji secara mendalam kedudukan dan status persempadan laut Pahang-Terengganu iaitu terdapat Telaga Malong, Telaga Sotong dan Telaga Tanding supaya Pahang mendapat hak royalti petroleum daripada Petronas……..

Usul Ketiga:….mendesak Majlis Daerah Bera menghapuskan cukai pintu terhadap penempatan yang tidak dimasukkan ke dalam kawasan operasinya, terutama kampung-kampung tradisi dan orang asli……..

Usul Keempat:….mendesak Majlis Daerah Bera tidak mengeluarkan permit hiburan kepada tauke yang menganjurkan program hiburan melampau sehingga menyebabkan anak-anak muda lupa batasan agama dan sosial budaya……


Mesyuarat Agung tersebut diakhiri dengan ucapan pergulungan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Bera selepas perwakilan DUN-DUN, Dewan-Dewan dan Pengerusi Lajnah mengambil bahagian dalam agenda ucapan penangguhan.

No comments:

Post a Comment