Friday, February 12, 2016

Tukar ideologi perjuangan, PAS senang ke Putrajaya

BERA: Hakikatnya PAS tidak sukar untuk ke Putrajaya untuk bersekongkol memiliki tampuk kuasa asalkan saja sanggup menukar ideologi perjuangan selain daripada Islam.

Namun kenapa PAS tidak mengambil jalan pintas itu?

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika PAS sanggup menukar ideologi lain selain daripada Islam justeru PAS boleh memilih untuk berkuasa di Putrajaya.

“Tak susah nak ke Putrajaya, tetapi yang susah ialah apabila PAS nak bawa Islam sebagai sistem pentadbiran. Sedangkan kalau kita tidak kira ideologi apa pun asalkan ke Putrajaya seperti bergabung dengan puak sekular atau pragmatis atau bersekongkol sosialis, itu memang mudah.

“Selepas menang pilihan raya umum (PRU) ke 10 pada 1999 dulu saya sendiri pernah beberapa kali ditawarkan masuk Umno dengan dilantik terus sebagai anggota Exco, tetapi saya tolak,” dedahnya ketika berucap dalam majlis dialog di Kampung Bohor Baru di sini, sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Bera.

Turut berucap, Yang Dipertua PAS Kawasan Bera Ir Musaniff Abdul Rahman yang juga Bendahari PAS Pahang.

Tuan Ibrahim mengingatkan, perjuangan PAS bukan kerana pangkat atau kuasa semata-mata tetapi apa yang lebih penting ialah meletakkan Islam di tempat tertinggi dalam negara ini.

Mengenai kedudukan PAS yang dikatakan tercabar akibat wujudnya Parti Amanah Negara yang ditubuhkan segelintir ahli PAS yang tewas pada pemilihan lalu, Tuan Ibrahim berkata, kini PAS menerima gelombang kemasukan ahli baru yang tidak disangka-sangka.

“Kini PAS Pusat menerima kemasukan ahli baru setiap bulan umpamanya di Selangor sahaja enam ribu orang permohonan baru, Terengganu tujuh ribu dan Kedah enam ribu.

“Siapa sangka PAS yang pernah diramalkan lemah kini memproses ramai keahlian baru setiap bulan,” ujarnya.

Mengenai soalan dibangkitkan seorang ahli, Tuan Ibrahim menegaskan tidak ada langsung kerjasama kepartian dengan Umno.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan PAS tidak menolak untuk bekerjasama dalam perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan (taawun).

“Umno dalam keadaan amat lemah sekarang, belum pernah dalam sejarah Umno ahli-ahli meminta presiden mereka letak jawatan, tetapi sekarang sudah berlaku. Jadi pada kita Umno itu bukan persoalan, kita mahu ahli-ahlinya menyertai PAS untuk menggantikan parti lama mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata PAS kini bebas untuk bertanding di mana-mana kerusi parti yang tiada hubungan dengannya termasuk Dun Triang dalam Parlimen Bera yang kini diwakili DAP.


Tuan Ibrahim sedangberucap dalam dialog di Kampung Bohor Baru



No comments:

Post a Comment