Wednesday, August 16, 2017

PAS mungkin turut tanding di Mentakab

TEMERLOH :– PAS Pahang kemungkinan besar akan meletakkan calon bagi kerusi Dun Mentakab selepas melihat potensi untuk menang semakin positif bagi kawasan tersebut.

Ini selepas perkembangan terbaru apabila bekas Adun Mentakab dari MCA Datuk Chuah Boon Seong mengumumkan akan bertanding bagi kerusi Bebas kelmarin kerana merasakan masih ramai rakyat yang memerlukan khidmatnya.

Ini sekaligus bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila DAP yang menyandang kerusi Mentakab akan ditentang BN, Bebas dan terbaru kemungkinan PAS.

Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata, PAS sebenarnya sedang menilai untuk bertanding di beberapa kerusi baharu di negeri ini termasuk Mentakab dan perkembangan terbaru itu menyaksikan PAS semakin positif untuk meletakkan calon di Mentakab yang kini disandang DAP.

Menurutnya, PAS sudah lama membuat kajian kebolehan untuk menang di Dun Mentakab, dengan perkembangan terbaru apabila Boon Seong mengumumkan bertanding bebas sudah tentu ia semakin positif untuk PAS.

"Dengan perkembangan baharu ini, PAS akan membuat keputusan dalam masa terdekat untuk bertanding di kerusi itu.

"Ini juga bersandarkan desakan daripada akar umbi dan penyokong Pas yang mahukan PAS bertanding di kerusi tersebut," katanya dihubungi semalam.

Rosli.berkata, sekiranya PAS bertanding di Mentakab, calon yang sesuai sudah dikenalpasti bahkan bukan di Mentakab sahaja malah di seluruh Pahang Pas sudah ada calon.

Beliau berkata, calon-calon yang dalam pertimbangan sudah ada malah berlebih dan perlu disaring semula.

Menurutnya, buat pertama kali dalam sejarah juga PAS Pahang akan meletakkan calon dari Dewan Himpunan Penyokong PAS dan calon sudah dinilai samada dari India atau Cina.

"Kita juga ada sekurang-kurangnya dua calon dari Muslimat yang akan diletakkan sebagai calon di kawasan tertentu yang juga dalam pertimbangan kita.

"Pas Pahang kali ini bertanding lebih 30 kerusi Dun berbanding hanya 21 pada PRU lepas manakala bagi kerusi parlimen sebanyak 10 kerusi akan diletakkan calon," katanya.

Sementara itu Rosli berkata, PAS Pahang akan melancarkan jentera PRU di seluruh Pahang pada September ini.

Kelmarin bekas Adun Mentakab Datuk Chuah Boon Seong mengumumkan akan keluar MCA dalam masa terdekat untuk bertanding atas tiket Bebas kerana masih ramai rakyat memerlukan khidmatnya.

Boon Seong turut mengakui masalah kepimpinan MCA Temerloh antara faktor beliau bertanding pada PRU akan datang.



No comments:

Post a Comment