Thursday, September 18, 2014

Rumah pembantu Adun Semantan terbakar, cucu rentung

Rumah pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Ahmad Zubir Omar terbakar pada petang Isnin lalu dan mengorbankan cucunya.

Menurut Zubir dalam tragedi jam enam petang itu, cucunya Mohd Hakimi Mohd Redzuan, 12, yang berkelainan upaya (OKU), terperangkap dalam api marak sehingga rentung 85 peratus daripada seluruh badannya.

“Saya kebetulan berada di Kuantan ketika kejadian atas satu urusan dan bergegas pulang. Cucu saya bersama isteri, tetapi dia tinggal berseorangan dalam rumah pada masa itu dan isteri saya berada di belakang rumah.

“Api terlalu cepat marak dan menjilat keseluruhan rumah papan dalam tempoh yang singkat. Bomba yang tiba 10 minit kemudian hanya berjaya menghalang kebakaran rumah batu sebelah bawah.

“Cucu saya gagal diselamatkan dan ditemui bomba berada berhampiran pintu masuk rumah,” katanya ketika ditemui selepas Solat jenazah di Masjid Kampung Bukit Kelulut pagi tadi.

Zubir pesara sebuah syarikat telekomunikasi, ialah bekas Setiausaha PAS Kawasan Temerloh dan juga bekas Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Kuala Semantan.
Sementara itu Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad ketika ditemui di tempat yang sama, merayu orang ramai agar menyalurkan bantuan kewangan semampu mungkin bagi pembantunya dapat membaiki rumah yang tinggal sebagai tempat berlindung.

Katanya, kebanyakan barangannya musnah dan beliau terpaksa memulakan hidup baru tetapi yang mustahak pada masa ini ialah membaiki kediamannya.

Bagi sesiapa yang berhajat untuk membantu bolehlah memasukkan wang ke akaun Ahmad Zubir 10605800021811 (RHB) atau menelefon beliau di talian 0108074199.






No comments:

Post a Comment