Tuesday, September 18, 2012

Laporan polis terhadap Faizoull

Satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam terhadap Timbalan Pengarah Besar Felda Faizoull Ahmad berikutan didakwa melakukan tujuh penyelewengan dan salah guna kuasa di dalam agensi berkenaan.

Laporan yang dibuat warga Felda Aris Fezul Ismail dari Jengka 16 itu, menuntut pihak berkuasa menyiasat Faizoull yang dikatakan bakal memegang jawatan Pengarah Besar Felda menggantikan Datuk Zulkifli Abdul Wahab pada 1 Oktober ini.

Antara lain laporan polis itu menyebut pada 20 Julai 2012 Faizoull telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan kedudukan dan pengaruh beliau untuk mengarahkan pegawai-pegawi Jabatan Tadbiran Ibu Pejabat Felda supaya menyediakan kertas cadangan Permohonan Kelulusan Arahan Perubahan Kerja (VO) bagi kerja-kerja hiasan dalaman (ID) Fasa 2 Menara Felda agar dipercepatkan daripada jadual asal lila bulan kepada hanya tiga minggu.

Ini menyebabkan penambahan kos sebanyak RM15 juta (50%) daripada harga asal kontrak iaitu RM29 juta kepada RM44 juta. Kertas cadangan tersebut adalah amat tidak munasabah dan bertentangan dengan Arahan Perbendaharaan perkara 202 (Peraturan Arahan Perubahan kerja).

Faizoull juga didakwa mengarahkan Pegawai Jabatan Pentadbiran membuat bayaran pendahuluan berjumlah RM8.7 juta kepada Atlanta Resources Sdn Bhd untuk menyiapkan kerja-kerja secepat mungkin tanpa mengendahkan peraturan kontrak yang sedia ada.

Selain itu beliau didakwa meluluskan beberapa bayaran kepada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) tanpa memastikan sesuatu program dijalankan atau tidak antaranya bayaran kepada MBFM sebanyak RM17,000 untuk program Motorcross pada 15 Julai 2012 di felda Chini Timur 2 yang tidak dijalankan.

Faizoull juga dikatakan menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai Pengerusi Program Seminar Transformasi Pegawai Kanan Kumpulan Felda untuk mempengaruhi Lembaga Pengarah melalui Pengurusan untuk melantik terus syarikat JP International Sdn Bhd sebagai Event Manager seminar sedangka syarikat tersebut telah dibubarkan.

Dalam aduan polis yang sama Faizoul dituduh memperdaya dan menipu Ahli Lembaga Felda membelanjakan RM2 juta untuk sebuah seminar dua hari yang hanya dihadiri seramai 152 orang peserta Felda dan 200 orang peserta Kumpulan FGVH.

Kroni pihak tertentu itu didakwa meluluskan kontrak latihan kemahiran anak-anak peneroka kepada beberapa buah kolej, institusi dan pihak swasta. Sebagai ganjarannya pihak tersebut bernmurah hati memberi tajaan penuh kepada Faizoull dalam penganjuran Hari keluarga Jabatan Inovasi dan Pembangunan Generasi Baru (sepenuhnya di bawah kaalan dan penyeliaan beliau) pada 15 Julai 2012 di Tanjung Bidara Resort, melaka. Tajaan pihak-pihak tersebut adalah berupa bayaran penginapan, makan minum, hadiah, barangan, boucer dan lain-lain. Antara yang terlibat membuat tajaan adalah Maalaysian Airlines System (MAS), Limkokwing Universiti, Auto Prima, KFC dan lain-lain.

Beliau dituduh meluluskan bayaran sumbangan kepada pihak luar dan badan politik untuk menganjurkan aktiviti tanpa kelulusan pihak berkuasa Felda sedangkan beliau tidak mempunyai sebarang kuasa untuk berbuat demikian.

“Kami menuntut pihak berkuasa menyiasat dengan saksama aduan kami ke atas penyelewengan dan salah guna guasa yang telah dilakukan oleh Faizoull Ahmad sepanjang beliau bertugas di Felda. Kegagalan pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan akan menyebabkan Felda yang telah pun mengalami berbagai krisis kebelakangan ini tumbang dan runtuh sepenuhnya sepertimana institusi lain milik negara dan orang Melayu yang telah lenyap sebelum ini”.

Sementara itu turut mengiringi Aris semalam ialah Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan, AJK Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat serta para peneroka.


No comments:

Post a Comment