Wednesday, October 12, 2011

Amerika akan serang Iran?

Apakah dunia sekali lagi akan menyaksikan Amerika melancarkan ‘perang menentang keganasan’ ke atas dunia Islam apabila Naib Presidennya Joe Biden Biden menuduh Iran bertanggungjawab dalam plot cubaan membunuh utusan Saudi di Washington?

Joe Biden hari ini berkata Iran dipertanggungjawabkan membunuh duta Arab Saudi dan pentadbiran Obama sedang berusaha untuk meminta mandat dunia sebagai tindak balas.

Sementara itu jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast menolak dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu terlibat dalam komplot membunuh Duta Besar Arab Saudi ke A.S.

Beliau menganggap dakwaan AS itu sebagai konspirasi yang direka dan tidak masuk akal untuk menjejaskan hubungan Iran dengan Arab Saudi. Menurutnya, hubungan antara Iran dan Arab Saudi berlandaskan dasar saling menghormati dan cubaan AS tidak akan menjejaskan pendapat umum.

Pada hari yang sama, pihak berkuasa AS telah mengumumkan dua suspek warga Iran akan didakwa atas cubaan membunuh Duta Besar Arab Saudi ke A.S. Menurut kenyataan tersebut, kerajaan Iran terlibat dalam cubaan tersebut.

Dalam perkembangan yang lain, Setiausaha Negara A.S., Hillary Clinton berkata, negaranya akan bersepakat dengan negara lain untuk memulaukan Iran.

Pada masa ini tiada hubungan diplomatik rasmi antara republik Islam dan Washington, yang menuduh Teheran menyokong keganasan dan membangunkan senjata nuklear, tetapi Iran menafikannya.

Sebelum ini Iran sudah menghadapi sekatan ekonomi dan politik yang sukar daripada Washington dan sekutu-sekutunya.

Pemimpin dunia Islam pada masa ini mulai khuatir Amerika akan cuba menjadikan Iran mangsanya seperti dua negara umat Islam Afghanistan dan Iraq yang punah ranah.


No comments:

Post a Comment