Friday, June 28, 2019

PAS Pahang sokong kenyataan Salamiah

Saya mewakili ahli Badan Perhubungan PAS Pahang dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Kampar dan menegaskan bahawa kami menyokong penuh kenyataan Dan cadangan Ustazah Salamiah Mohd Nor yang merupakan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia Dan juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang.


DAP sepatutnya menghormati sesuatu pandangan dan cadangan dalam sebuah Negara demokrasi sebagaimana cadangan mereka dalam isu pengiktiran UEC. PAS Pahang dengan ini menyatakan solidariti terhadap Ustazah Salamiah Mohd Nor, PAS Pahang akan sentiasa bersama beliau dan hadapi sebarang kemungkinan bersama beliau.

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
PESURUHJAYA PAS NEGERI PAHANG

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KAMPAR*

*SOLIDARITI BUAT USTAZAH SALAMIAH MOHD NOR*

KAMPAR – Kelmarin Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kampar telah membuat satu laporan polis terhadap Ustazah Salamiah Mohd Nor, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia lantaran cadangan beliau yang menyeru dan mengharapkan kerajaan PH mengambil tindakan supaya sistem pendidikan vernakular dihentikan kerana melihat sistem tersebut tidak mendekatkan jurang persefahaman antara kaum ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa laporan polis tersebut dibuat atas arahan daripada Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Dalam laporan polis berkenaan, DAPSY Kampar telah meminta pihak PDRM agar menyiasat ucapan Ustazah Salamiah yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan fasal 152 (1) dan 152 (2) dan Kanun Keseksaan Syeksen 504, iaitu sengaja mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan.

Secara keseluruhannya tindakan DAPSY Kampar ini hanyalah menggambarkan kejahilan mereka tentang perlembagaan negara dan bertindak secara melulu terhadap kenyataan Ustazah Salamiah yang hanya memberi pandangan berkenaan isu pendidikan. Laporan polis ini hanyalah semata-mata berniat jahat dan cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara dan memberi pandangan yang telah dijamin oleh perlembagaan negara kita.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar mengecam sekeras-kerasnya tindakan mereka yang dilihat seolah-olah cuba menjadi hero tapi kurang cerdik walaupun dikatakan dibarisi pemuda berlatarbelakangkan bidang perundangan. Kami ingin mempersoalkan mengapa DAP khususnya DAPSY Kampar menggelupur seperti cacing kepanasan dengan cadangan Naib Ketua Muslimat Malaysia ini sehingga sengaja ingin memangsakan Ustazah Salamiah dengan Akta Hasutan walaupun pemimpin-pemimpin PH berulang kali mendesak agar akta ini dihapuskan sebagaimana janji PH dan DAP dalam Manifesto Pakatan Harapan. Ini juga hanya menunjukkan sikap tidak konsisten mereka.

Mengikut sejarah, sekolah vernakular diiktiraf selepas terbitnya Penyata Razak 1956. Pada mulanya, British hendak menghapuskan semua sekolah vernakular tetapi atas dasar menghormati antara kaum Tunku Abdul Rahman telah menghalangnya . Itu pun sekolah vernakular yang dibenarkan hanyalah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) sahaja. Apabila sampai tahap menengah, semua pelajar perlu memasuki sekolah aliran kebangsaan. Dengan kata lain, tiada sebarang masalah pun sekiranya kerajaan mahu menghapuskan SJK atau menghentikan dana kepada sekolah vernakular kerana cuma melibatkan pertukaran dasar kerajaan sedia ada sahaja dan tidak melanggar klausa dalam perlembagaan.

Ketua Sektor Pendidikan PAS Pusat, Dr. Halimah Ali ketika sesi penggulungan muktamar juga menyatakan bahawa seruan memansuhkan sekolah vernakular daripada perwakilan hanyalah cadangan dan keputusannya bergantung kepada kerajaan PH sendiri. Pun begitu, beliau tetap memuji usaha pihak minoriti yang bekerja keras memperjuangkan sekolah vernakular sehingga terdapat murid Melayu Islam yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil.

Memetik tulisan Dr. Kamarul Yusoff, dalam kes Mark Koding, pihak Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa peruntukan mengenai “larangan atau halangan ke atas pengajaran atau pembelajaran apa-apa bahasa lain” yang terkandung dalam Perkara 152 (1) ini berbeza daripada peruntukan mengenai “larangan atau halangan ke atas pengajaran atau pembelajaran dalam apa-apa bahasa lain”. Tegas Mahkamah Persekutuan, tiada apa-apa dalam peruntukan ini yang membolehkan perlindungan sama diberikan kepada operasi sekolah yang bahasa pengantarnya adalah Cina, Tamil, Arab atau Inggeris .

Ucapan penggulungan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ir. Hj Khairil Nizam Khiruddin juga menyentuh isu sekolah vernakular dan pihak DPPM mencadangkan supaya mata pelajaran berasaskan tulisan jawi, Mandarin dan Tamil dijadikan sebagai subjek wajib di sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini selaras dengan langkah memantapkan lagi agenda perpaduan nasional sejak di peringkat sekolah lagi.

Buat Ustazah Salamiah Mohd Nor, Dewan Pemuda PAS Kampar mengucapkan tahniah atas keberanian membawa isu ini sehingga membuatkan seluruh bangsa DAP ibarat cacing kepanasan. Harapan kebanyakan rakyat Malaysia ialah ingin melihat isu sekolah vernakular diambil tindakan yang matang oleh kerajaan kerana kekangan yang wujud dalam mekanisme sekolah vernakular dilihat seolah-olah melebarkan jurang perpaduan kaum.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kampar juga bersolidariti buat Ustazah Salamiah dan mendoakan agar kita semua terus diberi kekuatan untuk berjuang menentang sebarang agenda dan tindakan yang ingin mencalarkan dan merosakkan perpaduan kaum di Malaysia.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat 104 yang bermaksud:

_“Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”_.

Akhir kata, Dewan Pemuda PAS Kampar ingin mengingatkan semua pihak agar terus menghormati kontrak sosial antara kaum di negara ini agar perpaduan kaum dapat dikekalkan terus dikekalkan dan diwarisi oleh generasi akan datang demi keharmonian dan kesejahteraan negara. Tanggungjawab ini juga dipikul oleh kerajaan pada hari ini.

Sekian Terima kasih.

_“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”_
_“DEMI ISLAM”_

*MOHD SHAHRIZAN BIN AHMAD FUAT*
*KETUA*
*DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KAMPAR*

25 Jun 2019 bersamaan 21 Syawal 1440H

No comments:

Post a Comment