Thursday, November 21, 2019

Adun Damak bangkit keperluan pejabat JPJ, doktor pakar di Jerantut

Adun Damak Ustaz Zuridan Mohd Daud, membangkitkan kewajaran pihak kerajaan menyediakan pejabat urusniaga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kemudahan rakyat di Jerantut, yang merupakan daerah terbesar di negeri Pahang.

Berucap dalam persidangan ke 14 Dewan Undangan Negeri Pahang, beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, menyebut ia merupakan kepentingan rakyat bagi urusan memperbaharui lesen, saman, menukar hak milik kenderaan dan lain-lain yang berkaitan.


“Ini memandangkan segala urusan pada masa ini tidak dilakukan di Stesen Penguatkuasaan JPJ Jerantut sehingga memaksa penduduk ke pejabat JPJ cawangan kecil Jengka atau Temerloh.

“Hal ini, adalah menyukarkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan luar bandar juga  menyukarkan  bagi yang bekerja untuk mengambil cuti, bahkan ada yang perlu bermalam di luar daerah bagi menyelesaikan urusan dengan JPJ,” ujarnya.

Ustaz Zuridan turut menyentuh mengenai Hospital Daerah Jerantut dengan mencadangkan pihak kerajaan  menyediakan bangunan baharu bagi menempatkan para pesakit di wad yang lebih selesa.

“Ini adalah kerana lima wad yang memuatkan 77 buah katil yang sedia ada telah lama  dan tidak  mampu menampung bilangan pesakit yang ramai dan  keadaan yang tidak selesa seperti tiada penghawa dingin serta keadaan wad yang sempit.”

Beliau turut menggesa agar pihak kerajaan menyediakan perkhidmatan doktor pakar di Hospital Daerah Jerantut bagi kemudahan lebih 92 ribu penduduknya.

Jelasnya, tiada doktor pakar ditempatkan di hospital berkenaan melainkan 17 orang pegawai perubatan biasa. Masalahnya apabila berlaku kes kronik, pesakit terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh yang jaraknya 69 kilometer.

Ustaz Zuridan sebelum itu memuji dan menyokong sepenuhnya usaha Kerajaan Negeri Pahang dalam pembentangan Belanjawan 2020 yang meletakkan tiga fokus iaitu melonjakkan ekonomi ke arah negeri berdikari, memperkasakan perkhidmatan dan modal insan dan mensejahterakan kehidupan rakyat.

Bagi isu-isu pembangunan infrastruktur, Ustaz Zuridan turut memohon pihak berkuasa agar tidak sewenang-wenangnya meluluskan geran tanah rizab dalam bandar kepada pihak pemaju yang akhirnya merugikan hak awam.

Turut disentuh ialah perlunya kerajaan bertegas mengenai isu prosedur pembinaan rumah burung walit di tengah bandar Jerantut terutama di kawasan yang padat penduduk.

Selain daripada itu, kerajaan digesa memberi tumpuan pembangunan, pembesaran jalan, membaiki parit dan menyediakan tempat rekreasi di Sungai Jan, iaitu laluan utama ke Kuala Lipis, yang padat penduduk dengan kaum Tionghua.

Ustaz Zuridan turut mengucap tahniah di atas usaha pihak kerajaan merealisasikan titah Yang Dipertuan Agong dalam penggunaan tulisan jawi diperluaskan pada papan tanda dan premis perniagaan.

“Namun terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi dengan merujuk pakar jawi dan khat terlebih dahulu.

“Mengenai rentetan daripada kes terbaharu yang melibatkan sekolah tahfiz persendirian, saya mencadangkan agar kerajaan negeri membantu urusan pendaftaran sekolah-sekolah tahfiz persendirian.

“Saya juga memohon agar membantu dari sudut penyediaan kursus pendidikan kepada guru-guru sekolah tahfiz, kerana di sinilah lahirnya para ulamak yang memberi manfaat kepada ummah,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment