Thursday, August 11, 2011

Sembilan saksi belot kes rasuah Norza dibebaskan

TEMERLOH: Akhirnya 9 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dituduh belot ketika memberi keterangan kes dakwaan rasuah bekas ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohamad Norza Zakaria, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Keputusan tersebut dibuat Majistret Siti Hajar Mustaffa selepas beliau mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua tertuduh.

Saksi yang kesemuanya ahli Umno itu ialah Datuk Khadri Musa, 48, Muhammad Anuar Mohd Yunus, 44, Nasaruddin Abdullah, 48, Mohd Sabri Aziz, 46, Yusof Jamaluddin, 54, Jalaluddin Johan, 48, Mohd Taupik Hussin, 41, Nor Azhar Abdul Latip, 49, dan Saiful Azman Mokhtar Affendi, 46.

Mereka merupakan antara 13 individu yang pada mulanya ditangkap bagi membantu siasatan kes Norza yang dituduh atas dua tuduhan rasuah suapan wang kepada perwakilan sebagai dorongan supaya mengundinya memenangi jawatan Majlis Tertinggi pada Perhimpunan Agung Umno Mac 2009.

Pembebasan tersebut merupakan episod terakhir dalam kes rasuah melibatkan pemimpin Umno yang pernah ‘meletup’ di persada politik tanah air sehingga menjadi tumpuan seluruh negara sejak beberapa tahun lalu.

Sebelum itu Norza dituduh telah membayar antara RM300 dan RM500 setiap perwakilan ke Perhimpuan Agung Umno (G-7) dan ketua-ketua sayap (pemuda, wanita dan puteri dari Temerloh, Maran, Bera dan Kuala Krau) untuk tujuan meraih sokongan pada pemilihan tahun tersebut.

Menurut pertuduhan, Norza melakukan suapan wang tunai RM1,500 kepada Khadri Musa melalui Halimi Kamaruzzan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan agar mengundi beliau. Rasuah RM1,900 juga diberi kepada Mohammad Anuar Yunus, juga melalui Halimi Kamaruzzaman sebagai dorongan mengundi beliau.

Wang tersebut diagih pada pukul 6.30 petang di rumah bernombor 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada 13 Mac 2009 lalu.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.

Bagaimanapun pada 17 Jun 2010, Mohamad Norza dan ejennya, Halimi Kamaruzaman dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah setelah saksi-saksi SPRM yang memberi keterangan sebelum itu berpaling tadah.

Saksi-saksi tersebut ialah 9 orang yang dibebaskan oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Mereka didakwa memberi keterangan bercanggah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh Azuar Che Yusof semasa perbicaraan terhadap Norza dari 10 Februari 2009 hingga 13 Mei 2010 dengan keterangan asal yang diberikan mereka kepada pegawai penyiasat antara 20 Januari 2009 dan 23 April 2009 di pejabat SPRM Temerloh.

Dakwaan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Putrajaya, Mohd Josiendra Abu Senin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Francis Tan.

GAMBAR:
Norza (tengah) bersama peguam dan penyokong sebaik mahkamah membebas dan melepaskan

No comments:

Post a Comment